opinion

Berhati-hati dalam memuja sejarah

Farouk A. Peru

February 10, 2016

Dalam perbualan seharian manusia, sama ada di tahap orang biasa atau tahap atasan borjuise (bourgeoisie atau ruling elite), sejarah sering digunakan sebagai dalil atau bukti. Dalam tahap orang kebiasaan, sejarah digunakan untuk menaikkan nama seseorang.

Cuba para pembaca fikirkan, apabila anda pernah berjumpa kembali dengan rakan-rakan sekolah, ada atau tidak perbezaan dalam cerita-ceriti zaman sekolah? Sudah tentu ada.

Dalam penceritaan semula sejarah, akan ada orang yang mengingati sesuatu cerita itu dalam versi-versi berlainan. Ada yang akan memilih versi yang menjadikan diri mereka "hero" dalam cerita dan sebagainya. Lebih lama zaman silam itu, makin senanglah untuk perbezaan timbul.

Sama juga dengan perbincangan sejarah pihak borjuise. Perlu diingat, pihak atasan mempunyai lebih banyak sebab untuk menguasai perbincangan sejarah. Jikalau mereka dilihat sebagai "hero" dalam sejarah, akan naiklah nama baik mereka pada masa ini.

Sudah muak Rakyat mendengar pernyataan seperti "parti kami membela nasib kaum itu dan ini selama 70 tahun" atau pernyataan seperti "parti kamilah yang membantu negara kita mencapai kemerdekaan".

Lebih lama peristiwa itu, lebih mudahlah pihak borjuise memanipulasikan laporan tentang sejarah itu.

Dalam kes ini, manipulasi akan lebih teruk berbanding dengan orang kebiasaan. Ini kerana pihak borjuise mempunyai sumber untuk menerbitkan bahan bacaan (seperti buku teks sekolah) yang akan memeterai sejarah versi mereka.

Hakikat ini juga benar dari segi agama. Lebih daripada itu, agama mempunyai kepentingan yang merangkumi masyarakat sedunia dan bukan saja sesuatu negara.

Jikalau mereka tidak menguasi penceritaan sejarah agama itu, mereka mungkin kehilangan pelanggan agama mereka dan dengan ini, akan hilanglah daya ekonomi mereka.

Mari kita fikirkan dengan konflik di antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah  and Shia. Dalam konflik ini amatlah penting peristiwa sejarah kematian Nabi Muhammad yang menjadikan Abu Bakar imam sembahyang. Apakah nilai tindakan ini? Terpulang kepada agamawan.

Begitu juga dengan peristiwa Ghadir Khaum di mana Nabi Muhammad kononnya mengatakan sesiapa yang mengambil Nabi sendiri sebagai "mawla" (penjaga atau "guardian"), maka Ali (Ali ibn Abi Talib, sepupu Nabi) juga menjadi mawlanya. Peristiwa sejarah ini sudah lebih 1000 tahun didebat maksud atau tafsirnya. Itulah pentingnya nilai sejarah.

Sejarah juga bergantung kepada betapa subjektifnya ahli sejarah itu. Menggunakan contoh di atas, agamawan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sudah tentu akan mentafsirkan peristiwa Ghadir Khaum ini sebagai persetujuan yang Ali adalah seorang yang berhemah tinggi tetapi bukan dipilih menjadi khalifah.

Agamawan Syiah pula, kerana mereka sangatlah mementingkan Ali, akan mentafsirkan peristiwa ini sebagai bukti Ali dipilih menjadi bakal khalifah yang pertama.

Tafsir peristiwa ini banyak bergantung kepada pentafsiran perkataan "mawla" di atas. Adakah "mawla" ini hanya daripada segi kerohanian ("spiritual authority") atau hal keduniaan ("temporal authority") juga? Semuanya bergantung kepada subjektifnya pentafsir.

Kadang-kadang, hakikat sejarah yang lama diterima mungkin akan dipersoalkan atau ditolak bulat-bulat. Para pembaca mungkin tidak ingat kepada siri "Roots" yang muncul di kaca TV Malaysia pada awal 1980-an. Siri ini mengisahkan asal-usul penulis buku Roots iaitu Alex Haley.

Haley mencari asal usul nenek moyangnya ditangkap orang Eropah yang membawa mereka ke Amerika secara paksa untuk dijadikan hamba abdi. Cerita yang amat menyayat hati tersebut menjadi topik perbincangan serata dunia kerana siri ini.

Namun begitu, sekarang siri ini menjadi topik perbincangan semula kerana fakta yang digunakan Haley dipersoalkan. Misalnya, Haley mengatakan moyangnya yang dibawa dari Gambia, Afrika yang nama asalnya Kunta Kinte, diberi nama "Toby Waller" kerana tuan hamba itu mahu mematahkan identiti hamba mereka dengan memaksa melupakan tentang asal-usul mereka.

Daripada segi sejarah, Kunta Kinte tidak dapat dikaitkan dengan Toby Waller yang direkodkan dalam dokumen hamba. Ini adalah kerana Toby Waller wujud sebelum kapal yang dikatakan membawa Kunta-Kinte sampai ke Amerika!

Jadi cerita Haley tidak masuk akal daripada segi ini saja. Inilah yang dikatakan "logik maut" ("fatal logic"). Sejarawan di kampung Kunta Kinte juga tidak mengiktiraf ahli mereka yang mengaku kepada Haley mengenai fakta Kunta Kinte sememangnya berasal daripada kampung mereka. Kata mereka, sejarahwan tersebut tiada kredibiliti. Jadi akhirnya, Haley tidak dapat menghubungkan ceritanya dengan fakta sejarah.

Ini menunjukkan walaupun cerita sejarah itu ditonton dan dikagumi seluruh dunia, ia tidak semestinya benar. Cerita ini bukanlah baru malah ditonton lebih 30 tahun yang lalu dan bukunya pula berusia 40 tahun.

Namun begitu, persoalan ini timbul sejak akhir-akhir ini saja. Kenapa soalan ini tidak timbul lebih awal lagi walaupun tidak sebaik saja cerita ini diterbitkan? Mungkin kerana cerita ini terlalu popular semasa dulu.

Bayangkanlah, cerita ini ditonton lebih 100 juta warga Amerika apabila mula-mula ditayangkan. Amatlah payah untuk mempersoalkan tsunami sokongan manusia begini. Inilah yang dikatakan pemujaan sejarah.

Sebenarnya, pemujaan sejarah itu adalah satu fenomena yang universal. Manusia yang sememangnya memerlukan asal-usul akan mempertuhankan cerita-ceriti lama untuk dijadikan bahan substantif kewujudan mereka.

Inilah yang membuka mereka kepada manipulasi. Lebih baik jika kita mencari jati diri melalui pengalaman sendiri daripada taksub kepada sejarah. – 10 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments