opinion
Bob Marley, rastafari dan ganja
February 11, 2016Bob Marley dilahirkan pada 6 Februari 1945. Hanya beberapa hari yang lalu saja ulang tahun tarikh lahirnya. Tarikh matinya pula 11 Mei 1981, dalam usia yang masih muda, 36 tahun.
Jika masih hidup umurnya akan menjangkau 71 tahun hari ini, tapi itulah, bak kata pujangga, "only the good die young".
Marley adalah insan hebat terkenal di seluruh dunia, hatta di ceruk pelusuk mana dunia sekalipun. Apa atau mana bangsa sekalipun kenal siapa Marley. Imej rasta menjadi popular kerana Marley. Rambut dreadlock popular kerana Marley.
Muzik reggae dikenali seluruh dunia kerana Marley. Ganja juga menjadi popular kerana Marley. Bahkan jika ditanya siapa presiden Jamaica, tak akan ramai yang tahu, tapi jika ditanya siapa Marley, kebanyakan masyarakat dan dunia akan mengenalinya.
Saya suka membandingkan antara Peter Tosh atau nama sebenarnya Robert Winston Mcintosh (yang dilahirkan 19 Oktober 1944) dan Marley. Kedua-dua mereka bersama seorang lagi pemuzik Bunny Wailer menubuhkan kumpulan muzik reggae yang bertaraf legenda The Wailers. Jarak umur mereka juga hanya setahun. Peter jarak umurnya hanya tua setahun daripada Marley.
Bertiga mereka menubuhkan sebuah kumpulan muzik dengan pelbagai nama pada 1963 sehinggalah nama The Wailers berjaya menaikkan nama mereka di persada seni muzik antarabangsa.
Cuma saya melihat Tosh seperti saya melihat Gautama Buddha sewaktu di musim "ascetic"nya. Manakala Marley pula lebih seimbang dengan konsep "One Love". Dan secara jujur, Marley lebih berkarisma dan susuknya yang tampan bagi golongan kulit hitam, menjadikannya ikon untuk bangsa mereka terutamanya, juga seluruh peminat muzik reggae seluruh dunia.
Aliran Rastafari menjadi popular dan berkembang kerana Marley. Rastafari adalah aliran atau agama bagi penganutnya, dan Marley adalah salah seorang penganut malah pendakwah untuk aliran ini. Saya lebih senang menyebutnya sebagai aliran kefahaman atau jalan hidup.
Intinya adalah kerohanian atau penyatuan diri. Konsepnya adalah kasih sayang. Kiblatnya ataupun Tuhannya atau "Jah" adalah seorang manusia, pemimpin Ethiophia, Tafari Makonnen yang lahir pada 23 Julai 1892, digelar sebagai "Hailie Selassie I". Sebagaimana nabi Isa begitulah tahapnya Hailie Selassie I di mata penganutnya.
Rastafari, wajibnya adalah rambut dreadlock, ganja dan "Jah". Ganja untuk perhubungan meditasi untuk mencapai konsentrasi atau fokus dalam menuju Tuhan.
Asalnya kaum ini daripada susur jalur Nabi Ibrahim, Ishaq, Daud dan Sulaiman dan daripada jalur keturunan inilah muncullah golongan "black jew" atau yahudi kulit hitam, seperti yang kita lihat Marley dan penganut Rasta yang lainnya.
Jika kita perhatikan lirik Marley atau Tosh, seperti lagunya "Redemption Song", "Could You Be Loved", "Exodus", "Get Up Stand Up" antaranya, mesejnya sangat jelas dan terang untuk memotivasikan jati diri dan tahap yakin hakiki pada yang satu.
Antara kata-kata Marley yang sangat berkesan dalam lagunya seperti berikut:
Redemption Song
"Emancipate yourself from mental slavery,
None but ourself can free our mind,
I have no fear for atomic energy,
Cause none of them can free our mind."
Get Up Stand Up
"We sick an' tired of-a your ism-skism game,
Dyin' 'n' goin' to heaven in-a Jesus' name, Lord.
We know when we understand,
Almighty God is a living man.
You can fool some people sometimes,
But you can't fool all the people all the time.
So now we see the light (What you gonna do?),
We gonna stand up for our rights! (Yeah, yeah, yeah!)"
Tosh pun berdakwah melalui lagunya terutama dalam bab menghalalkan "ganja" di mata dunia sepeti dalam lagunya "Legalise It".
Third World, band reggae yang popular di awal 1980-an juga berjaya dengan misi dan mesej mereka di dalam lagunya yang menarik, "Try Jah Love".
Mereka ini, terutamanya Marley yang dianggap nabi bagi pengikut dan aliran rasta, melalui muzik dan"reggae", berjaya dalam misi dakwahnya dalam mengembangkan ajaran tersebut di seluruh dunia.
Sebabnya, Marley adalah pakej yang lengkap. Untuk kaumnya, Marley adalah susuk yang kacak dan berkarisma. Anak-anak muda dari dulu sampai sekarang, akan tetap berbangga memakai t-shirt muka Marley, daun ganja berlatar belakangkan warna hijau, merah dan kuning, warna Ethiophia, yang mana seperti dijanjikan Haile Selassie I, Ethiophia adalah tanah suci pembebasan (Zion).
Aliran Rastafari juga berkait rapat dengan berbagai aliran kerohanian atau hakikat daripada segi pemahamannya. Agama Hindu juga dikaitkan dengan aliran ini terutama dalam isu rambut dreadlock. Intinya adalah mengenal diri yakni "roh". Cuma caranya saja yang berbeza.
Sehingga ke hari ini dan mungkin untuk selamanya, Bob Marley akan tetap hidup di kalangan peminatnya di merata dunia. Anak muda masih akan berbangga dengan t-shirt Marley atau berambut "dreadlock", tanpa perlu ambil tahu apa kaitannya dengan aliran rasta.
Kesimpulannya, Bob Marley tetap akan relevan sampai bila-bila. – 11 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments