opinion

‘Boleh blah’, Umno tidak akan berubah dari dalam

Srihanasham Noordin

March 02, 2016

Pernah ada persoalan sama ada "bolehkah" Umno, parti yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, berubah dalam usia 70 tahun ini. Jawapan yang pasti ialah... "boleh blah".

Sama ada jawapan itu diterima dengan hati terbuka 25 Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan 191 ketua Umno Bahagian, ia sebenarnya langsung tidak penting disebabkan banyak tindakan yang dilakukan ketika ini, langsung tidak menunjukkan Umno akan berubah.

Sebaliknya, parti pasca merdeka ini dilihat semakin hilang arah dengan tindakan yang dianggap menjurus kepada kepentingan peribadi tanpa memikirkan betapa rakyat semakin "celik" dalam pemerhatian politik mereka.

Sememangnya benar jangkaan pemimpin Umno dan BN dalam keadaan ketika ini, rakyat tidak mempunyai banyak pilihan selain terus memilih Umno/BN memerintah negara.

Ini kerana parti pembangkang juga dalam keadaan bercelaru dengan masing-masing boleh diibaratkan seperti "tidur sebantal, mimpi lain-lain" dan tidak menampakkan persepakatan menjadi satu barisan alternatif bagi menerajui negara.

Namun, ia bukan satu alasan kepada pimpinan Umno dan BN untuk tidak berubah sejajar kemahuan rakyat yang mahukan kepimpinan parti sentiasa relevan dengan kehendak serta kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Perubahan dan peremajaan yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno ke-7 dan perdana menteri ke-6 apabila memegang tampuk pemerintahan pada 2009 dilihat semakin kelam daripada laungan semangat yang sebelum ini, menjadi harapan rakyat.

Dengan bersandarkan slogan "Dulu, Kini dan Selamanya", Umno yang akan menghadap ujian rakyat dalam tempoh 2 tahun lagi apabila Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dijangka diadakan, pasti berdepan laluan sukar penuh getir.

Pengumuman bekas perdana menteri dan presiden Umno yang paling lama berada di tampuk pemerintahan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin lalu, untuk keluar parti ini, sekali lagi sudah pasti memberikan kesan besar terhadap 3 juta ahli parti Melayu itu.

Memang "jeneral" perang Najib akan memperlekehkan keputusan Dr Mahathir kerana bukan perkara asing buat pemimpin berusia 92 tahun berkenaan keluar Umno.

Beliau pernah keluar Umno ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sehingga mengakibatkan BN hilang majoriti dua per tiga buat pertama kalinya dalam PRU12.

Kemudian kembali ke pangkuan Umno apabila Najib mengambil alih jawatan dengan alasan lebih mempercayai pembaharuan yang dijanjikan anak bekas presiden Umno kedua itu, yang bertanggungjawab membawa beliau masuk semula Umno, selepas dipecat Tunku Abdul Rahman, pada 1972.

Apa yang Dr Mahathir cuba lakukan apabila masuk semula Umno pada 2009, adalah cuba mengubah Umno dari dalam dan selama itulah, beliau bertahan dengan berusaha menasihati Najib seperti yang didakwanya, tetapi langsung tidak memberikan sebarang kesan.

Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba mengubah Umno dari dalam dan juga pemimpin parti itu sebelum ini, seperti Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim.

Semuanya gagal... Umno tidak akan mampu berubah dari dalam itulah hakikatnya kerana pimpinannya sama ada di peringkat MT atau bahagian terus leka dan percaya, rakyat akan terus memilih mereka.

Pilihan rakyat itu bukan disebabkan Umno kuat, bersih atau berkredibiliti tetapi percaya yang rakyat tidak mempunyai pilihan serta keberanian untuk menukar tampuk pemerintahan.

Di sinilah kejayaan Umno paling utama kerana walaupun pimpinannya bergelumang dengan pelbagai skandal serta krisis keyakinan, pimpinan parti yakin rakyat tidak akan menolak mereka.

Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan pembangkang serta Dr Mahathir selain Muhyiddin terhadap skandal serta isu yang mengelilingi Umno dan kerajaan BN, sebenarnya kurang memberikan kesan kepada rakyat untuk berani menukar kerajaan ketika PRU.

Lubuk Umno adalah masyarakat luar bandar dengan politik perkhidmatan dan pembangunan terus menjadi "gula-gula" terbaik buat parti ini, mendapat mandat daripada penduduk luar bandar.

Proses urbanisasi yang berlaku hanya terhad kepada kawasan bandar serta separa bandar dan rekod PRU13, menunjukkan pengundi kawasan ini sudah pasti tidak akan mengundi Umno/BN namun ia tidak mencukupi bagi mengatasi undi luar bandar yang sentiasa menjadi simpanan tetap Umno.

Sehubungan itu, jika rakyat mengharapkan akan ada pemimpin yang mampu mengubah parti berkenaan dari dalam, ia hanyalah retorik dendangan pimpinan Umno sama seperti lagu peremajaan serta pembaharuan.

Tiada apa yang boleh diubah dari dalam Umno, siapa pun tidak akan berjaya mengubah parti ini kerana ia berevolusi menjadi satu institusi, di mana mempunyai hierarki serta peraturan tidak tertulis yang wajib dipatuhi ahlinya.

Kini, terpulanglah kepada rakyat dan ahli Umno untuk menilainya dan dalam zaman ledakan maklumat yang begitu pantas, parti pasca merdeka ini hanya boleh berubah jika tragedi menimpa, iaitu kalah dalam PRU.

Maka, jawapan kepada soalan adakah Umno boleh berubah dari dalam ialah "boleh blah". – 2 Mac, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments