opinion

Bowie sudah mati

Meor Yusof Aziddin

January 14, 2016

Penghibur hebat serta penulis lirik Inggeris David Bowie ( lahir 8 Januari 1947 ) baru sahaja meninggal dunia beberapa hari yang lalu (10 Januari 2016 ) dalam usia 69 tahun, akibat penyakit barah hati yang dialaminya selama hampir 2 tahun.

Saya membesar dengan lagu-lagu beliau sejak awal tahun 80-an, bagi saya Bowie antara penulis lagu yang terbaik, yang kekal relevan dalam industri muzik selama beberapa dekat sejak lagu hit pertamanya "Space Oddity" mendapat sambutan pendengar pada 1969.

Bowie adalah genius dan faham apa yang dikehendaki dalam lagu mahupun konsep dalam setiap albumnya.

Penulis lagu yang berbakat dan kreatif, penghibur yang sangat berkarisma, Ikon pop art dan glam rock, Bowie mempunya imej yang kuat sebagai penghibur terutama waktu era "alter ego" nya Ziggy Sturdust pada awal 70-an.

Banyak sebab saya meminati karya Bowie. Beliau berkolobrasi dengan ramai artis/ pemuzik/penerbit  hebat yang antaranya saya salut seperti Brian Eno (penerbit), Robert Fripp (gitaris King Crimson), Iggy Pop, Lennon, Queen, menerbitkan album Lou Reed yang berkualiti, "Transformer" pada 1972.

Keunikan penciptaan lagu Bowie adalah susunan melodinya yang tidak seragam dan skema. Sama juga bila saya mendengar lagu-lagu ciptaan Nick Drake, Elvis Costello dan Cat Steven.

Kebiasaannya artis dan lagu dari United Kingdom lebih berkualiti daripada lagu dari Amerika Syarikat.

Mereka ini lebih rugged dari segi kreativiti, attitude dan konsep.

Pada 1967 beliau sudah muncul dengan album pertama ( David Bowie ) sehingga ke album yang ke-25 nya ‘Blackstar’ ‘yang lahir 2 hari sebelum tarikh matinya.

Antara lagu-lagu Bowie yang menarik bagi saya dari segi gubahan mahupun melodi selain lagu hit "Lets Dance" (1983) lagu-lagu lain juga menarik seperti "Space Oddity", "Modern Love", "Life on Mars", "Starman", "Lust for Life" (Iggy/Bowie ), "All the Young Dudes" (Mott the Hoople), "The Man Who Sold the World", "Fame", "Heroes" dan banyak lagi.

Sudah tentulah berita kematiannya mendapat liputan dan perhatian daripada ramai artis popular seluruh dunia.

Lagu-lagu Bowie bagus bagi mereka yang bergelar komposer untuk dijadikan bahan rujukan, baik dari segi penciptaan lagu mahupun dari segi konsep dan mesej.

Cuma jika beliau dilahirkan di Malaysia, sudah tentulah kariernya tidak ke mana-mana.

Pada 1967 kita sedang demam pop yeh yeh. 70-an kita sedang kemaruk dengan lagu-lagu pop D.J.Dave, Uji Rashid, Hail Amir dan yang seangkatan dengannya.

Masuk era 80-an barulah kita mula dengar muzik yang cerdik sedikit antaranya dari Kembara, Harmoni, Kopratasa.

Hujung 80-an dan awal 90-an pula kita dilanda demam rock kapak yang berjaya menguasai mimpi dan imej anak-anak muda di zaman itu.

Konsep pop art, hari ini barulah ada anak-anak muda yang mula nak faham. Itupun dalam kuantiti yang sangat minimum.

Payah untuk kita berkarya mengikut gaya yang kita mahu di negara ini kerana tahap kefahaman masyarakat dan pendengar muzik yang kebanyakannya tak sampai.

Di sini kita lebih mengutamakan cerita-cerita hiburan dan gosip artis berbanding nilai dan kandungan dalam muzik itu sendiri.

Radio dan televisyen pula tidaklah memainkan peranan sangat dalam mevariasikan nilai seni dan kreativiti kepada masyarakat. yang mereka pentingkan adalah berapa banyak tajaan daripada pihak penaja dan berapa banyak nilai keuntungan yang boleh mereka kaut.

Jadi yang nak berkarya mengikut cara sendiri perlulah punya nilai Do It Yourself (DIY) dan Indie yang kuat dan kumpulkan kelompok yang seramai mungkin.

Kita tidak perlukan mainstream jika kita bersatu dan saling menyokong.

Hari ini kita punya link yang sangat membantu seperti You Tube, Facebook dan Instagram mahupun twitter.

Bagus jika anak-anak muda hari ini cuba untuk melupakan apa saja program realiti berbentuk hiburan dan nyanyi yang dihidangkan di kaca TV kerana tidak ada apa yang menarik dari segi seni mahupun kreativiti yang mereka tontonkan.

Tapi itulah, bukan senang nak senang. Macamana kita nak ubah pemikiran pendengar yang sudah tepu dengan muzik yang sekadar muzik sejak lama dulu?

Kita tidak mampu untuk mengubah dunia, tapi kita mampu untuk berubah jika kita cuba untuk faham apa cerita menarik yang ada di sana berbanding di sini.

Berubahlah demi mevariasikan cabang-cabang muzik dan nilai keseragamannya. – 14 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments