opinion
Buku rujukan dan dilema SJKT
February 09, 2016Murid-murid yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tetap mempunyai potensi untuk cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan. Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang wajar diberi perhatian dan diambil tindakan segera sebelum nasi menjadi bubur.
Persoalan kempen SJKT Pilihan Kita" (12 Januari 2016) dan "Isu SJKT dan masalah kamar gema" (19 Januari 2016).
Beberapa kelemahan yang benar-benar wujud di beberapa SJKT didedahkan menerusi makalah di The Malaysian Insider bertajuk "Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil (PTST), Dr NS Rajendran; dan Pemuda MIC Kebangsaan sepakat mengatakan kesemua isu itu tidak benar, dan tidak ada satu pun kes seperti yang didedahkan itu berlaku di mana-mana 524 buah SJKT di Malaysia.
Anehnya, ramai guru, bekas guru, bekas murid, murid dan ibu-bapa yang menghubungi saya secara peribadi untuk meluahkan kekecewaan terhadap pelbagai lagi masalah yang benar-benar wujud di SJKT.
Salah satu masalah utama yang mungkin tidak disedari PTST dan MIC adalah kekurangan buku rujukan dan buku latihan bermutu dalam Bahasa Tamil bagi kegunaan murid SJKT.
Sebaik masalah ini didedahkan, pasti penyelaras PTST meminta saya mengemukakan "bukti yang sahih dan data empirikal" kerana kononnya apa yang saya dedahkan adalah penipuan semata-mata.
Bagaimanapun, hujah yang dikemukakan di sini berdasarkan pemerhatian, serta maklumat pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dengan SJKT.
Pesara guru yang berpengalaman mengajar selama 26 tahun di 7 buah SJKT, VK Ezhilarasi menyatakan di The Malaysian Insider (25 Januari 2016): "Tiga anak saya pernah belajar di SJKT dan saya mengalami sendiri kesukaran mendapatkan buku rujukan dalam Bahasa Tamil. Masalah ini masih berlarutan sehingga kini."
Ibu-bapa, guru akui masalah ini
Seorang penulis Tamil, Pandiyan Anbalagan turut mengaku menerusi catatan di Facebook (22 Januari 2016): "Saya ke kedai buku. Seperti biasa, buku latihan untuk murid SJKT amat kurang. Berlambak buku untuk SK dan SJKC tetapi situasi SJKT sangat menyedihkan. Murid SJKT sukar membuat latihan tambahan; khususnya subjek Sains dan Matematik."
Baru-baru ini, saya melakukan tinjauan di beberapa kedai buku yang khusus menjual buku sekolah dan mendapati masalah yang dinyatakan Ezhilarasi dan Pandiyan serta ramai lagi guru, ibu-bapa dan murid-murid SJKT memang benar.
Seperti dinyatakan dalam makalah "Alahai SJKT, alahai kuil Hindu!" (The Malaysian Insider, 2 Februari 2016), pada masa kini terdapat 524 buah SJKT di Malaysia dan 371 daripadanya merupakan sekolah bantuan modal.
Sekiranya data berkaitan latar ekonomi keluarga murid dikaji (PTST boleh membantu di sini), kita akan faham betapa majoriti ibu-bapa tidak mampu membeli buku rujukan dan buku latihan tambahan bagi anak-anak.
Selain itu, keutamaan (priority) tidak diletakkan pada pendidikan; apatah lagi membeli buku rujukan dan buku cerita yang mampu mengembangkan minda anak-anak.
Rata-rata guru SJKT yang saya temui mengakui hakikat yang menyedihkan ini. Dr Rajendran dan Kamalanathan pasti akan menafikan perkara ini dengan alasan "tiada bukti yang sahih dan data empirikal".
Pada penelitian saya, kebanyakan guru SJKT memang amat komited dan mahu memberikan pendidikan paling berkualiti kepada murid-murid.
Menyedari kekangan ekonomi - dan prioriti ibu bapa yang tersasar - maka guru-guru mengambil inisiatif menyediakan bahan rujukan dan latihan tambahan dengan kos paling minimum.
Sejumlah guru SJKT yang menghubungi saya menceritakan, mereka membuat fotokopi buku Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Kebangsaan (SK). Pengubahsuaian dilakukan supaya mudah difahami murid SJKT.
Penerbit buku bermutu hadapi dilema
Memang ada penerbit buku berwibawa seperti Uma Publications yang menghasilkan buku rujukan dan buku latihan bermutu khusus bagi murid SJKT.
Kebanyakan guru yang saya temui mengakui kualiti buku-buku berkenaan, tetapi masalah kewangan serta sikap ibu-bapa menyebabkan murid-murid tidak mampu membelinya.
"Saya selalu membuat fotokopi buku-buku itu untuk kegunaan di kelas walaupun sedar perbuatan itu kurang beretika. Saya lakukan demi masa depan murid-murid," kata seorang guru yang enggan namanya didedahkan.
Pada 5 Februari 2016, saya mengunjungi pejabat Uma Publications di Jalan Perhentian, Sentul untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung isu kekurangan buku rujukan dan buku latihan SJKT.
Datuk A. Sothinathan, Siva Sothinathan dan Y. Sahadevan menerima kunjungan saya dengan penuh mesra dan bersedia menjawab beberapa soalan sensitif yang dikemukakan.
Syarikat penerbitan itu sebenarnya berusaha menyajikan bahan bacaan tambahan bermutu dari Australia dan Britain khusus untuk murid SJKT sejak 2008.
Saya membelek sebahagian daripada hampir 300 judul yang sudah dibeli hak daripada penerbit asal dan diterjemah ke Bahasa Tamil.
Seorang individu bukan lepasan SJKT seperti saya turut teruja membaca buku-buku berkenaan yang penuh dengan ilmu dan maklumat tambahan.
Malangnya, saya dimaklumkan buku-buku itu kurang mendapat sambutan kerana SJKT yang bergantung kepada dana kerajaan tidak mampu membelinya.
Perdana Menteri perlu ambil perhatian!
Ada lebih 500 buah SJKT di Malaysia dan kalau sebuah sekolah membeli dua naskhah, maka minimum 1,000 buku boleh dijual dengan amat mudah.
Hasil perbualan dengan tiga orang kuat Uma Publications, saya dapat membaca garis-garis kekecewaan pada wajah dan suara mereka. (Tidak semua butir perbualan kami ditulis di sini.)
Buku dan majalah Tamil yang mereka hasilkan khusus bagi murid SJKT terbukti amat bermutu dari segi bentuk dan kandungan (form and content) tetapi malangnya masih sukar dipasarkan kepada khalayak sasaran.
Pada penelitian saya, masalah ekonomi, latar belakang keluarga, pendidikan ibu-bapa, kedudukan sosial, prioriti ibu-bapa, minat guru besar, keprihatinan PIBG, peranan PTST, manipulasi politik dan sebagainya menghasilkan lingkaran syaitan (vicious cycle) yang tidak menguntungkan SJKT.
Saya percaya Uma Publications terus menerbitkan buku dan majalah bermutu tinggi, serta menjualnya pada harga sangat murah, bukan untuk mengaut untung, tetapi melaksanakan tanggungjawab sosial demi bahasa Tamil, komuniti Tamil dan sekolah Tamil.
Realiti kekurangan buku rujukan dan buku latihan bermutu di SJKT mungkin akan terus dinafikan politikus, akhbar Tamil, PTST serta peneraju kempen "SJKT Pilihan Kita".
Akan tetapi, ia umpama "gajah di dalam bilik" (elephant in the room) dan bangkai gajah yang cuba ditutup dengan daun kelapa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diiktiraf MIC sebagai "pemangkin utama pembangunan infrastruktur SJKT" (MyTimes, 24 September 2015) wajar mengambil perhatian terhadap isu penting yang didedahkan di sini.
Sekiranya mendapat sokongan dana kerajaan, saya percaya penerbit berwibawa seperti Uma Publications sedia menghasilkan lebih banyak buku bermutu tinggi bagi memastikan SJKT bukan hanya gah dari segi infrastruktur (fizikal) tetapi mampu melahirkan generasi berkualiti. – 9 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments