opinion
Campaklah berapa banyak mikrofon pun, Mat Sabu
February 17, 2016Sejak saat mengejutkan pada malam Himpunan 365 di depan pintu penjara Sungai Buloh, 9 Februari 2016 itu, macam-macamlah pula orang melemparkan komen terhadap perbuatan Mohamad Sabu, presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.
Saya ada di situ pada malam itu. Saya pun naik pentas malam itu baca sajak "Gila Gila Apakah Ini" di hadapan kira-kira 3 ribu hadirin. Tetapi sewaktu Mohamad Sabu (atau selalu dipanggil Mat Sabu) mencampak mikrofon itu saya tak nampak. Terlindung oleh hadirin yang ramai. Hanya dengar cerita orang lain sahaja.
Namun teknologi hari ini membantu. Malam itu juga video Mat Sabu marah-marah di atas pentas dan melempar mikrofon itu tersebar di ruang maya. Semua orang boleh melihatnya dengan jelas. Itulah maka pelbagai komen turut tersebar.
Saya pun terdorong untuk mengulas peristiwa tersebut. Saya menganggapnya satu peristiwa penting dan bersejarah kerana yang melakukannya adalah seorang presiden kepada satu daripada 5 parti politik utama di Malaysia – Umno, DAP, PKR, PAS dan Amanah.
Mat Sabu ialah presiden parti Amanah. Memang logik dan munasabah kalau orang mengatakan dia tak sepatut dan tak sewajarnya berkelakuan begitu di atas pentas dalam majlis penting begitu. Majlis mengingati setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurung di dalam penjara yang tak jauh dari pentas tersebut.
Tetapi saya tidak melihatnya dari sudut patut-tak-patut dan munasabah-tak-munasabah itu. Saya melihatnya dari segi rasional mengapa terjadinya peristiwa penting itu dan selepas ia terjadi, apakah makna yang diisyaratkannya kepada kita.
Cuba perhatikan kata-katanya di hujung ucapannya yang ringkas itu!
"Sampai bila kita nak berkeadaan begini? Usiaku menjelang 60 tahun. Belum lagi berubah rakyat Malaysia. Ayoh, Melayu Cina India Kadazan Murut, semua kaum. Tanya diri kita: Apakah kita pejuang, atau hanya bermain slogan, untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana? Cih!!! Mari kita lawan!" (Atau "mari kita bangun", tak jelas).
Lalu sambil berpusing ke kanan, dengan tangan kanan (memegang mikrofon) yang kelihatan agak terketar-ketar (menahan marah-kecewa-geram) itu dia melempar mikrofon ke arah belakang pentas, sambil berjalan menuju ke tangga turun.
Persoalannya ialah mengapa. Mengapa sampai terjadi seorang presiden sebuah parti yang baharu lagi ditubuhkan, selepas berpecah dan keluar daripada parti Islam yang dia pernah menjadi timbalan presiden, dengan dakwaan mengambil alih perjuangan parti Islam itu yang lari dari landasan perjuangan asal – mengapakah sampai terjadi demikian?
Mengapakah seorang presiden sebuah parti progresif dan bersemangat pejuang itu sampai bertindak menunjukkan kekecewaan dan kemarahan begitu?
Jawapannya ialah kekecewaan teramat sangat. Dia sudah sampai ke satu tahap kekecewaan yang sangat berat. Kecewa bercampur marah dan geram. Marah kepada pihak-pihak tertentu di kalangan yang menonjolkan diri sebagai rakan seperjuangan tetapi pada hakikatnya hanya bermain slogan untuk kepentingan diri.
"Tanya diri kita: Apakah kita pejuang, atau hanya bermain slogan untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana?"
Kawan-kawan saya bertanya siapakah dimaksudkan "hanya bermain slogan untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana?" Memang kita boleh meneka dan mengagak siapakah yang dimaksudkan oleh Mat Sabu itu. Tetapi bagi saya itu tidak penting.
Yang lebih penting ialah hakikat Mat Sabu mengalami satu tahap kekecewaan yang besar. Sudah berpuluh tahun berjuang tetapi rakyat Malaysia masih tidak berubah. "Sampai bila kita nak berkeadaan begini?"
Tanyanya kepada hadirin yang ribuan itu, dan saya percaya kepada dirinya sendiri juga.
Saya sebenarnya beberapa kali membangkitkan persoalan ini dalam tulisan-tulisan sebelum ini, sejak beberapa tahun lalu. Dan saya juga pernah menulis perihal bayangan keletihan yang saya lihat pada wajah Anwar sendiri.
Dan saya pun lama memerhati ramai di kalangan pimpinan kita sendiri yang hanya suka bermain slogan bukan sahaja untuk menyedapkan hati orang yang di dalam penjara itu, tetapi untuk menyedapkan hati rakyat juga.
Dalam kata lain mereka menipu dan memperdaya rakyat, untuk kepentingan diri sendiri semata. Di kalangan pimpinan PKR dan juga di kalangan pimpinan PAS, sama sahaja macam Umno. Parti Amanah masih baharu, kita belum dapat menilainya.
Saya dan kawan-kawan dalam kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) malah melihat gelagat sumbang di kalangan sebahagian pimpinan kita itu seawal Jun 2008 lagi. Bacalah tulisan saya "Era Reformasi sudah berganti era Reformani?" dalam buku "Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya" (2012).
Dan kami di dalam Paksi sedikit demi sedikit memperkukuhkan kepercayaan kepada tekad budaya (cultural will), lebih daripada percayakan tekad politik (political will). Maksudnya kami tidak percaya politik boleh menyelesaikan segala masalah masyarakat kita, seperti yang dipercayai dan didakwa kebanyakan pimpinan politik di negara kita.
Malah kepercayaan demikian itu (politik boleh menyelesaikan segala masalah masyarakat) adalah satu kepercayaan salah, dan karut.
Kami di dalam Paksi juga berpandangan masyarakat kita hari ini keterlaluan berpolitik, atau berpolitik berlebihan. Contoh dan buktinya terlalu banyak. Boleh dilihat dalam masyarakat kita pada bila-bila masa sahaja, sekiranya anda memahami apa yang dimaksudkan dengan tekad budaya.
Maka apabila Mat Sabu memperlihatkan kekecewaannya begitu di depan khalayak ramai pada malam Selasa 9 Februari lalu, saya tidak terkejut. Memang begitulah yang sepatutnya berlaku pada seorang yang jujur dan ikhlas berjuang untuk memperbaiki masyarakatnya di Malaysia hari ini.
Masyarakat sudah mengalami kerosakan teruk seperti masyarakat Malaysia hari ini memerlukan lebih daripada politik. Dengan politik sahaja tidak akan mampu untuk mengubati penyakit dan menyelesaikan masalah di dalam masyarakat hari ini.
Politik kita hari ini hanya asyik berebutan kuasa, dan mereka yang sedang berkuasa menumpukan seluruh usaha mempertahankan kuasa mereka. Itu sahaja. Membantu rakyat itu pun hanyalah sebahagian usaha untuk merebut kuasa dan mempertahankan kuasa. Kalau ia tidak boleh menyumbang ke arah itu maka bantuan kepada rakyat itu tidak akan berlaku.
Campaklah berapa banyak mikrofon pun Mat Sabu, keadaan tidak akan berubah. Malaysia hari ini memerlukan kepada tekad Budaya (cultural will), kerana tekad atau keazaman politik (political will) sahaja tidak memadai.
Kerosakan sudah sampai ke tahap yang sangat kronik. Sistem nilai masyarakat seluruhnya sudah rosak. Tidak ada tekad atau keazaman politik yang dapat menyelesaikan permasalahan ini. Kita memerlukan kepada tekad dan keazaman budaya.
"Cara politik" selalu berfikir dalam kerangka waktu yang tak mengizinkan untuk berjangka panjang. Sebarang cadangan untuk bergerak dalam kerangka jangka panjang akan diketepikan.
Nah, sekarang terbukti. Di atas pentas Himpunan 365 itu Mohamad Sabu mengakuinya – kegagalan "cara politik". Maka marilah kita berbincang untuk melihat permasalahan ini dengan "cara budaya" pula. Insya-Allah! – 17 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments