opinion

Di mana kan kucari ganti

Izmil Amri

February 12, 2016

Saya faham perasaan Mohamad Sabu ketika mikrofon yang dipegangnya melayang ke belakang pentas, seusai ucapannya pada malam memperingati satu tahun terkurungnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara Sungai Buloh. Mujur mikrofon itu tidak ditelannya.

Pada usia mencecah 60 (meski masih dipanggil Abang Mat), presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menghabiskan usianya melawan pembodohan, baik dari dalam parti lamanya mahupun dari pihak lawan parti itu. Melawan yang tak pernah-pernah menang, menikam musuh yang tak pernah-pernah mati.

Rasa meluat dan menyampah Abang Mat yang dimanifestasikan dengan aksi baling mikrofon itu barangkali sudah tidak tahan dipendam lama, terutamanya mengenangkan hari ini sudah genap setahun Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggalkan kita semua, dan bermula operasi meretak-belah pakatan parti-parti pembangkang.

www.theinsiderarchived.com/bahasa/article/nik-aziz-meninggal-dunia

Tahun demi tahun PAS bermuktamar dengan Almarhum sebagai Mursyidul-Am, resolusi muktamar tetap sama – perkukuhkan Pakatan. Malang sekali sebaik sahaja beliau pergi, semuanya melingkup sekali.

PAS sudah terbelah dua, malah mungkin lebih banyak pula serpihannya, dengan Abang Mat sendiri mengepalai Amanah setelah gerombolan Anwarinas, jebon dan munafiq harakinya ditendang keluar daripada tanzim dalam muktamar lalu.

PKR juga genap setahun tanpa Anwar kelihatan terhuyung-hayang juga. Tambah tidak membantu dengan keadaan parti itu yang separuhnya berbaik dengan Amanah, manakala separuh lagi masih tidak berlepas daripada kematian Pakatan Rakyat dan masih mengekalkan kerjasama dengan PAS.

PKR masih belum boleh "move on" daripada sosok Anwar sebagai pemimpin ulung yang berjaya menyatukan parti-parti pembangkang. Dan kita juga harus terpaksa mengakui hal itu. Belum ada yang berjaya menggantikan peranan seorang Anwar, meski ramai pemimpin muda maju ke depan mengemudi parti.

DAP juga sebenarnya tidak kurang keliru dan resah dengan identitinya sebagai sebuah parti Malaysia. Separuhnya merasakan parti itu mengorbankan prinsip demi memberi muka kepada pengundi dan penyokong bukan Cina, manakala separuhnya lagi kuat berpendapat DAP perlu diselamatkan daripada tercampak sebakul bersama MCA dan Gerakan.

Ini barangkali tidak kedengaran ketika mendiang Karpal Singh masih ada. Dan DAP pun masih bergelut mencari sosok yang mampu mengganti seorang Karpal Singh, yang tidak mudah bertolak ansur soal prinsip dan idealisme perjuangan.

Kehilangan tiga tokoh ini daripada ketumbukan pakatan pembangkang merungkai habis perkongsian nilai dan dasar bersama yang dipaksakan rakyat sejak tsunami Mac 2008. Walaupun pernikahan arwah Pakatan Rakyat itu "menikah paksa" ia kekal kukuh sehingga diusik-usik senjata hudud dan segala yang sama waktu dengannya.

Ironinya ialah, setakat beberapa kali Parlimen bersidang sejak krisis hudud yang memecahkan Pakatan itu, kita sudah tidak mendengar khabar tentang rang undang-undang pindaan enakmen jenayah shariah Kelantan. Mungkin sidang akan datang, kita tidak tahu.

Namun andai kita ketepikan semua agenda itu, kita masih lagi tersangkut dengan persoalan tajuk tulisan hari ini, mana dia pengganti watak-watak utama kepimpinan politik pembangkang? Mana dia barisan kerajaan menunggu yang bersiap sedia mengambil alih kerajaan?

Persoalan-persoalan ini menggugat sebarang langkah untuk "move on" daripada politik berteraskan keperibadian, terutamanya yang menyentuh Anwar.

Ya benar, calon presiden parti demokrat Amerika Syarikat si Bernie Sanders juga usianya sudah sebaya Lim Kit Siang (75 tahun) dan boleh sahaja takdir menentukan Sanders berjaya diangkat menjadi presiden Yahudi pertama Amerika meski usianya sudah begitu lanjut selari perjuangannya yang sudah begitu lama.

Tetapi memang tidak ada pilihan lainkah bagi rakyat Malaysia untuk terus berpaut kepada Anwar dan mendiam di bawah bayang-bayang harapan masa lalu yang jauh pergi meninggalkan kita?

Memang tak ada ya? Patutlah Mat Sabu naik angin campak mikrofon.

Sempena setahun pemergian Nik Aziz, dan setahun terkurungnya Anwar, ada baiknya kita semua bertafakur sejenak dan memeriksa keadaan dan nawaitu masing-masing.

Mungkin ada yang terlupa jalan panjang menuju kemenangan-kemenangan kecil di peringkat kerajaan negeri itu adalah hasil letih lelah dan air mata darah mereka yang tidak berpeluang pun merasakan kemenangan.

Tanpa sedar barangkali, dengan dibaja pengorbanan mereka, mungkin ada kini yang terbiasa korupsi tanpa sedar, atau bermewah-mewah tanpa sengaja. Tidakkah kita merasa malu? Bahkan merasa selesa pula dengan cara hidup begitu dan bersedia korup pula untuk mempertahankannya dengan apa cara sekali pun.

Sambil menginsafi dan mengenang kerendahan hati Almarhum Nik Aziz si menteri besar yang kekal menetap di rumah kayunya, dan kerelaan Anwar untuk dikurung angkara fitnah, kita harus terus bertanya dan berusaha mencari ganti mereka serta bersiap sedia untuk mengisi kekosongan yang lama mereka tinggalkan.

Ya, di mana kan kucari ganti. Al-Fatihah. – 12 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments