opinion
Di mana ‘persekutuan’ negara ini bila kuasa hanya tertumpu pada pusat?
January 30, 2016Ketika saya menulis artikel ini, saya sedang membaca artikel tentang berkemungkinan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir akan berdepan dengan ancaman dipecat daripada memegang jawatan tersebut.
Setahu saya yang pernah menduduki STPM dan mengambil ujian kertas Pengajian Am, menteri besar adalah jawatan awam yang paling tertinggi di peringkat negeri.
Ini bermakna, ini jatuh di tangan hal negeri.
Seperti mana berlakunya krisis kepimpinan peringkat negeri, seperti di Perak pada 2009, atau di Kelantan sekitar 70-an, campur tangan pemimpin peringkat pusat, seringkali mengganggu dan campur tangan soal negeri.
Saya sering diberitahu Malaysia adalah sebuah negara persekutuan, iaitu konsep di mana sebuah negara memiliki banyak negeri yang mempunyai kuasa autonomi mereka sendiri dengan kuasa kerajaan pusat dan negeri memiliki kuasa mereka tersendiri.
Negara persekutuan yang paling contohnya jelas ialah seperti di Amerika Syarikat, contohnya, pada peringkat persekutuan ganja adalah haram di sisi undang-undang, tetapi negeri-negeri seperti Colorado, Alaska, Washington State - ganja secara rekreasi dibenarkan.
Sesetengah negeri mempunyai undang-undang mereka sendiri.
Tetapi seperti Malaysia, Amerika juga - ibu negara mereka, Washington DC - adalah sebuah Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai kuasa seperti negeri lain.
Sementara di Amerika Syarikat, penduduk di Washington DC masih berjuang untuk mendapatkan hak sama rata seperti negeri lain, penduduk di wilayah persekutuan di negara ini masih buat tak peduli tentang hak mereka yang sebenarnya kurang berbanding penduduk di negeri lain.
Tetapi di negara kita ini, semua benda tertumpu pada Putrajaya, metonim kepada kerajaan pusat, mereka menguasai segalanya dari pelbagai aspek kerajaan.
Walaupun contohnya di negeri mempunyai undang-undang yang berlainan dari negeri lain, contohnya, seperti di Johor, negeri itu mengharamkan vape tetapi tidak di Selangor, atau Sabah dan Sarawak mempunyai set undang-undang yang berbeza berbanding negeri di Semenanjung, tetapi pada akhirnya semua menteri besar dan ketua menteri, terutamanya jika ia adalah dari Barisan Nasional, iaitu sama dengan kepimpinan peringkat pusat, menteri besar dan ketua menteri harus “kow-tow” pada kepimpinan Putrajaya.
Sementara negeri-negeri yang diperintah Pakatan boleh dianggap sebagai “rogue state”, negeri yang diperintah Barisan Nasional, menteri besarnya harus jadi pak turut kepada persekutuan.
Ini tidak betul dalam sistem persekutuan yang sebenar.
Walaupun mereka dalam parti yang sama, pentadbiran persekutuan tidak seharusnya campur tangan dalam pentadbiran negeri.
Dan kita lihat di negara ini, kuasa kerajaan pusat terlalu besar dan semua agensi dan kementerian diserahkan kepada Putrajaya.
Jadi, sementara Putrajaya mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 yang dikatakan dapat mengurangkan perbelanjaan hingga RM9 billion, saya merasakan sepatutnya ia boleh dikurangkan lagi dengan memberikan kuasa yang lebih banyak pada kerajaan negeri (devolution of power).
Banyak kementerian sebenarnya kuasanya boleh diberikan kepada kerajaan negeri seperti pelancongan, kemajuan luar bandar, dan perumahan dan kesejahteraan bandar.
Untuk kerajaan tempatan biarlah, kerajaan tempatan yang dilantik sendiri rakyat yang tadbir.
Masalah di negara kita ialah, pusat terlalu berkuasa dan negeri terlalu lemah dan hanya berkuasa satu 2 hal seperti hal agama atau hal tanah, atau mungkin hal air.
Ini masalah “big government” dalam negara kita ini.
Ini bukan lagi sebuah negara persekutuan kerana kerajaan besar sebegini mengawal segala hal dan kerajaan negeri hanya patuh kerana kerajaan persekutuan memberi arahan.
Dan menteri besar, boleh dipecat dan dilantik sesuka hati perdana menteri. Apa ni?
Seharusnya menteri besar, jika tidak mendapat sokongan dewan undangan negeri - sama seperti perdana menteri tidak mendapat sokongan Parlimen - seharusnya prosedurnya ialah, bubarkan parlimen untuk pilihan raya.
Bukannya perdana menteri pecat menteri besar dan gantikan dengan “barua” baharu.
Tidak ada konsep “barua” dalam kerajaan persekutuan.
Konsep “barua” hanya wujud dalam pentadbiran kerajaan besar (big government) yang hanya berpusat pada satu kerajaan pusat.
Kerajaan persekutuan seharusnya kecil dan banyak agensi ditadbir kerajaan negeri.
Kerajaan pusat tidak seharusnya menjadi “big brother” dan memerhatikan semua kerajaan negeri di bawah telunjuknya, itu bukan kerajaan persekutuan.
Kerajaan negeri seharusnya mempunyai lebih kuasa, kerajaan tempatan harus mempunyai kuasa mereka sendiri, dan persekutuan hanya menumpukan isu seperti polisi luar (foreign policy), pertahanan dan kewangan.
Dan Wilayah Persekutuan seperti Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya haruslah mempunyai kuasa untuk memilih datuk bandar sendiri.
Jika semua kuasa terletak di tangan Putrajaya, tak perlulah panggil Malaysia ini sebuah negara persekutuan, tetapi sebuah negara autokratik yang berpusat pada satu tangan - tangan yang menguasai Putrajaya. – 30 Januari, 2016.
* Ini adalah sajak peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments