opinion

Hang Tuah hanya mitos? – Bahagian 1

Uthaya Sankar SB

February 16, 2016

Hang Tuah hadir dalam hidup saya bersama laungan keramat "Takkan Melayu Hilang di Dunia" sewaktu di sekolah rendah. Pada tahun 1970-an dan 80-an, mata pelajaran Tawarikh (Sejarah) diajar di sekolah rendah.

Sebagai seorang individu yang gemar membaca pelbagai bahan Bahasa Malaysia dan Inggeris, saya berpeluang mengenali tokoh penting dan kisah hebat dari seluruh dunia.

Bercakap secara khusus mengenai Hang Tuah, terdapat sekurang-kurangnya sepuluh versi yang berbeza. Saya turut membanding-bandingkan antara watak-watak dalam "Ramayana", "Mahabharata", "Sejarah Melayu" dan "Hikayat Hang Tuah".

Sejak kanak-kanak, saya tertanya-tanya mungkinkah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu merupakan adaptasi daripada Yudhisthira, Bhima, Arjuna, Nakula dan Sahadeva dalam "Mahabharata" dan "Hikayat Pandawa Lima".

Pandangan ini boleh dilihat menerusi cerpen "Laksamana Arjuna" yang termuat dalam buku "Pulau Pendatang" (2015): "Apabila kelima-lima saudara itu dibawa ke negara asing sebagai utusan diraja untuk menjadi hulubalang demi mempertahankan negara itu daripada serangan musuh, mereka diberi nama dan gelaran baru."

Dalam kumpulan esei "Malaiur Manikam" (2015) juga nama Hang Tuah disebut beberapa kali, khususnya dalam makalah bertajuk "Takkan Melayu Hilang di Malaysia".

Dinyatakan kemungkinan Hang Tuah hanya legenda atau mitos. Sejak kecil, saya berpandangan kisah lima bersaudara itu saduran kisah "Ramayana" dan "Mahabharata" dari India.

Bagaimanapun, sebagaimana dihuraikan AB Sulaiman menerusi buku "Sensitive Truths in Malaysia" (2013), dalam kalangan orang Melayu di Malaysia, kewujudan Hang Tuah adalah "kebenaran budaya" (cultural truth).

Khalayak selain "orang Melayu di Malaysia" tidak semestinya menerima Hang Tuah sebagai individu yang benar-benar wujud kerana ia bukan "kebenaran universal" (universal truth) memandangkan tiada bukti sah berdasarkan fakta yang tidak dapat dipertikaikan.

Menerusi buku "Membongkar Rahsia Dunia Melayu" (2014), buku "Sejarah Melayu" dan "Hikayat Hang Tuah" diangkat sebagai "sumber utama yang menceritakan mengenai asal-usul Hang Tuah".

Pengkaji, ahli akademik terus berbalah

Pengarang buku itu mengakui hakikat "asal-usul Hang Tuah di dalam kedua-dua sumber ini bercanggah" tetapi menggunakan alasan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sudah menerima kedua-dua teks itu dalam Daftar Ingatan Dunia (Memory of the World Register) sebagai bukti sahih.

Sekiranya diteliti, Unesco mendaftarkan "Hikayat Hang Tuah" sebagai "folk tale", "a Malay literary classic" dan "a traditional Malay epic"; bukan sebagai teks sejarah.

Dr Ahmat Adam dalam buku "Antara Sejarah dan Mitos" (2016) menegaskan, Unesco tidak pernah mengiktiraf "Hikayat Hang Tuah" dan "Sejarah Melayu" sebagai teks catatan sejarah.

Bagi pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Melaka, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin, individu bernama Hang Tuah semenangnya wujud.

"Ketokohan Hang Tuah sebagai pahlawan, sikap serta auranya merupakan sejarah yang banyak ditulis dan difilemkan. Iksep sendiri banyak mengeluarkan buku dan hikayat sejarah mengenai Hang Tuah," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian (8 Ogos 2015).

Keyakinan orang ramai mengenai "bukti" kewujudan Hang Tuah semakin meningkat sejak dua pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan buku berjudul "Hang Tuah: Catatan Okinawa" (2015).

Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin menjadi buruan kebanyakan media yang berminat melaporkan penemuan terbaharu mereka berhubung "bukti" kewujudan individu bernama Hang Tuah.

Seperti dilaporkan akhbar Berita Harian (26 November 2015), Dr Hashim berkata, "jejak terakhir pahlawan Melayu itu berakhir di Temasik (Singapura) pada tahun 1511 ketika berusia 80 tahun. Bagaimanapun, pahlawan itu mungkin berpindah ke Riau, Indonesia selepas itu, sebelum mengakhiri hayatnya di Palembang."

Pada 4 Disember 2015, saya terkejut membaca laporan di IsmaWeb di mana Tan Sri Dr Khoo Kay Kim melahirkan keyakinan banyak lagi rekod membuktikan kewujudan Hang Tuah "tersembunyi" di seluruh dunia; termasuk "dokumen yang disembunyikan dalam arkib di New Delhi (India)."

Pandangan ini berbeza dengan apa yang dinyatakannya semasa diwawancara stesen radio BFM dan wartawan Free Malaysia Today pada 16 Januari 2012.

"Semuanya adalah cerita. Sejarah awal Malaysia memang berdasarkan cerita," katanya.

Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah bukan bukti

Hang Tuah adalah watak fiskyen yang hanya wujud dalam "Sejarah Melayu" dan "Hikayat Hang Tuah". Demikian ditegaskan Dr Ahmat di Berita Harian (11 Disember 2015).

Bagi Dr Hashim pula, beliau berpegang kepada data primer (utama) yang diterima daripada Kerajaan Ryukyu (Okinawa), Jepun.

Beliau memberitahu Berita Harian (12 Disember 2015): "Dokumen rasmi 'Rekidai Hoan' menyebut tentang surat yang ditulis laksamana bagi pihak Sultan Melaka ketika itu, Sultab Alaudin Riayat Shah, selain catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang juga menyebut tentang seseorang yang dirujuk sebagai laksamana."

Saya membeli senaskhah buku "Hang Tuah: Catatan Okinawa" pada Disember 2015 dengan harapan akan menemui bukti sahih berhubung kewujudan seorang hulubalang dan laksamana bernama Hang Tuah.

Malangnya, seperti diakui Dr Hashim dan Dr Rohaidah, "Sejarah Melayu" dan "Hikayat Hang Tuah" tidak layak dijadikan sumber primer kerana tidak ditulis sezaman dengan waktu Hang Tuah didakwa hidup (1431-1511).

Sekali gus, segala usaha menegakkan benang yang basah menerusi buku "Membongkar Rahsia Dunia Melayu" turut menjadi tidak relevan.

Menyedari kelemahan yang wujud, Dr Hashim dan Dr Rohaidah cuba beralih kepada dokumen dari luar negara untuk dijadikan sumber primer.

Mereka menemui "Lo-his-ma-na" (Laksamana) dalam tiga surat yang dikirim dari Melaka ke Ryukyu; sekali gus membuat kesimpulan, surat-surat berkenaan ditulis Laksamana Hang Tuah.

Kini timbul pula persoalan apakah "Laksamana" merujuk secara khusus kepada Hang Tuah? Atau hanya gelaran tertinggi bagi jawatan dalam angkatan tentera laut pada abad ke-15 dan ke-16?

Benarkah tanggapan saya sejak kecil watak Laksamana Hang Tuah diambil dan diubah suai daripada teks "Ramayana" dan "Mahabharata"?

Dalam makalah seterusnya, saya akan berusaha membandingkan hujah dalam "Hang Tuah: Catatan Okinawa" dan "Antara Sejarah dan Mitos" secara lebih mendalam untuk menjawab pertanyaan di atas. – 16 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments