opinion

Hang Tuah hanya mitos? – Bahagian 2

Uthaya Sankar SB

February 23, 2016

Apakah Hang Tuah benar-benar wujud dalam sejarah atau sekadar watak dongeng hasil kreatif kesusasteraan Melayu bertujuan mengangkat keagungan kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15?

Inilah persoalan yang cuba dijawab secara akademik oleh Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin menerusi buku “Hang Tuah: Catatan Okinawa” (2015); seperti dihuraikan dalam Bahagian 1 pada minggu lalu.

Dengan mengambil contoh Alexander the Great, Julius Caesar dan Laksamana Cheng Ho, kedua-dua pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menghuraikan keperluan sumber primer (utama) sebagai bahan bukti yang boleh diterima secara akademik.

Teks “Sejarah Melayu”, “Hikayat Hang Tuah” dan “Tuhfat al-Nafis” cuba dikaji untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah sebagai seorang pahlawan yang benar-benar pernah hidup di Melaka.

Teks asal “Hikayat Hang Tuah” dipercayai ditulis pada1688-1710 di Johor, iaitu selepas kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis.

Pada pandangan Dr Kassim Ahmad, “Hikayat Hang Tuah” bukan sebuah teks sejarah, sebaliknya sebuah karya sastera.

Hang Tuah bersama-sama ibu bapanya, Hang Mahmud dan Dang Merdu, dikatakan berasal dari Sungai Duyung, Melaka dan berpindah ke Bentan yang diperintah raja keturunan Sang Sapurba dari Bukit Seguntang.

Di situlah Hang Tuah bertemu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Apabila Raja Bentan berpindah ke Melaka, kononnya mereka dibawa bersama-sama.

Teks “Sejarah Melayu” pula diusahakan Tun Sri Lanang sekitar tahun 1612. Apa yang menarik, menurut laporan akhbar Utusan Malaysia (25 September 2014), Tun Sri Lanang, atau nama sebenarnya Tun Muhammad, anak kelahiran daerah Kota Tinggi, Johor.

Dalam “Sejarah Melayu”, seorang anak raja Bugis dari Goa, Makassar dipersembahkan kepada Sultan Mansur Shah, lalu nama Daeng Merupawah ditukar kepada Hang Tuah.

Memandangkan “Sejarah Melayu” ditulis selepas 1600, maka tidak boleh dijadikan sumber primer untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah dari segi sejarah. Hal ini diakui Hashim dan Rohaidah.

Mencari sumber primer di luar negara

Teks “Tuhfat al-Nafis” pula hanya sekali menyebut tentang Hang Tuah. Malah, diyakini Raja Ali Haji yang mengarangnya pada 1870 yang merujuk kisah dalam “Sejarah Melayu”.

Hashim dan Rohaidah mengaku: “Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nifas seperti yang ada sekarang ini, tidak bertaraf sumber primer kerana tidak tertulis sezaman dengan hidupnya Hang Tuah.”

Akibatnya, terpaksalah mencari sumber primer dari luar negara. Ia hadir dalam bentuk dokumen rasmi “Rekidai Hoan” milik kerajaan Ryuku, Jepun yang ditulis antara 1431 dan 1518.

Menurut pengkaji, ada 3 pucuk surat dalam koleksi dokumen rasmi itu “secara langsung berkaitan dengan Laksamana Hang Tuah dan bertarikh 1480 dan 1481.”

Surat bertarikh 11 April 1480 menampilkan nama “Lo-his-ma-na” (Laksamana) sebanyak 4 kali.

Profesor Atsushi Kobata dan Mitsugu Matsuda yang menterjemah dokumen berkenaan pada 1969 yakin “Laksamana yang disebutkan itu tidak lain daripada Laksamana Hang Tuah yang sememangnya masa itu berkhidmat di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah seperti dinyatakan dalam Sejarah Melayu.”

Perhatikan pandangan mereka berdua iaitu “Laksamana” merujuk kepada “Hang Tuah” cuba dijadikan bukti sahih oleh penulis buku “Hang Tuah: Catatan Okinawa”.

Satu lagi sumber primer yang diketengahkan ialah buku catatan Alfanso Dalboquerque (Alfonso de Albuquerque) mengenai pelayaran ke Goa, India (1510) dan Melaka (1511).

Pegawai tinggi angkatan laut itu mencatatkan mengenai seorang Laksamana berumur 80 tahun yang berpindah ke Singapura selepas kejatuhan Melaka.

Catatan di atas juga cuba dijadikan bukti sahih oleh Hashim dan Rohaidah dengan menyimpulkan “Laksamana” merujuk kepada “Hang Tuah”.

Laksamana dan Hang Tuah 2 watak berbeza?

Pada pandangan saya, hujah-hujah yang dikemukakan masih kurang meyakinkan. Pengkaji berkenaan masih berpegang kepada “andaian” dalam usaha membuktikan Hang Tuah benar-benar wujud.

Dalam teks “Sejarah Melayu” selenggaraan Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh (1997), dinyatakan Hang Tuah meninggal dunia akibat “menghidap demam panas dan sakit kepala” sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Perkara ini disentuh Dr Ahmat Adam dalam buku “Antara Sejarah dan Mitos” (2016) sebagai usaha membuktikan “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuah” lebih menepati konsep dongeng, legenda dan mitos berbanding teks sejarah.

Pada pandangan Ahmat, kisah ketokohan Hang Tuah diceritakan daripada generasi ke generasi dalam kalangan orang Melayu sehingga akhirnya dipercayai sebagai fakta sejarah.

Teks “Hikayat Hang Tuah” disifatkannya sebagai “epic romance”, “sejarah mythical seorang wira kesultanan Melaka”, “fiksyen sejarah” dan “historical novel”.

Sejak kanak-kanak, saya melihat persamaan ketara antara watak 5 pahlawan dalam “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuah” dengan “Ramayana” dan “Mahabharata”.

Saya melihat perwatakan Laksamana (Ramayana) dan Arjuna (Mahabharata) dalam penampilan diri Hang Tuah.

Hashim dan Rohaidah mengandaikan nama “Laksamana” yang ditemui dalam dokumen rasmi di Okinawa merujuk kepada “Hang Tuah”.

Bagi Ahmat pula, “Laksamana” dan “Hang Tuah” merujuk kepada 2 watak berbeza.

Pada penelitian beliau, demi tidak melanggar pantang-larang menyebut dan menulis nama seorang hulubalang besar seperti Laksamana, maka Tun Sri Lanang mencipta watak Tuah (atau “Tuha” dan “Toh”) sebagai alter ego kepada Laksamana yang benar-benar hidup pada zaman itu.

Pencarian Hang Tuah masih diteruskan

Dr Ahmat yang pernah berkhidmat sebagai felo pelawat, sarjana tamu dan felo penyelidik di beberapa universiti luar negara menegaskan, Hang Tuah hanyalah “watak fictitious” dan “watak khayalan”.

Apa yang pasti, katanya, “Hang Tuha atau Hang Toh bukanlah nama sebenar Laksamana Melaka – jauh sekali Hang Tuah!”

Watak Hang Tuah dipercayai direka berdasarkan watak Raden Inu Kertapati dalam cerita panji dari Indonesia.

Kehadiran 5 sahabat membuktikan pengaruh “Hikayat Pandawa Lima” yang bersumberkan epik “Mahabharata” dari India.

Watak Laksamana Hang Tuah dikatakan bersumberkan watak Laksamana dalam epik “Ramayana” dan “Hikayat Seri Rama”; sama seperti tanggapan saya sejak kecil.

Ahmat menghuraikan pandangan ini secara mendalam dan akademik menerusi buku “Antara Sejarah dan Mitos” setebal 212 halaman.

Memang wujud individu yang memegang jawatan “Laksamana” semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah tetapi watak “Hang Tuah” adalah rekaan semata-mata.

Beliau menyimpulkan, watak Hang Tuah tidak pernah wujud, manakala teks mengenai watak itu “sebuah fiksyen sejarah” dan “dongeng belaka”.

Lalu, mengapakah watak Hang Tuah terus “hidup” sehingga kini bersama-sama laungan “Takkan Melayu Hilang di Dunia”?

Menurut Ahmat, watak mitos Hang Tuah diwujudkan untuk “menyampaikan mesej yang maha penting kepada orang Melayu...kesetiaan kepada pemerintah sangat dituntut, dan derhaka dan khianat terhadap raja atau datu adalah terkutuk.”

Sementara itu, menurut laporan Bernama (17 Disember 2015), sekumpulan pengkaji sedang mencari dana lebih RM1 juta untuk membiayai projek membuktikan Hang Tuah benar-benar wujud. – 23 Februari, 2016.

* Bahagian 1.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments