opinion

Baik dan buruk lumrah duniawi – Bahagian 2

Meor Yusof Aziddin

March 10, 2016

Peristiwa pembunuhan Habil oleh abangnya Qabil lantaran wujud sifat dengki dan iri hatinya terhadap adiknya itu, adalah sejarah pembunuhan yang pertama berlaku di muka bumi.

Siapa yang melengkapkan episod kejahatan itu melainkan iblis yang kerjanya memang untuk memporak-perandakan hidup manusia?

Mengiakan siri hidup manusiawi, berpandukan burung gagak yang menggali lubang untuk menanam jasad burung gagak yang dibunuhnya, Qabil mendapat ilham untuk menanam adiknya itu dengan menggali lubang di dalam tanah sebagaimana kita manusia mengkafankan jenazah ke liang lahat.

Sebelumnya iblis jugalah yang bertanggungjawab menyebabkan Adam terhumban ke dunia lantaran kelemahan Hawa yang kalah dengan pujukan dan rayuan sang iblis. Iblis adalah pelengkap siri kehidupan hidup kita di dunia ini.

Jadi Qabil adalah lambang kejahatan, manakala Habil pula kebaikan. Qabil diriwayatkan mati terbunuh oleh anaknya sendiri selepas hidup dalam buangan lantaran kemurkaan ayahnya, nabi Adam.

Putera Adam yang berikutnya , Syits perangainya menyerupai Habil, yang mana dari keturunannya itulah, lahirnya Nabi Idris yang diutuskan Tuhan untuk memberi pencerahan kepada bani Qabil.

Jadi kehidupan kita di dunia ini bersebab sebenarnya. Kita adalah sebahagian dari cerita buruk dan baik hidup ini.

Tanpa iblis, hidup kita manusia ini statik seperti air laut yang sentiasa tenang tanpa ada ombak, ribut mahupun taufan. Iblis adalah lambang gelap dan kejahatan. Fitrah kehidupan adalah buruk dan baik, bukannya baik semata. Itu sebab kita katakan hidup ini adalah seperti sebuah drama kehidupan.

Kita manusia sesuai dengan sifat kita yang lemah dan sukakan keindahan, sangat sukakan perkara-perkara yang baik sahaja untuk didatangkan kepada kita, kalau boleh yang jahat-jahat kita minta simpang malaikat 44.

Kenyataannya akan tetap tiba perkara-perkara yang tidak kita suka atau yang kita minta jauhkan itu, sebabnya skrip bukannya datang daripada kita, melainkan Dia belaka. Apabila bala tiba, kita hanya punya dua pilihan, menerima atau menafikan.

Jadi untuk berlaku adil akan kehidupan ini, kita perlu faham apa itu kehidupan dan apa itu kematian dalam kehidupan.

Kehidupan itu apabila kita perlu menganggap setiap yang bernyawa itu hanyalah pelakon semata. Mereka membawa watak berlandaskan tahap nafsu, kedudukan dan kefahaman mereka tentang alam dan Tuhan.

Tinggi rendah, darjat dan pangkat hanya di sisi manusia, di sisi Tuhan kita ini sama sahaja. Apabila mati, kita dikafankan dengan kain putih pembalut badan. Yang nak menghadap pencipta itulah “roh” yang ‘ Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali’.

Pun begitu, cerita di dunia adalah tentang di sisi manusia, bukan Tuhan. Kalau mereka fikirkan tentang Tuhan, tak adalah orang kaya, miskin, pangkat dan darjat, tinggi mahupun rendah.

Oleh itu kita perlu tahu di mana kita sedang berada untuk menyesuaikan diri kita tentang kefahaman setiap individu itu.

Positifnya daripada pemahaman yang sedemikian akan menjadikan kita manusia yang faham dan redha akan isi cerita duniawi ini.

Sewaktu saya sedang bernyanyi dan berlagu, pernah datang seorang lelaki berumur 60an, yang seakan memaksa saya berhenti menyanyikan lagu yang sedang nyanyikan demi menunaikan permintaannya.

Katanya yang sering berulang-alik ke Indonesia menguruskan perniagaannya, “Di sana, bersepah orang macam kamu ni”, sambil matanya menjeling sinis buku-buku dan album-album saya yang saya “display” untuk dijual.

Saya hanya mengiakan apa sahaja yang keluar dari mulut orang itu kerana bagi saya hanya setakat itu sahaja kefahamannya dalam mentafsir makna hidup dan kehidupan. Dengan tahap cetek dan pandangan terhadap dunia yang hanya satu sisi, adalah sangat malang bagi seorang yang berumur 60an masih berfikir dan melihat dunia dengan cara yang sedemikian.

Kita perlu melihat dunia dari atas, maka kita akan melihat lebih banyak pandangan. Satu sisi akan membuatkan pandangan kita terbatas. Kita perlu membaca banyak buku yang berlainan corak dan gaya, untuk kita lebih faham akan segala isi dan kefahaman dalam bentuk yang pelbagai.

Dalam hidup kita seharian, perkara yang paling afdal untuk kita lakukan adalah benda yang membahagiakan kita. Pun begitu akan ada babak-babak yang tidak menyenangkan yang akan datang kepada kita, yang itu kita hanya perlu”delete” dari “folder” ingatan kita.

Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu hari ini, adalah penting agar kita dapat pastikan kita dapat menjalani hidup seharian kita dalam keadaan yang tenang dan rasional.

Bukan hanya orang baik yang berjaya mengubah dunia, orang jahat seperti Hitler , Mustafa Kemal Ataturk (Presiden Turki) mahupun Pol Pot pun berjaya mengubah dunia juga.

Saya percaya pada kifarah dan qada dan qadar. Kita bertanggungjawab atas setiap apa yang kita lakukan di dunia ini. Kita akan menerima segala yang baik mahupun yang buruk kerana segalanya sudah pun tertulis di luh mahfuz.

Selebihnya, jadilah pelakon yang bijak sesuai dengan skrip yang diperuntukkan untuk kita di dunia ini.

Artikel bahagian pertama boleh diikuti menerusi pautan di sini. – 10 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments