opinion
Jangan putar belit Deklarasi Rakyat, kata mereka
March 14, 2016Apa tujuan Deklarasi Rakyat? Ia berbeza versi menurut siapa yang ditanya.
Kalau ditanya pada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ia adalah untuk menyelamatkan Umno daripada tewas di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menendang Datuk Seri Najib Razak keluar sebagai perdana menteri dan juga presiden Umno.
Caranya? Sehingga kini tak tahu sama ada ia dalam bentuk spring atau undi tidak percaya atau sekadar menggunakan “roadshow” yang ditaja rakyat melalui derma.
Kalau ditanya pada PKR, ia adalah untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara. Bagaimana Anwar boleh keluar penjara sekiranya Najib turun dan Umno masih berkuasa sehingga ini masih tidak diketahui.
Ataupun mereka mengharapkan mahkamah persekutuan boleh membatalkan keputusan atau Dr Mahathir boleh mendesak Agong untuk mengampunkan Anwar? Tak apa yang penting ialah rakyat percaya Deklarasi Rakyat ini akan dapat membebaskan Anwar.
Jika Deklarasi Rakyat ditanya pada DAP, sudah tentunya jawapannya ialah untuk menyelamatkan Malaysia kerana negara sudah hampir menjadi satu "failed state”.
Bekerjasama dengan Dr Mahathir yang dilanyak DAP melebihi sedekad bukanlah satu tindakan yang hipokrit, kata mereka. Ia juga bukan demi kuasa. Ia adalah untuk rakyat dan demi rakyat.
Tumbangkan Najib dahulu, yang lain bikin kemudian, hujah mereka. Yang lain bikin kemudian? Bukankah ini bermaksud rakyat dan negara berada di tempat lebih rendah daripada agenda politik mereka?
Sebenarnya ahli politik Malaysia, jika mereka mempunyai kuasa dan cukup korum untuk melaksanakan sesuatu, mereka tidak akan meninjau pandangan rakyat. Kedua-dua belah bersikap sama.
Lihatlah Langkah Kajang dan penukaran Mukhriz sebagai menteri besar Kedah, ada siapa kisah pasal pandangan rakyat?
Ahli politik hanya libatkan rakyat apabila mereka kebuntuan jalan. Dr Mahathir dan Muhyiddin kebuntuan kerana mereka tidak dapat membawa 30 ahli parlimen BN untuk bersama mereka dalam mendesak Najib untuk meletakkan jawatan.
Pembangkang juga kebuntuan, terutamanya PKR dan DAP, yang berkelahi jauh lebih hebat dalam isu perebutan kerusi di Sarawak dan juga tindakan Lim Guan Eng memecat 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dari syarikat milik kerajaan di Pulau Pinang.
Bagi mereka yang kebuntuan ini, mereka merasakan tindakan Dr Mahathir keluar daripada Umno sebagai satu peluang politik untuk melakar sesuatu yang baharu supaya kebuntuan mereka boleh dileraikan.
Cuma yang tidak disangka mereka ialah perkara ini membawa lebih banyak masalah daripada bantuan apabila rakyat merasakan mereka bersifat oportunis dan hipokrit dalam menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir.
Sebenarnya masalah Deklarasi Rakyat bukan pada Dr Mahathir. Semua tahu Dr Mahathir sangat sayang pada Umno. Semua yang dilakukan beliau pada usia emasnya adalah untuk menyelamatkan Umno dan BN, dan tidak mahu parti itu kehilangan kuasa.
Namun, ini yang cuba dinafikan pembangkang. Ini yang menyebabkan rakyat merasakan mereka tidak konsisten, tiada batas dan juga terasa mereka cuba dibodohkan kerana selama ini pembangkanglah yang menghancurkan kredibiliti Dr Mahathir sehinggakan rakyat merasakan beliaulah punca kepada segala masalah negara.
Jangan putar-belitkan Deklarasi Rakyat, kata mereka yang mendukungnya. Apa kata jangan cuba memperbodohkan rakyat dengan menafikan apa yang nyata terlebih dahulu? – 13 Mac, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments