opinion

Kerajaan yang kecil adalah kerajaan terbaik selain tidak ada kerajaan

Nomy Nozwir

January 23, 2016

Baru-baru ini, kecoh berita tentang Putrajaya akan memberhentikan seketika biasiswa pendidikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apabila Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula Bajet 2016 selepas penurunan harga minyak di pasaran dunia.

Lalu, timbullah kemarahan netizen ke atas berita ini dan kemarahan itu dilemparkan terus kepada perdana menteri kerana ini dikatakan bakal menyusahkan orang ramai, khususnya pelajar yang sedang memerlukan wang untuk pembelajaran mereka di pendidikan peringkat tertier.

Saya berpendapat, walaupun saya jarang bersetuju dengan perdana menteri, tetapi kali ini, saya bersetuju.

Saya bersetuju dengan pihak universiti untuk mengurangkan belanja biasiswa pelajar, tetapi dengan mengurangkan pengambilan pelajar di universiti.

Bunyinya agak teruk, tapi saya sokong ini kerana bagi saya, pelajar universiti di negara ini sudah berlakunya lambakan dan peluang pekerjaan semakin sedikit untuk direbut mereka.

Saya adalah penyokong idea "Small Government", atau "Kerajaan Yang Kecil", kerana saya pernah tulis dalam artikel saya berkali-kali tentang betapa tidak pentingnya kerajaan dalam hidup saya.

Bagi saya, apa yang saya mahukan ialah kerajaan ini seminima boleh memberi impak pada hidup saya, kerana saya tidak mahu bayar cukai dengan lebih tinggi.

Saya tidak hipokrit. Saya bukan sejenis manusia yang mahu itu percuma, ini percuma, mahu kerajaan biaya ini dan itu, tapi mahu bayar cukai yang rendah. Kalau boleh tak nak bayar langsung.

Saya percaya dengan konsep "kita patut dapat apa yang kita bayar".

Lalu ramai yang membandingkan program pendidikan percuma di negara Scandinavia seperti Sweden dan Norway yang memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

Tapi cukainya sangat tinggi dan saya percaya jika orang ramai ini tahu berapa cukai yang dibayar rakyat Sweden atau Norway, mereka tidak akan sanggup untuk meminta perkhidmatan kerajaan seperti Sweden dan Norway.

Di Sweden, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) nya ialah 25%. Begitu juga dengan Norway. Kita cuma 6% dan itu pun kita dah merungut macam-macam.

Saya bantah cukai GST. Saya jujur berkata ia sangat menyusahkan. Tapi saya memang seorang yang tidak suka bayar cukai.

Kerana pendirian politik saya yang saya tidak suka bayar cukai, jadi saya menyokong agar kerajaan supaya tidak berbelanja dengan cukai yang dikutip dari rakyat macam duit itu turun dari langit, dan berbelanja sesuka hati.

Lagi kurang rakyat bayar cukai, lagi kurang kerajaan ada wang, lagi kurang rakyat bergantung dengan kerajaan, lagi bagus.

Tetapi biasiswa adalah sesuatu yang penting. Ia adalah pelaburan kerajaan untuk sumber modal insan pada masa depan.

Tetapi jika pelaburan kerajaan ini melabur pada modal insan yang pada akhirnya susun kek lapis terpanjang di universiti masing-masing, saya rasa ini tidak perlu.

"Biaya berapa banyak yang mampu" dan "biaya hanya yang terbaik", ini saya sokong.

Jadi, dengan cara ini, secara automatik akan mengurangkan pengambilan pelajar ke universiti kerana kerajaan tidak mampu untuk menanggung kos pelajar universiti yang semakin meningkat setiap tahun, dan hanya yang benar-benar berkualiti sahaja dipilih.

Semasa saya masuk ke universiti, keluarga saya membiaya sendiri perbelanjaan dan yuran pembelajaran saya sendiri.

Jangan silap, saya bukan anak orang kaya, saya juga seperti keluarga biasa, tidaklah terlalu kaya.

Dan saya sendiri bekerja dan ada kalanya menjual barangan saya yang tidak perlu yang ada pada saya untuk meneruskan kehidupan di kampus.

Saya tidak memiliki laptop atau gajet canggih, saya tidak berbelanja bersama awek tengok wayang atau minum kopi mahal, saya tidak beli baju mahal.

Jadi pada akhir pembelajaran saya, saya keluar dari kehidupan kampus tanpa hutang.

Kerana semasa saya mengambil borang untuk pinjaman/biasiswa dan berikan pada ayah saya untuk dia tandatangan, dia kata "jangan bergantung pada kerajaan".

Entahlah, mungkin ayah saya seorang Reaganista yang berkata "kerajaan itu satu masalah" yang popular sekitar 80-an, tapi saya rasa, itulah nasihat yang terbaik dari ayah saya pada saya.

Cuma, dalam masa saya bersetuju tentang hal ini, saya juga mahu kerajaan mengurangkan perbelanjaan yang saya fikir tidak perlu.

Perbelanjaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) misalnya, sampai RM1 billion. Saya rasa perbelanjaan ini tidak patut dan saya rasa Jakim ini memang patut dimansuhkan kerana bagi saya, dalam bahasa mudah, ia "tidak pulang modal".

Kerajaan harus menganggap rakyat sebagai pelabur. Apa yang rakyat mahu sebagai "pemegang syer saham" di negara ini hendaklah ditunaikan.

Dan bagi saya yang tak berminat nak jadi "pemegang syer saham" ini, tolong jangan ganggu saya. Saya tidak perlukan kerajaan dalam banyak hal. Jadi, saya cuma akan bayar mengikut berapa yang saya perlukan dari kerajaan.

Saya juga mahu menteri atau ahli parlimen, untuk mendapat gaji yang sepatutnya. Maksud saya yang sepatutnya, ialah berapa khidmat yang mereka berikan.

Kalau ahli parlimen ini datang Parlimen pun malas, rasanya orang macam ni tak perlulah kita bayar gaji.

Mansuhkan jabatan yang tidak perlu, kurangkan penjawat awam yang hanya sibuk dengan projek tepi, mansuhkan kementerian yang bertindih dengan exco kerajaan negeri, kurangkan perbelanjaan mengarut, dan kurangkan perbelanjaan menteri dan ahli parlimen, selain mengurangkan perbelanjaan pendidikan.

Dan dengan itu, barulah kita rakyat, tidak perlu untuk bayar cukai dengan lebih banyak?

Saya bukan seorang anarkis, tapi saya percaya, rakyat sebenarnya tidak perlukan sangat pun kerajaan, sebab boleh je rakyat hidup tanpa campur tangan mereka dalam kehidupan kita. Kerajaan yang perlukan rakyat, dan itu yang patut mereka sedar. – 23 Januari, 2016.    

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

 

 

 

 

 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments