opinion

Menangani masalah mahasiswa kesempitan

Farouk A. Peru

January 13, 2016

Amatlah sedih saya apabila membaca cerita minggu lepas tentang mahasiswa yang mengikat perut sehinggan ususnya tercedera. Walaupun kesahihan cerita ini belum boleh dipastikan, namun ia masih menyayat hati.

Tindakan yang ekstrim sebegitu sudah tentunya menandakan situasi yang parah. Tidak ada manusia rasional yang akan berbuat demikian jika ada pilihan lain.

Teringat saya filem klasik 80-an, Ali Setan. Filem ini berkisar di sebuah universiti tempatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang kalau tak salah. Ali dan rakannya, seperti mahasiswa secara kebiasaan, sentiasa kekurangan wang.

Dali (watak yang dimainkan pelakon Shah Rezza), seorang rakannya dari Kelantan, mendapat duit biasiswa lalu terus berbincang dengan Ali (yang boleh dikira sebagai mentor atau tok guru kepada rakan-rakannya) tentang hajatnya untuk membeli motosikal. Kenapa? Kerana dia ada temujanji dengan gadis yang ditemui di pasar malam!

Mujurlah Ali, yang sentiasa melindungi rakan daripada membuat kesilapan, menawarkan Dali meminjam motosikalnya sendiri.

Adakah ini yang berlaku dengan mahasiswa kita? Susah kita membuat dakwaan. Ini adalah kerana masalah ini melanda banyak mahasiswa yang sudah tentu tidak berlakuan yang sama. Mungkin ya, ada penulis yang berkomentar di media sosial yang para mahasiswa bersikap boros dengan wang pinjaman atau tajaan mereka.

Mungkin juga kos hidup yang kian meningkat akibat GST dan sebagainya menyumbang kepada situasi ini. Jawapannya bukanlah mudah sebenarnya.

Saya berpengalaman hampir 20 tahun dengan para pelajar di United Kingdom (UK). Pada mulanya, sebagai mahasiswa dalam umur lingkungan 20-an dan baru-baru ini, sebagai tenaga pengajar. Ceritanya hampir sama saja.

Di UK, kerajaan pada waktu dahulu  memberi pendidikan di universiti secara percuma untuk semua. Polisi ini berterusan beberapa dekad. Bukan saja yuran ditaja, malah para mahasiswa diberi duit saraan kos hidup juga. Polisi ‘from the cradle to the grave’ (dari buaian ke liang lahat) amatlah menjadi kebangaan warga UK dan saya faham kenapa. Rakyat mereka dipelihara dengan baik.

Namun begitu, bukanlah semua pelajar UK menghargai polisi ini dengan baik. Malangnya, di UK, universiti juga dilihat sebagai langkah pertama ke arah kebebasan seratus peratus. Para mahasiswa yang melangkah ke universiti acapkali terpaksa meninggalkan kampung halaman masing-masing.

Saya sendiri pernah menjadi ‘housemate’ kepada para mahasiswa yang sebegini. Mereka yang sebegini akan menikmati kebebasan mereka dengan sepenuhnya.

Budaya yang kurang sihat seperti minum arak secara tidak bertanggungjawab (‘binge drinking’ yang menjadi penyakit  sosial di UK), mengambil dadah (kebanyakannya ganja atau ‘marijuana’ yang dikatakan sepertiga pelajar UK pernah mencuba) dan berpoya-poya (seks secara rambang yang sebenarnya menjadi masalah pelajar peringkat sekolah menengah juga).

Jadi apabila para mahasiswa mendapat wang pinjaman, akses kepada semua gejala ini menjadi lebih mudah dan terjebaklah mereka.

Bolehkah kita menyalahkan kerajaan? Ini mungkin jawapan yang mudah. Sudah tentunya kerajaan terpaksa memikul tanggungjawab dari sudut ekonomi. Merekalah yang memeterai polisi GST yang menaikkan kos sara hidup. Mereka juga tidak memberi jalan penyelesaian yang munasabah bahkan tidak masuk akal langsung.

Saranan seperti ‘jangan makan ayam’ atau ‘cari pekerjaan ke-2’ yang sudah tentu tidak boleh dipakai untuk para mahasiswa. Walaupun demikian, susah untuk kita menuding jari kepada kerajaan sahaja.

Mereka tidak dapat mengawal hal ehwal semua pelajar IPTA. Pengurusan sedemikian mungkin terlalu sukar lebih-lebih lagi jikalau sistem pentadbiran itu lebih mementingkan survival mereka daripada nasib rakyat.

Jadi apakah yang boleh dilakukan? Saya selalu suka kepada jalan penyelasaian secara proaktif. Jangan bergantung sangat kepada kerajaan. Tugas pertama kerajaan ialah untuk meraih kuasa supaya mereka tidak disingkir daripada posisi mereka. Jadi terpulanglah kepada rakyat untuk bekerjasama di antara satu sama lain untuk menjaga nasib masing-masing.

Saya amat memuji tindakan kumpulan Food For Mahasiswa (FFM) dan Muslim Volunteers Movement (MVM) yang membantu memberi makanan kepada para mahasiswa. Kepada yang beragama Islam, saya ingin mengatakan yang pada saya, mereka mengambil langkah yang sememangnya positif dan diarahkan al-Quran sendiri.

Menurut laporan yang saya baca, 300 bungkusan makanan habis dalam masa 10 minit sahaja! Mungkin laporan ini tidak literal (atau ‘exaggeration’) tapi masalahnya amatlah jelas.

Jika benar para mahasiswa mempunyai masalah dalam pengurusan wang (seperti si Dali dalam filem ‘Ali Setan’), mungkin bagus jika NGO boleh menganjurkan kelas dalam pengurusan wang (‘personal finance’).

Pengurusan bajet sendiri sangatlah penting sebenarnya. Tiap-tiap orang tak kira miskin atau kaya terpaksa berdepan dengan hakikat ini. Namun, kebolehan ini tidak diajar secara formal. 

Mungkin jika para mahasiswa dapat memahami pengurusan kewangan, bukan sahaja untuk masa jangka panjang tetapi juga untuk seumur hidup, mereka dapat memahami betapa pentingnya perancangan kewangan.

Satu lagi langkah yang boleh diambil ialah tajaan daripada syarikat tempatan. Syarikat ini boleh mengambil para mahasiswa sebagai penajaan mereka. Dengan menampung kos sara hidup mereka semasa belajar, mereka juga dapat mengikat kontrak dengan anak muda ini dan hutang mereka boleh diselesaikan apabila membayar gaji.

Dengan ini, para mahasiswa yang ada pinjaman tidak boleh ada sikap sambil lewa apabila berhutang seperti sikap yang ada sekarang terhadap hutang kerajaan. Ini juga akan mengajar tanggungjawab kewangan (financial responsibility).

Apa yang lebih memberangsangkan ialah perhubungan sebegini dapat mengeratkan perpaduan di antara kaum. Para mahasiswa adalah golongan harapan negara. Wajarlah mereka dibantu dengan sempurna. – 13 Januari, 2016.    

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments