opinion

Satu mimpi peribadi

Timmy Say

February 08, 2016

Sebelum dibawa ke medan permainan, pembesar suara mengingatkan saya mengenai cabaran yang bakal dihadapi.

“Kamu akan masuk gelanggang tanpa membawa apa-apa. Pada masa ke masa, saya akan pinjamkan kamu sesuatu dan mengambil semula sesuatu daripada kamu sebelum tamatnya masa permainan. Semua ini akan dilakukan tanpa sebarang notis. Apabila tamatnya masa permainan, saya akan membawa kamu keluar dari gelanggang ini. Ini juga dilakukan tanpa notis,” kata pembesar suara itu.

“Berapa masa yang saya ada?” jerit saya.

“Kamu ada masa sehingga masa yang membawa kamu keluar dari gelanggang ini. Layanlah setiap perkara yang saya pinjamkan dengan baik sebelum saya mengambilnya semula. Ingatlah pesanan ini dengan hati dan jiwa kerana minda kamu akan dikosongkan apabila kamu masuk gelanggang nanti.”

Tetiba, saya bangun dari tidur. Rupa-rupanya ia satu mimpi. Saya bergegas menyiapkan diri untuk ke sekolah. Kalau tertinggal bas sekolah, ia akan menyusahkan ibu kerana ibu terpaksa membawa saya ke sekolah dengan bersama-sama menaiki bas awam sebelum pulang ke rumah.

Kehidupan saya berjalan seperti biasa, mimpi yang aneh dilupakan sama sekali.

Teringat satu tahun baru Cina ketika saya remaja. Tahun itu, atuk baru sihat sedikit selepas menjalani kemoterapi kerana kanser. Namun, tahun baru cina ini terpahat di minda kerana inilah pertama kali saya dimarahi atuk kerana cuba memberinya anggur. Masa itu, tiada yang faham mengapa. Semua cuba diam menarik saya menjauhi atuk.

Selepas beberapa bulan, atuk meninggal dunia ketika saya bermalam di kampung. Nenek tidak mengejutkan saya ketika itu, kerana bimbang saya ketakutan. Pada pandangan nenek, saya tetap seorang budak.

Beberapa tahun selepas itu, atuk sebelah bapa pula meninggal dunia. Mata atuk saya ini buta sudah beberapa dekad. Ada satu tahun, atuk terjatuh di dalam tandas. Semenjak itulah, saya dan keluarga menjaganya. Memimpinnya ke tandas dan bilik air, membawanya ke kedai gunting rambut dan juga ulang-alik hospital.

Atuk meninggal dalam tidur ketika usianya menjangkau 100 tahun. Namun, sebenarnya kami tiada pertalian darah kerana bapa saya adalah anak angkatnya yang dilayannya bagai anak kandung.

Tahun lepas, nenek pula meninggalkan kami. Nenek sakit teruk sejak anak bongsunya (makcik saya) meninggal empat tahun yang lalu tetiba akibat kanser. Nenek saya tugasnya berat sepanjang hidup. Selain menjaga atuk saya, nenek juga menjaga seorang abang dan adiknya yang hidup sebatang kara sehingga kematian mereka.

Nenek terpaksa mengharungi kematian suami, anak dan juga kesakitan berpanjangan sehingga beliau meninggal. Setiap tahun baru cina, kami akan pulang ke rumah nenek untuk makan besar bersama. Saudara mara dari Singapura juga datang.

Namun, tahun ini berbeza. Tanpa nenek, tiada siapa lagi yang pulang ke kampung. Saudara mara di Singapura akan meraikan Tahun Baru Cina sendiri dan begitu juga keluarga saya. Apabila keadaan ini berlaku, itu petanda saya kehilangan satu generasi keluarga. Tiada lagi atuk dan nenek. Yang ada hanyalah bapa dan ibu sebagai orang paling "tua" di dalam kehidupan saya.

Tetiba saya teringat mimpi saya ketika kecil.

Saya bertanya pada diri saya – apakah saya membuat sebaik mungkin untuk kedua-dua atuk, nenek dan makcik ketika Tuhan pinjamkan mereka di dalam hidup saya sebelum membawa mereka pergi?

Bagaimana pula dengan bapa, ibu dan adik-beradik saya? Apakah saya menjadi anak yang baik dan abang yang bertanggungjawab?

Bagaimana pula dengan abang, ayah angkat, pakcik dan cikgu yang dipinjamkan kepada saya? Apakah saya dapat membantu ketika mereka memerlukan bantuan?

Bagaimana pula dengan sahabat-sahabat dan mereka yang diletakkan di hidup saya walaupun sekejap? Apakah saya melakukan amanah saya sedaya mungkin? Apakah saya ada menzalimi mereka? Jika ya, apa yang perlu saya lakukan untuk memperbetulkannya?

Masalahnya, berapa masa lagi yang saya ada untuk melakukannya?

Sempena Tahun Baru Cina hari ini, saya ingin berpesan agar setiap kita dapat menghayatilah dan bersyukur dengan apa yang ada selagi kita masih diberi masa.

Jangan angkuh, dan jangan simpan kemarahan dan dendam lama-lama kerana tiada siapa yang tahu bila kita akan dikeluarkan daripada gelanggang dunia ini.

Selamat bercuti dan berhati-hati di jalan raya. – 8 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments