opinion

Tanpa DLP, bahasa Melayu tetap dalam krisis

Wong Chin Huat

March 13, 2016

Krisis bahasa Melayu bukan sahaja dalam penggunaan, tetapi lebih lagi dalam kebolehgunaan dan kebergunaan.

Minggu lepas saya membincangkan bahaya dan kepincangan "Dual Language Programme" (DLP) jika Kementerian Pendidikan tidak mempunyai iltizam dan rancangan untuk mengatasi kelemahan dalam sekolah yang mengekalkan bahasa penghantar asalnya, sebagai satu pakej.

Apabila sekolah perintis yang menukar bahasa penghantar matematik, sains dan teknologi kepada bahasa Inggeris di bawah DLP menunjukkan kemajuan, tidak hairan ia akan diriuhkan sebagai tanda keunggulan DLP dan alasan mengapa DLP harus diperluaskan kepada semua sekolah.

Dan apabila faktor-faktor “bias pemilihan sendiri” dan “manfaat perintis” dalam kejayaan sekolah-sekolah perintis tidak diambil kira, sekolah yang tidak memilih DLP akan dipersalahkan dengan masalah-masalah yang sedia ada.

Tanpa keiltizaman kepada kepelbagaian dan pilihan Kementerian Pendidikan, DLP kebarangkalian besar akan menghasilkan ketidaksamarataan dan ketidakadilan yang baru, seperti yang dikatakan seorang aktivis budaya, “akan wujud 2 kasta: sekolah DLP dan sekolah bukan DLP”.

Kewujudan dua “kasta” dalam sistem pendidikan sememangnya bukan perkara baru. Lihat saja layanan yang diterima sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) selama ini.

Daripada pengamatan saya yang mungkin cetek dan kurang tepat, sungguhpun tidak diungkapkan secara terbuka, kegelisahan yang sama juga mungkin wujud di kalangan orang Melayu tentang wujudnya “kasta” penutur bahasa Inggeris dan “kasta” penutur bahasa Melayu.

Dari segi ini, DLP mungkin medan perang budaya yang jauh lebih besar daripada isu pendidikan.

Suka tak suka, penyokong DLP harus membaca apa yang tidak tersurat dan mendengar apa yang tidak terkata jika mereka ingin mengurangkan rintangan kepada DLP.

Pada masa yang sama, pembantah DLP mungkin harus mengiktiraf bahasa Melayu berada dalam krisis sekalipun rancangan DLP dibatalkan.

DLP sudah tentu akan mengehadkan penggunaan bahasa Melayu, tetapi masalah lebih besar yang dihadapi bahasa Melayu ialah kebergunaan dan kebolehgunaan.

Sama ada sesuatu bahasa itu digunakan secara meluas, sememangnya faktor terutamanya ialah sejauh mana bahasa itu berguna kepada penuturnya.

Salah satu kebergunaan yang paling utama sudah tentunya ialah jati diri dan komunikasi asas, akan tetapi ini relevan cuma untuk etnik penutur asalnya.

Atas nama perpaduan nasional, fahaman nasionalisme sering cuba memperluaskan fungsi jati diri dan komunikasi asas bahasa ke atas semua warganegara tidak kira apa bahasa asalnya.

Dalam kes yang ekstrem, bahasa lain ditekan secara kerasnya atau dilarang sama sekali supaya bahasa kebangsaan dapat menjadi bahasa bersama yang tunggal malah bahasa ibunda untuk semua warga generasi baharu.

Apabila bahasa kebangsaan diarahkan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa pendidikan dan bahasa perdagangan, sudah tentu penggunaannya bertambah.

Akan tetapi, faktor terpenting dalam menentukan penggunaan sesuatu bahasa tetap adalah kebergunaannya, sama ada untuk berdagang dengan orang asing, untuk mendapat pengetahuan, untuk menghayati budaya dan sastera, untuk melancong ke negeri lain, dan sebagainya.

Kebergunaan sesuatu bahasa itu boleh membawa penutur bahasa kedua yang mungkin jauh melebihi penutur bahasa asalnya.

Contoh yang terbaik ialah bahasa Inggeris yang mempunyai cuma 340 juta penutur bahasa asal tetapi 510 juta penutur bahasa kedua di seluruh dunia.

Sungguhpun bahasa Cina (merangkumi semua dialek) mempunyai seramai 1,200 juta penutur asal, penutur bahasa keduanya di luar China jauh tidak seramai dan seumum penutur bahasa kedua bahasa Inggeris.

Untuk sesuatu bahasa itu menjadi berguna, selain kuasa negara penuturnya, syarat minimumnya ialah kosa kata dan wacana yang mencukupi untuk menyampaikan makna dalam bidang yang diminati penutur.

Ini bermaksud, untuk bidang yang diminati, pengetahuan, buah fikiran dan perasaan manusia mestilah sama ada sudah wujud dalam bahasa itu ataupun dibawa masuk ke dalamnya.

Krisis bahasa Melayu hari ini bukanlah orang ramai tidak gemar menggunakannya dan pemerintah sanggup menganaktirikannya, dan oleh itu boleh diselamatkan dengan penekanan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa Melayu hari ini berada dalam krisis kerana penggunaan ia tidak membawa nilai yang lebih tinggi berbanding dengan bahasa Inggeris kerana keupayaan ilmiahnya merosot.

Pejuang bahasa Melayu suka ambil contoh Jepun sebagai negara yang berjaya mengembangkan sains dan teknologi tanpa membelakangkan bahasa ibundanya.

Akan tetapi, mengapa Jepun boleh berjaya? Pertama, ramai pengkaji Jepun menghasilkan pengetahuan baharu dalam bahasa Jepun. Kedua, pengetahuan baharu dari dunia luar dibawa masuk ke dalam dunia bahasa Jepun dengan kadar yang cepat melalui penterjemahan.

Malaysia tidak kurang sarjana yang handal, termasuk mereka yang beribubahasakan Melayu, tetapi apakah insentif untuk mereka menerbitkan hasil kajian mereka dalam bahasa Melayu? Berapa buah jurnal akademik yang bertaraf antarabangsa boleh kita dapat dalam bahasa Melayu?

Bila kita masuk ke kedai buku bahasa Melayu, berapa banyakkah buku ilmiah di luar bidang agama yang boleh kita dapat? Berapa cepatkah ilmu pengetahuan baru dibawa masuk ke dalam bahasa Melayu?

Sebagai contoh, bila agaknya kita boleh baca buku tentang "Gelombang Grativasi" atau "Fenomena Trump" dalam bahasa Melayu?

Saya menolak sama sekali dakwaan bahasa Melayu itu penghalang untuk pembelajaran sains dan matematik.

Semasa sekolah menengah, saya amat berminat tentang haiwan dan kakak sulung saya menghadiahkan saya beberapa buku Ladybird yang diterbitkan Federal Publications. Buku-buku ini membawa saya mengenali pengkategorian zoologi yang begitu menarik.

Dalam salah sebuah buku yang berjudul “Mamalia Australia”, saya pertama kali mengenali haiwan yang bernama “wombat”.

Kalau buku seperti ini biasa dibaca dalam masyarakat kita, sekurang-kurangnya pegawai tinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sudah pasti tidak berlaku protes dan pembatalan iklan wombat kerana disalah anggap sebagai babi.

Sememangnya, halangan kepada keupayaan ilmiah bahasa Melayu bukan sahaja kurangnya pencarian dan penterjemahan, tetapi juga kerana penapisan dan pengawalan minda yang khas ditujukan kepada penutur bahasa Melayu.

Contoh yang paling baik ialah edisi bahasa Indonesia “The Origin of Species”, karya agung Charles Darwin tentang teori evolusi yang diharamkan sejak 2006, kononnya ia menjejaskan keharmonian awam kerana ia bertentangan dengan Islam.

Kalau tulisan Darwin itu ajaran sesat, kenapa tidak dikeluarkan fatwa untuk menghalang semua orang Muslim daripada membacanya?

Apabila penutur bahasa Melayu saja yang tidak tahu apa itu teori evolusi dan tidak dapat menghayati sepenuhnya dokumenteri National Geographic (sebagai contoh), patutkah kita hairan kalau bahasa Melayu dipandang sebagai bahasa kelas kedua?

Kita harus ingat sejarah.

Bahasa Melayu menjadi lingua franca di Nusantara, bukan kerana Srivijaya ada Dasar Bahasa Kebangsaan atau Perkara 152, bukan kerana orang Melayu lebih ramai bilangannya daripada orang Jawa, dan juga bukan kerana empayar Melayu sentiasa menguasai setiap pelabuhan utama.

Bahasa Melayu menjadi agung kerana ia berguna dan boleh digunakan penuturnya, tanpa paksaan. Keagungan Bahasa Melayu adalah hasil “kuasa pasaran”, bukan “kuasa politik”.

Untuk selamatkan bahasa Melayu, lebih daripada membantah DLP, kita perlu hidupkan dan bebaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah daripada kelesuan ilmiah dan kongkongan politik yang takutkan akal dan persaingan minda.

Di manakah Pendeta Za’ba zaman ini? – 13 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments