opinion

Tuan Guru – sebuah permata nilam

A Shukur Harun

February 16, 2016

Hanya sesekali dalam sesuatu zaman, seorang tokoh besar  lahir untuk mewarnai zaman dan masyarakatnya.

Menjadi pejuang kemanusiaan dan kebebasan dan dalam masa yang sama menjadi jurubicara masyarakat dan zamannya.

Pada mulanya di sepanjang zaman, memang ramai tokoh yang muncul dalam pelbagai bidang, terutama dalam bidang kepimpinan.

Tetapi dalam jumlah yang ramai itu hanya sejumlah kecil yang benar-benar mampu mengisi tugas tersebut. Malah dari jumlah yang sekecil itu, lebih kecil lagi yang bertahan dan mampu mendambakan dirinya walaupun menghadapi badai dan gelombang cabaran yang besar.

Daripada jumlah yang kecil itu, lahir dan mengalir tokoh besar – Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat – Mursyidul Am PAS, pemimpin besar gerakan Islam yang sangat disayangi rakyat pelbagai kaum.

Pemimpin yang satu ini sangat luar biasa. Sederhana dalam kehidupannya, pemikirannya yang sangat terbuka, memandang jauh ke depan, dapat diterima masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Lebih dari itu Allahyarham yang meninggal dunia setahun yang lalu itu, adalah cerminan bagaimana Islam itu digerakkan menjadi Rahmatan Lil Almin, menjadi rahmat seluruh alam. Iaitu konsep yang dijadikan asas perjuangan Parti Amanah Negara (Amanah).

Allahyarham berjaya melaksanakan perintah Allah s.w.t. seperti yang disebut di dalam Al-Quran "Umat Islam ini dijadikan sebagai umat pertengahan, menjadi saksi, mengadili antara manusia, di mana Rasul sendiri menjadi saksinya." – Surah Al-Baqarah, 142.

Bermakna Allahyarham Tuan Guru berjaya melaksanakan misinya seperti yang disebut di dalam syat tersebut.

Pada 12 Februari yang lalu, genap setahun kepergian tokoh besar ini dan kita mengingatinya bukan semata-mata kerana nama besarnya tetapi lebih kerana usahanya menjadi besar.

Tidak ada harta yang ditinggalkannya, kecuali sebuah rumah kampung yang sederhana di Pulau Melaka (yang menjadi ilham saya menulis sajak mengenainya).

Serta juga sedikit kebun di Rantau Panjang, di mana Allahyarham memberitahu saya dulu, kebun itu adalah pesaka Allahyarham ayahndanya. Tetapi kebun itu, katanya, sentiasa dilanda banjir.

Bagaimanapun Tuan Guru meninggalkan khazanah ilmu dan pesan mutiara nasihat yang sangat bernilai.

Sajak saya mengenainya itu berjudul "Rumah Kampung Tok Guru".

Rumah Kampung Tok Guru

Senja itu aku berdiri di depan rumahmu
Di antara masjid dan rumah kampung
Harumnya Pulau Melaka kediamanmu
Aku berdiri merenung ketabahan
Dan keunikan kehidupanmu
Di tengah lautan politik nan bergelora

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Aku tertegun menyaksikan kesederhanaanmu
Anak kambing dan ayam peliharaanmu
Masuk ke dalam reban di belakang rumah
Riuhnya membelah senja merah
Beriringan bunyi burung pulang ke sarang
Tuhanku!Engkau Yang Maha Kuasa

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Aku melihat engkau siap berwuduk
Melangkau teratur ke masjid
Untuk mengimamkan solat Maghrib
Di tengah gemersik azan
Membelah senja di Pulau Melaka
Di sinilah insan dan Khalik-NYA bersatu

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Engkau sangat mengerti dirimu
Sebagai hamba yang kerdil
Di tengah kekuasaan Ilahi
Sesaatpun engkau tidak lupa
Pesan dan ajaran Nabi s.a.w
Mengerti perjuangan dan pengorbanan

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Engkau mencontohi kehidupan Nabi s.a.w
Memancarkan sinar dari masjidmu
Berdakwah dari utara ke selatan
Dari timur ke barat
Dengan tongkat dan jubahmu
Tanpa lelah dan jemu

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Susuk tubuhmu yang kecil
Dibasahi embun malam
Ketika berceramah di sana sini
Menjadi saksi perjuanganmu
Menegakkan islam
Di tengah rimba kehidupan manusia

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Engkau menautkan kemanusian
Dengan alam ciptaan Ilahi
Menebarkan dakwah tidak henti-hentinya
Menyalakan obor perjuangan
Sebuah gerakan Islam bernama PAS
Walau disukai dan dibenci

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Aku merenung dan belajar daripadamu
Aku melihat cahaya keserdahanaan
Dan ketaqwaanmu
Ia adalah kekuatan yang luar biasa
Dan nur yang memancar darinya
Membawa obor islam yang syumul

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Dua puluh tahun engkau memimpin
Hampir sejuta umat negeri Kelantan
Dengan wawasanmu yang penuh izzah
Berbeza dengan tubuhmu yang kecil
Dengan suaramu yang lembut
Meneriakkan politik dakwah

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Engkau mengajukan "membangun bersama Islam"
Menghantar contoh pentadbiran Islam
Tanpa rasuah, tanpa kroni, tanpa tipu daya
Tanpa penyelewengan, tanpa politik kotor
Inilah contoh kecil masyarakat Madani
Yang penah dipelopori oleh Nabi s.a.w

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Enkau membina negeri Kelantan
Dengan segala keunikan
Dataran MPKB, Pasar Khadijah, Masjid Muhammady
Pantai Sabak yang indah
Rantau Panjang pusat membeli belah
Riuh dikunjungi pelancong setiap hari

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Dalam riuh rendah itu, azan berkumandang
Di Pasar Khadijah dan di mana saja
Kelantan menyambut malam penuh shahdu
Gema tahmid memuji Ilahi di mana-mana
Engkau membina rakyatmu dengan taqwa
Membangun bersama Islam

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Kehidupanmu dilimpahi cahaya taqwa
Melepasi alam kemewahan
Dan kerakusan kuasa
Menentang kemungkaran politik durjana
Dengan suara lembutmu
Yang sangat mengesankan

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Pemimpin sekular memisahkan
Politik dan agama
Menyebabkan dunia politik menjadi sampah
Kotor dan memudaratkan
Engkau datang membersihkan
Mengajarkan politik beragama

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Engkau menawarkan politik baru
Berpandukan agama dan etika universal
Mengajarkan toleransi beragama
Menantang keadilan dan demokrasi
Menentang perkauman
Dan segala kedurjanaannya

Tuan guru Nik Abdul Aziz

Rakyat yang beragama dan rasional
Berdiri bersamamu
Memperjuangkan kemanusiaan
Mendukung wawasanmu
Yang akan kekal hingga abadi
Doa kami semoga rohmu dicucuri rahamat.

Sajak ini saya tulis dengan linangan air mata, mengenang setahun kepergian Tuan Guru yang dikasihi.

Malah seperti terdengar Tuan Guru berbisik kembali, "Jangan sesaatpun meninggalkan perjuangan Islam." – 16 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments