opinion
Zimmi, penghambaan dan meritokrasi pada zaman Uthmaniyah
January 31, 2016Sesuaikah konsep Zimmi dan millah empayar Uthamaniyah digunapakai untuk Malaysia hari ini?
Ramai umat Islam melihat zaman Empayar Uthmaniyah sebagai sebuah “negara Islam teladan” yang harus dicontohi negara majoriti umat Islam hari ini.
Rakyat bukan Islam Uthmaniyah digolongkan sebagai “kafir zimmi” (“dhimmi” dalam bahasa Inggeris), iaitu orang kafir yang menerima “perlindungan” di bawah kuasa Islam.
Konsep “kafir zimmi” berasal daripada zaman Nabi di Medina apabila orang Kristian dan orang Yahudi hidup bersama umat Islam sebagai warga kota di bawah pimpinannya.
Medina sememangnya masyarakat majmuk dengan penganut Kristian dan orang Yahudi sebagai penduduk asal.
“Kafir zimmi” di zaman selepas Nabi kebanyakannya bukan orang bukan Islam yang secara sukarela hidup di bawah perlindungan kuasa Islam. Sebaliknya, mereka adalah hasil peluasan empayar umat Islam.
Apabila empayar umat Islam berjaya menakluki dan menjajah wilayah orang bukan Islam, rakyat tanah jajahan diberi pilihan untuk sama ada memeluk agama Islam dan wujudlah 3 golongan: umat Islam, orang “kafir zimmi” yang terima kuasa Islam tetapi tidak ingin memeluk Islam dan orang “kafir harbi” (musuh) yang terus menentang kuasa Islam.
Kafir zimmi dikenakan cukai kepala yang bernama jizya dan cukai tanah yang bernama kharaj sementara umat Islam membayar zakat dan ushr.
Kerana cukai yang dibayar kafir zimmi lebih tinggi kadarnya daripada apa yang dibayar umat Islam, maka ini menjadi satu dorongan ramai kafir zimmi memeluk Islam.
Akan tetapi, bagi kafir zimmi yang sanggup membayar cukai tinggi untuk kekalkan agamanya, mereka diberikan autonomi budaya.
Empayar Uthmaniyah menubuhkan sistem “millah” (“millet” dalam bahasa Inggeris) yang diketuai pemimpin agama sendiri untuk penganut Kristian Ortodoks, penganut Kristian Katolik, penganut Kristian Armenian, orang Yahudi dan sebagainya.
Setiap millah mempunyai sistem pengadilan sendiri (yang selari dengan sistem syariah untuk umat Islam) akan tetapi jika sesuatu kes itu melibatkan kedua-dua umat Islam dan orang bukan Islam, kata putus berada di Mahkamah Syariah.
Sistem millah ini menjadi pujaan ramai umat Islam di Malaysia yang inginkan “negara Islam” (daulah Islamiyah).
Cadangan bahawa mahkamah sivil digantikan dengan mahkamah syariah dan mahkamah agama yang lain itu berpandukan sistem millah.
Begitu juga dengan cadangan Datuk Seri Hadi Awang untuk memperkenalkan cukai kharaj di Terengganu selepas beliau menjadi menteri besar pada 1990.
Empayar Uthmaniyah sememangnya lebih toleransi kalau berbanding dengan kuasa Kristian Eropah yang kerap menganiyai orang Yahudi dan memaksa umat Islam di Andalusia untuk memeluk Kristian selepas “penawanan semula” Semenanjung Iberia.
Apa yang penjunjung empayar Uthamniyah jarang menyiarayakan ialah sistem tentera hamba, Janissary.
Perkampungan kafir zimmi di Semenanjung Balkan (negara-negara Yunani, Bulgaria, Albania, Serbia, Croatia, Bosnia-Herzegovina, Montenegro, Slovenia, Romania hari ini) dikunjungi pegawai Uthmaniyah dalam satu amalan yang digelar “devshiremi”, yang berlaku sekerap 4 tahun sekali pada era keagungan empayar itu.
Semua lelaki remaja di antara 12 dan 20 dikumpulkan dan pegawai akan memilih mereka yang paling kuat dan paling cerdas untuk dibawa balik ke Istanbul.
Anak-anak muda ini tidak akan melihat ibu bapa mereka lagi dalam sepanjang hidup mereka.
Dan ibu-bapa mungkin kehilangan semua anak lelaki kalau mereka semua itu kuat dan cerdas.
Bilangan anak-anak muda yang diambil setiap tahun dikatakan mencapai 3000 ramainya.
Nasib anak-anak muda ini ialah menjadi golongan hamba Sultan yang berkedudukan elit.
10% yang paling berbakat akan dididik di istana di Istanbul dan Edirne untuk menjadi pentadbir empayar sehari nanti.
Yang lain pula akan dibesarkan sebagai askar elit dalam pasukan Janissari.
Mereka diberikan pendidikan dalam bahasa Arab dan bahasa Turki.
Sudah tentu mereka diIslamkan – jaminan kebebasan agama dalam Surah Al-Kafirun tidak terpakai untuk mereka!
Mereka dipisahkan daripada keluarga supaya kesetiaan yang tidak belah-bahagi terhadap Sultan dapat dipupuk.
Sungguhpun mereka kelak menjadi pegawai besar dalam pentadbiran atau tentera, mereka tetap adalah hamba dan boleh diturun pangkat malah dibunuh Sultan yang mungkar.
Amalan “devshiremi” ini jauh lebih kejam daripada amalan Australia dahulu yang mengambil anak orang Asli untuk dibesarkan dalam keluarga orang putih demi “mentamadunkan” mereka.
Institusi hamba elit ini dikatakan berasal daripada tentera Mameluk yang terdiri daripada 4,000 hamba Turki yang ditubuhkan Kalifah Al-Ma’mun (813-833 TM) setelah empayar Abbasiah menakluki bangsa nomad Asia Tengah.
Tentera Mameluk menjadi tunjang pertahanan empayar Islam dalam menghadapi tentera Salib Kristian dan kemudiannya tentera Moghul.
Golongan Mameluk malah mendirikan kesultanan di Mesir dan India.
Ibn Khaldun, seorang pemikir Afrika Utara pada kurun ke-14, berkongsi pendapat Islam diselamatkan tentera hamba.
Apakah kelebihan institusi Mameluk ini?
Sarjana seperti Fracis Fukuyama melihatnya sebagai penyelesaian kepada budaya berpuak-puak dalam empayar-empayar Islam.
Budaya berpuak-puak itu membawa 2 kemudaratan.
Kemudaratan pertama ialah konflik dalaman.
Puak-puak yang berkuasa mengutamakan kepentingan puak daripada kepentingan negara dan pemerintah dan sering melawan untuk merebut kuasa.
Kemudaratan ke-2 ialah nepotisme.
Puak-puak yang berkuasa memonopoli jawatan dalam pemerintahan dan tentera sehingga negara tidak dapat mengambil bakat terbaik.
Lebih inovatif daripada kuasa Islam sebelumnya yang menggunakan bakat mameluk, Empayar Uthmaniyah mencipta amalan “devshiremi” dan institusi Janissary untuk menjamin kemasukan berterusan bakat baru daripada sumber baru (komuniti kafir).
Hamba-hamba elit Uthmaniyah ini adalah “bangsawan satu generasi” kerana kuasa mereka tidak boleh diwariskan kepada keluarga.
Jawatan Janissari yang disanjung tinggi dalam masyarakat cuma boleh diperolehi melalui proses “devshiremi”.
Malah, pada zaman awalnya, pegawai Janissari tidak dibenarkan berkahwin dan mendirikan rumahtangga.
Dan institusi Janissari akhirnya juga menjadi lemah apabila jawatan itu diwariskan turun-temurun dan nepotisme muncul semula.
Sistem meritokrasi empayar Uthmaniyah agak ganjil kerana ia mengecualikan “orang sendiri” (umat Islam) dan cuma mengambil bakat daripada sumber luar (komuniti kafir). Mengapa?
Ini kerana penghambaan umat Islam tidak dibenarkan.
Amalan memupuk kesetiaan tidak belahbahagi terhadap pemerintah dengan penghapusan hubungan keluarga cuma boleh dikenakan ke atas anak-anak kafir.
Prinsip sama juga dipakai dalam pengambilan gundik dan sida (eunuch).
Istana dalaman (Halem) Uthmaniyah dipenuhi dengan hamba perempuan (keturunan Eropah) dan sida (keturunan Afrika) yang asalnya kafir.
Dalam kata lain, di belakang keagungan empayar Uthamniyah adalah “pembahagian tenaga pekerja” dan meritokrasi yang berasaskan pengasingan dan ketidaksamarataan agama kepada umat Islam dan orang Zimmi.
Rencana ini tidak ditulis kerana penulis ingin memburuk-burukkan empayar Uthmaniyah.
Sistem millah Uthmaniyah lebih liberal berbanding dengan penganiyaan terhadap orang Yahudi dan umat Islam di Eropah Kristian.
Sistem hamba elit Uthamniyah juga kurang zalim daripada sistem penghambaan orang Afrika oleh penjajah Barat dulu.
Akan tetapi, kedua-dua sistem ini tetap merugikan dan menzalimi komuniti zimmi.
Kalau kita percaya kepada keadilan dan kebebasan manusia (maqasid umum syariah), maka kejatuhan empayar Uthmaniyah dan perjuangan bangsa zimmi memerdekakan diri harus diraikan dan bukan diratapi.
Hanya dengan mengiktiraf aspek hitam dalam sejarah Islam, maka umat Islam tidak akan termakan propaganda umat Islam sentiasa dimangsai orang bukan Islam dan tidak pernah memangsai orang bukan Islam.
Sebaliknya, jika umat Islam sentiasa ditanam persepsi seolah-olah umat Islam (atau lebih tepat lagi umat Islam Sunni), adalah maksum (tidak akan berbuat salah), maka tidak hairanlah sekalipun apabila bukti kezaliman dan kemungkaran Isis itu bertimbun, seperti risalah penghambaan seks dan penderitaan wanita Yazidi masih ada yang menafikannya dengan menuduh semua itu propaganda Amerika dan Zionis.
Hakikatnya, semua umat agama, tamadun, bangsa-negara dan kaum mempunyai aspek sejarah yang hitam.
Matlamat kita seharusnya ialah menghapuskan semua penganiyaan, bukan menggantikan dominasi orang bukan Islam dengan dominasi umat Islam, atau sebaliknya. – 31 Januari, 2016.
* Ini adalah sajak peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments