rencana

8 tahun, selepas 8 Mac – Mandeep Karpall

Siapa pernah terfikir Umno-BN akan hilang majoriti 2/3 di Parlimen. Malah, ia seperti mimpi di siang hari apabila melihat 5 negeri jatuh ke tangan pembangkang. Dari utara ke tengah, semuanya ditadbir pembangkang.

Buat pertama kalinya juga, Malaysia melihat mendiang Karpal Singh duduk bersebelahan arwah Tok Guru Nik Aziz. Dan beberapa bulan selepas 8 Mac, Anwar Ibrahim kembali di Parlimen Malaysia dan menjadi ketua pembangkang.

Kini, selepas 8 tahun, Anwar kembali ke “tempat” lamanya di Sungai Buloh. Karpal dan Nik Aziz sudah pergi meninggalkan kita buat selamanya sama seperti Pakatan Rakyat.

Harapan menukar rejim berterusan ke 5 Mei, 2013. Kini, Umno-BN bukan hanya kekal hilang majoriti 2/3 di Parlimen, tetapi ditambah dengan kehilangan undi popular. Tetapi, malangnya disebabkan sistem sedia ada, maka Umno-BN kekal bergelar kerajaan.

Hari ini, 8 tahun selepas 8 Mac dan Malaysia sedang menuju ke negara gagal. Pembangkang masih tidak nampak sudah bersatu. Tidak ada susuk yang dilihat dapat menggantikan Anwar. PAS pula sudah menjadi parti pantai timur dan sedang dalam proses bersatu bersama musuh tradisi mereka, Umno-BN.

Politik baharu

Kini Malaysia sedang menuju ke alam politik baru. Siapa pernah sangka, seorang yang pernah digelar mahazalim dan mahafiraun akan mengetuai satu gerakan menjatuhkan Najib Razak. Siapa sangka, Mahathir Mohamad akan turun ke jalan raya pada himpunan Bersih 4. Bukan sehari, tetapi 2 hari berturut-turut.

Mahathir kini bukan lagi ahli Umno. Ada yang mengelarnya sebagai ketua pembangkang Malaysia pada ketika ini. Tidak ada sehari pun, tidak ada berita tentang Mahathir. Malah, untuk kali pertamanya dalam sejarah politik Malaysia, kita menyaksikan Mahathir bersatu dengan musuh tradisinya dalam bilik dan meja yang sama.

Mahathir dilihat bekerja “lebih masa” daripada pembangkang untuk menjatuhkan Najib. Sebenarnya, hari ini Mahathir sedang melawan satu sistem yang dibina beliau sendiri berdekad lalu. Mahathir boleh mengulang sejuta kali beliau tidak pernah bersalah dalam hal ini, tetapi beliau harus terima realiti ini.

Siapa pernah sangka, 2 musuh ketat politik Malaysia akan bersatu. Anwar pada 3 Mac lalu menyeru rakyat Malaysia bersatu dengan Mahathir untuk menjatuhkan Najib. Siapa sangka bekas tahanan ISA era Mahathir dan bersalaman dengan beliau dan tidak mengungkit langsung perkara lama.

Inilah politik baharu. Semua menepikan perbezaan atas nama negara. Semua ini tidak akan terjadi jikalau tsunami 8 Mac tidak berlaku. Walaupun, keadaan negara makin jahanam dari saat ke saat, namun pemikiran politik antara rakyat sedang matang.

Rakyat mula memahami kebersamaan yang harus dilakukan atas nama negara.

Persoalannya sekarang, apakah Mahathir akan berjaya menjatuhkan Najib dan mendirikan satu kerajaan baharu di Malaysia bersama pembangkang, atau beliau akan kembali ke Umno selepas Najib jatuh (seperti 2009) atau Mahathir akan berkongsi sel dengan Anwar yang pernah dipenjarakan beliau sendiri.

Dan jika situasi yang ketiga berlaku, apakah rakyat Malaysia akan bangkit dan menumbangkan rejim Umno-BN melalui jalan raya untuk membebaskan Anwar dan Mahathir, atau kita akan menunggu 18 tahun lagi?

Kepada Mahathir, selamat datang ke dunia yang penuh kekangan ini dan selamat menyaksikan pembinaan anda sendiri. – 8 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments