rencana

Adakah pendidikan tinggi perlu untuk jadi pemimpin? – Farhan Aziz

Usai membaca luahan hati anak kepada menteri besar Kedah, saya menyoroti komen-komen yang ditulis netizen mengenai Datuk Seri Ahmad Bashah yang menjadi menteri besar berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Rata-rata berkisar pada serangan peribadi beliau. Seorang yang berkelulusan SRP dan isunya lena di istana.

Diakui taraf akademik Ahmad Bashah memang rendah kalau mahu dibandingkan dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Namun tindakan para netizen menyerang peribadi hanya kerana kelulusannya itu menunjukkan keperibadian yang rendah yang dimiliki mereka. Mereka mengaitkan kepimpinan itu dengan taraf kelulusan yang mana itu bukanlah ukuran utama untuk seseorang itu menjadi pemimpin yang baik.

Banyak lagi faktor-faktor penentu selain pengiktirafan akademik secara formal untuk mengukur prestasi kepimpinan.

Komen-komen berunsur negatif dan bersifat serangan peribadi itu jika dilontarkan netizen yang tidak mempunyai latihan akademik adalah suatu perkara biasa.

Namun, sedih, jika yang memberi komen-komen bersifat peribadi itu datang daripada mereka yang sedang atau sudah menjalani latihan akademik dan mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi daripada Ahmad Bashah, kerana saya percaya dalam fasa latihan akademik itu, argumen-argumen yang menyerang peribadi seseorang bukanlah etika yang baik malah merupakan falasi.

Serangan haruslah dituju kepada idea, gerak kerja, ketelusan dan lain-lain yang keluar daripada ruang lingkup peribadi. Serangan peribadi terhadap MB Kedah dengan hanya menilai pada SRP dan lenanya tanpa menilai gerak kerjanya sebagai pemimpin adalah suatu tindakan yang dangkal.

Serangan peribadi perlu dalam konteks pemimpin itu sudah melakukan korupsi yang nyata dan serangan wajar dilakukan untuk membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada pimpinannya seterusnya dengan mandat yang ada pada rakyat si koruptor itu terus ditukar kepada yang baharu.

Dalam kes Ahmad Bashah, jika kepimpinannya membawa Kedah ke arah kerosakan ekonomi dan sosial maka serangan peribadi sesuai dilakukan. Justeru, sebagai kelompok yang dikatakan lebih tinggi taraf akademik daripada MB itu maka kebijaksanaan itu perlu dalam melakukan serangan-serangan agar ia kena pada tempatnya.

Ramai yang mengaitkan taraf pendidikan, saya merujuk kepada pengiktirafan akademik melalui pendidikan formal, dengan kualiti kepimpinan, dengan berpendapat pemimpin yang mempunyai taraf pendidikan yang rendah itu tidak layak menjadi pemimpin.

Saya mengambil posisi untuk berbeza pendapat dengan hal itu. Kerana banyak lagi faktor-faktor penentu yang membuat seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang cemerlang seperti pengalaman, seni interaksi dengan rakyat yang pelbagai taraf dan bijak membuat keputusan pragmatik yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Pada saya pengalaman itu aspek yang paling utama yang perlu ada pada pemimpin. Kerana melalui pengalamanlah seni kepimpinan itu dapat dibentuk dan dibangunkan. Menjadi seorang pemimpin bukan sahaja perlu pada seni retorika dan gaya sahaja tapi perlu bijak memahami rakyat yang tentunya datang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang senang, ada yang susah, ada yang bijak, ada yang bodoh.

Dan untuk memahami semua itu tidak cukup dengan belajar teori kemasyarakatan sahaja di dalam bilik kuliah tetapi perlu kepada praktis di lapangan. Pemimpin yang diangkat kerana dia mempunyai ijazah, sarjana atau PhD itu belum tentu mampu menyelami hati-hati rakyat jika hanya berpandukan kepada ilmu-ilmu teori sahaja. Kita ambil contoh Datuk Ahmad Maslan yang dikatakan mempunyai CGPA 3.85 itu.

Lihat pada kenyataan-kenyataan yang diberikan, adakah kenyataan itu memberikan kebaikan kepada emosi rakyat yang bergelut dengan beban kos hidup?

Kenyataan-kenyataan seumpama yang dikeluarkan olehnya itu menunjukkan beliau tidak mempunyai pengalaman dalam menyantuni rakyat. Meskipun beliau seperti, beliau masih lagi diangkat sebaris bersama-sama pimpinan utama. Menyedihkan.

Menjadi pemimpin bukan untuk menggemukkan perut dan mengencangkan poket. Pemimpin diangkat kerana sebagai wakil kepada jutaan rakyat untuk mentadbir tanah ini. Justeru, hala tuju tanah ini perlu mengambil kira pandangan rakyat yang bekerja keras untuk mempertahankan kelangsungan negara ini.

Jika rakyat tidak bekerja, enggan membayar cukai dan menyatakan taat setia pada negara lain, bukankah itu satu petanda negara ini akan lingkup? Jadi di sini perlunya interaksi antara pemimpin dan rakyat. Interaksi di sini bermakna suara rakyat didengari dan penderitaannya dirasai kemudian langkah yang terbaik perlu dilakukan bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Hal ini agar penyelesaian yang direncanakan pihak pemimpin itu mampu memberi kebaikan buat masyarakat bukan hanya memberi kebaikan kepada diri pemimpin dan juak-juaknya sahaja. Kita ambil contoh kepada TPPA yang sudah ditandatangani itu, adakah tindakan itu memberikan kebaikan yang maksimum (sekurang-kurangnya optimum) kepada rakyat dan negara?

Apakah pendapat rakyat yang datang daripada pelbagai rencam itu pernah dikutip dan dianalisis? Atau hanya pendapat segelintir kelompok masyarakat elitis sahaja yang diambil kira?

Saya percaya setiap pemimpin ada kelompok pemikirnya sendiri yang akan membantu dia merangka rancangan untuk mentadbir. Dengan adanya kelompok itu kelompongan yang ada pada pemimpin yang mempunyai taraf pendidikan rendah berkenaan dapat diisi. Taraf pendidikan yang rendah itu tidak bermakna seseorang itu bodoh.

Kerana ilmu itu tidak hanya ada di dalam pagar sekolah dan universiti. Ilmu itu boleh juga diperoleh melalui buku-buku dan berguru dengan mana-mana guru yang tidak terikat dengan institusi.

Pengajian seperti ini tidak melayakkan seseorang itu mendapat pengiktirafan akademik seperti ijazah, sarjana dan sebagainya tetapi tidak menafikan ilmu mereka yang melalui jalan ini boleh jadi setaraf bahkan lebih menjangkau ilmu-ilmu mereka yang mendapat pengiktirafan tersebut.

Benar, kebanyakan masyarakat menjustifikasikan keputusan yang dibuat oleh golongan-golongan yang mempunyai taraf pendidikan tinggi ini sebagai sesuatu yang benar. Namun tidak semua keputusan yang dibuat mampu memandu negara ke arah kebaikan bahkan ada di antara keputusan yang dibuat bakal melingkupkan lagi negara.

Jadi, pemimpin yang diangkat bukan kerana taraf pendidikannya perlu membuat keputusan yang pragmatik iaitu keputusan kepada sesuatu rancangan (ekonomi, sosial,pembanguna, dll)  hasil daripada diskusi bersama kumpulan pemikir dan pengalamannya sendiri yang memberi kebaikan pada masa itu dan menjadi asas untuk diperkembangkan pada masa hadapan.

Dengan kebaikan jangka pendek dan jangka panjang oleh suatu keputusan itu pastinya isu tentang taraf pendidikan rendah ini tidak akan diendahkan lagi. Rakyat pasti akan menumpahkan kepercayaan kepadanya. Dan pada saya pemimpin sebegini yang harus dinaikkan meskipun taraf pendidikannya hanya UPSR.

Dalam hal Ahmad Bashah, jika dia mampu menerajui Kedah dengan baik, pastinya tindakannya itu akan memalukan kelompok-kelompok yang mempertikaikan jawatannya dengan taraf pendidikannya.

Namun, jika prestasi pentadbirannya sama rendah dengan taraf pendidikannya, maaf kata itu adalah satu kecelakaan buat dirinya dan Barisan Nasional di Kedah. Dan tindakan anak bongsunya dan penyokong-penyokongnya yang mempertahankannya akan menjadi sia-sia.

Kesimpulannya, taraf pendidikan itu bukanlah aspek utama untuk memilih pemimpin. Pengalaman bekerja bersama rakyat, interaksi yang berkesan dan bijak membuat keputusan itu adalah antara aspek-aspek utama yang pada saya wajib ada pada pemimpin. – 8 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments