rencana

Adakah usaha penjenamaan semula SPRM sejak 2009 akan berakhir dengan kegagalan? – Akmal Nasir

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang wujud pada hari ini adalah hasil perubahan dasar yang dilaksanakan kerajaan pada 2009 dalam usaha membanteras rasuah, iaitu merupakan kesinambungan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tahun 2009 jugalah lahirnya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM 2009) bagi menggantikan Akta Badan Pencegah Rasuah 1982.

Selain daripada Akta SPRM 2009, penjenamaan SPRM juga melibatkan usaha ketelusan dan ‘check and balance’ dalam urusan dan pentadbiran SPRM itu sendiri.

Maka diwujudkan panel-panel khas seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Merujuk kepada laporan berita yang menyebut lantikan 8 anggota panel bagi PPO akan berakhir hari ini dan bagaimana PPO masih mengekalkan pendirian agar Datuk Seri Najib Razak wajar didakwa akan menimbulkan pelbagai persoalan.

Adakah pandangan dan pendirian PPO akan membawa sebarang makna atau perubahan dalam usaha membawa pendakwaaan terhadap Datuk Seri Najib?

Sekiranya tidak, apakah keperluan untuk SPRM mempunyai panel-panel khas sedangkan panel-panel ini gagal bertindak sebagai ‘check and balance’?

Adakah kuasa perlantikan anggota-anggota panel ini akan terus dikekalkan dibawah perdana menteri?

Kelewatan dan kegagalan untuk menyelesaikan kes-kes kewangan yang melibatkan 1MDB hanya akan mendedahkan lebih banyak lagi kelemahan Akta SPRM 2009 dan juga kegagalan sistem yang sedia ada serta membantutkan usaha negara melawan rasuah.  

Sekiranya perdana menteri memilih untuk membubarkan PPO yang mempunyai hak untuk mengemukakan pandangan mengenai kes di mana tiada pendakwaan terhadap tertuduh daripada pendakwa raya, usaha penjenamaan semula SPRM sejak 2009 adalah sia-sia dan beliau sendiri boleh dianggap tidak lagi mempercayai peranan SPRM. – 24 Februari, 2016.

* Akmal Nasir ialah Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW).

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments