rencana

‘Air Cina’ selamatkan nyawa saya – Siti Aishah

Pepatah Melayu ada mengatakan “buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat” dan jika kita menolong sesiapa sahaja maka pada saat kita kesusahan Tuhan akan menghantar seseorang untuk menolong kita.

Dalam citra masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini, toleransi, kesatuan dan menghormati sesama atau berlainan bangsa adalah sangat dituntut bagi mengekalkan ketenteraman.

Adat, lagikan lidah boleh tergigit inikan pula suami isteri. Apatah lagi dalam kehidupan masyarakat yang berbeza bangsa ini.

Kita pernah punya sejarah buruk persengketaan kaum yang telah sampai ke tahap nyawa berterbangan. Menginsafi kejadian yang bukan sahaja menimbulkan perpecahan namun nyaris meranapkan negara.

Namun, mendukacitakan melihat kepada senario hari ini di mana jurang yang selama ini teguh membelit kita sebagai satu bangsa negara mahu dilonggarkan simpulan oleh mereka-mereka yang di atas sana.

Saban hari, kita akan mendengar ataupun membaca satu berita di kaca televisyen mahupun di Facebook dan tidak kurang juga melalui kenyataan-kenyataan yang rambang yang adakala tidak kita sedari mengguris hati saudara-saudara kita yang berlainan bangsa.

Ayat “keling”, ”Cina babi”, ”Melayu sial” mungkin bagi segelintir kita adalah suatu perkara normal tetapi tidak bagi mereka yang dihamburkan dengan kata sebegitu.

Ayat yang mengguris perasaan boleh bertukar menjadi kebencian dan kebencian ini akhirnya akan menghilangkan penghormatan dan  menjadi dendam yang merugikan.

Sejujurnya, saya sendiri adakalanya termakan dengan propaganda begini. Malahan saya yakin ramai Melayu seperti saya juga merasakan hal yang serupa.

Apabila melihat bangsa berlainan rasa curiga dan ketakutan akan menyelubungi diri. Tambahan jika mereka itu dalam sekumpulan orang.

Namun, peristiwa minggu lalu benar-benar mengubah mentaliti saya 100%. Ketakutan,curiga,dan ragu-ragu saya hilang secara tiba-tiba.

Pada saat saya mula merasakan perpecahan antara kita akan semakin hancur, Tuhan menghantar mereka yang berlainan bangsa ini untuk memberi pelajaran yang cukup bermakna kepada saya.

“Dan aku jadikan kamu berpuak-puak dan bersuku-suku,untuk kamu saling mengenali dan berlumba dalam mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu adalah mereka yang paling banyak berbuat kebaikan” surah Al  Hujurat , ayat 13.

Isnin lalu, saat saya menggalas bebanan berat di belakang dengan anggaran berat 20-30 kg berserta sebuah beg pakaian yang digalas di hadapan.

Perjalanan ke Pulau Pinang menaiki feri dari Jeti Butterworth terasa sangat lama dan panjang. Menambahkan cabaran apabila saya perlu menapak menaiki tangga dan laluan pejalan kaki sejauh hampir 1km.

Dengan 2 beg dan diri yang jarang bersenam, anda bayangkanlah. Di pertengahan saya berhenti seketika. Bahang panas terasa di seluruh muka.

Namun, tiba-tiba beg berisi baju yang dilurutkan ke kaki direntap dari belakang. Saya kaget. Pantas berpusing sambil tangan kuat memegang beg.

Seorang gadis India berserta abang dan ayahnya tersenyum. Ditawarkan untuk membawa. Pada mulanya saya menolak namun tetap didesaknya. Saya mengalah.

Lagipun dalam beg itu hanya ada beberapa helai baju fikir saya. Dia meluru ke depan. Laju. Hingga seketika kelibatnya hilang daripada pandangan.

Saya mula cemas. Curiga pada bangsa berlainan mula kembali. Apatah lagi saya baru teringat pasport antarabangsa saya ada bersama dalam beg itu.

“Don’t Judge a books by its cover”. Pepatah Inggeris itu amat sesuai diludahkan ke muka saya saat itu. Saya fikirkan sudah kehilangan barangan namun di hujung jalan untuk menaiki feri dia tersenyum.

Masih bersama beg saya. Terkedu bercampur malu dan saat itu juga dalam hati mula menyumpah diri sendiri atas sikap tidak bertamadun saya itu.

Berkali-kali saya mengucapkan terima kasih diiringi dengan tundukkan kepala yang tidak berhenti-henti. Ini pelajaran pertama untuk saya.

Keesokannya, dari Pulau Pinang saya menuju pula ke Kuala Lumpur. Sebaik tiba di KL Sentral, dengan 2 beg yang “super duper” berat bagi seorang gadis pendek seperti saya, lautan manusia yang bersesak ketika itu benar-benar memeningkan kepala.

Tidak pernah merancang perjalanan, saya tiba di Kuala Lumpur pada waktu puncak orang pulang kerja. Dua kali beratur panjang untuk menaiki LRT, akhirnya saya tiba di stesen Masjid Jamek.

Terlalu ramai orang dan terlalu panjang barisan. Tidak mahu menunggu lama, saya mengambil keputusan menapak menaiki tangga menuju ke laluan Ampang.

Tidak sedar beban yang dibawa separuh perjalanan saya mulai mengah dan hilang tenaga. Hampir 50 anak tangga. Masuk sahaja ke dalam LRT yang sesak, pandangan saya mulai berbalam.

Gelap. Sungguhpun begitu saya cuba bertahan. Duduk dan kemudian bangun. Pandangan makin gelap. Saya tidak tahu siapa namun tangan saya ditarik untuk duduk oleh seseorang.

Dari Pulau Pinang paginya saya tidak meneguk setitis air pun. Menjadikan saya ketika itu sakit dada, mula sesak nafas dan dapat merasakan seluruh muka terasa kebas.

Saya meminta air daripada orang yang menarik tangan saya itu. Apabila merasa sedikit lega, dalam keadaan lemah, barulah saya menyedari orang itu rupanya adalah seorang gadis Cina.

Dari gayanya jelas dia baru pulang kerja. Sudahlah mahu pitam kemudian menyedari tersalah menaiki LRT pula. Dalam perjalanan yang saya ingat saya cuma tidur dan apabila tersedar gadis Cina itu tiada lagi.

Entah turun di stesen mana, saya tidak tahu. Tidak sempat saya mengucapkan terima kasih kepadanya.

Airnya menyelamatkan nyawa saya petang itu. Lelaki Cina yang berdiri di sebelahnya tadi menghulurkan beg-beg saya yang bertaburan di lantai dalam LRT itu.

Sekali lagi juga saya tidak sempat untuk berterima kasih kerana terlelap kembali. Dua peristiwa itu benar-benar mengubah saya meskipun baharu berlalu tidak sampai seminggu.

Pada saat kebencian mula ditanam secara besar-besaran hatta ahli politik dan kadangkala ditutup dengan jubah agama oleh agamawan, gadis cina dan India itu memberikan saya nafas baharu dan sinar bahawa harapan itu masih ada bersama kita.

Biarkan mereka di atas bergaduh. Bergaduh mereka di kaca TV dan media namun di belakangnya mereka tetap boleh duduk bergebang semeja.

Peristiwa ini berlaku di celah kehairanan kita bercerita tentang filem “Ola Bola” yang disifatkan filem yang menyatukan, namun pengalaman sebenar yang dilalui saya ini tidak memerlukan untuk saya menonton Ola Bola untuk merasakan perpaduan, kesatuan dan kasih sayang antara kita.

Kenapa saya menulis ini dan menghantar ke The Malaysian Insider?. Kerana saya mahu gadis Cina dan India itu menyedari penulisan saya kali ini khas saya tujukan untuk mereka berdua.

Tidak lupa juga kepada lelaki Cina dan mak cik Melayu yang membantu saya dalam LRT tersebut.

Saya berharap tulisan ini akan tersebar sehingga mereka membacanya. Saya mahu mengucapkan terima kasih yang belum sempat saya ucapkan.

Terima kasih kerana menolong saya dan sejauh lebih penting terima kasih kerana membuatkan saya kembali percaya cinta itu masih ada. Terima kasih dari lubuk hati saya yang paling dalam. – 9 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments