rencana
Aku lebih Syurga dari kau! – Nik Aziz Afiq Bin Abdul
Isu Aqidah (pegangan kepercayaan) satu perkara yang penting. Sangat penting kerana ia akar pada segalanya.
Siapa yang memahami aqidah akan berhabis-habisan melindungi dan menjaganya.
Kerana itu ia juga menjadi sentimen yang sangat emosional.
Perbalahan dan permusuhan berlaku atas nama aqidah bukan nama feqah.
Pernah suatu masa saya mengeluh di depan seorang guru yang sangat saya hormati.
Saya katakan bagaimana nak baiki masyarakat. Kerosakan di sana sini.
Guru saya menjawab mengikut jawapan seseorang Imam besar (maaf saya lupa nama) lebih kurang berbunyi;
"Tidak ada cara memperbaiki umat ketika ini melainkan dengan cara Rasulullah S.A.W memperbaiki umat terdahulu iaitu dengan merawat masalah aqidah"
Namun seronoknya bila guru saya mengingatkan. Muhammad S.A.W itu 40 tahun sebelum bermula tugas memperbaiki aqidah beliau dikenali dengan akhlak yang cukup baik.
Sehingga diperakui semua orang walaupun kemudiannya beliau ditentang.
40 tahun bina akhlak, personaliti yang disegani, terkenal dengan kasih sayang pada mustadh'afin, jujur dalam memberikan perkhidmatan, tidak terlibat dengan skandal dan mengemukakan solusi pada masalah umat.
Kepercayaan dan kredibiliti cukup tinggi sebelum membawa risalah tauhid.
Hari ini ramai mengatakan aqidah dia paling benar, yang lain termasuk dalam 72 pintu kesesatan walhal perilakunya buruk, kata-katanya penuh caci maki dan label.
Penghinaan yang menjatuhkan maruah sendiri.
Orang begini tidak bercakap mengenai mustadh'afin, mengenai gelandangan yang makin ramai, tidak bermuzakarah mengenai gaji minima, tidak berfatwa mengenai hukum TPPA, tidak berkuliah mengenai mengurangkan kebergantungan pada negara luar.
Orang begini tidak diminati golongan bawahan yang tak punya rumah apatah lagi televisyen dan Internet untuk melihat mereka.
Jika ditanya pada golongan bawahan adakah dia beraqidah salafi atau syiah atau sunni atau segala nama lain mereka hanya memikirkan;
"Yang mana yang membolehkan anak aku makan esok hari?"
Ya golongan agamawan atasan akan melawan balik dengan memetik kata-kata Hamka "jika hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, jika hidup sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja"
Hakikatnya bahasa dan perilaku kalian sangatlah melangit. Bahasa yang hanya akan dituturkan orang yang memakan makanan segar dan sedap beberapa kali sehari.
Bahasa yang tidak difahami orang yang menghirup sisa di belakang restoran, makan makanan basi, makan berebut bersama anjing dan kucing kelaparan serta tikus yang berbau.
Maaf atas ekspresi saya.
Saya kesal bila agamawan tumpul solusi pada masalah masyarakat dan menjadi terlalu "sekular".
Mereka pisahkan Islam dengan pembelaan sejagat.
Mereka pisahkan Islam dengan dialektik.
Mereka tidak kenal antithesis dan tidak pula berupaya menghasilkan sinthesis.
Mereka akan terus berperang dan berkelahi pada isu siapa lagi betul hingga penat, pulang rumah, makan sedap, minum air yang jernih ditapis, kemudian tidur di atas tilam empuk bersama satu atau 2 atau 3 atau 4 isteri mereka.
Tanpa memikirkan anak jalanan yang diperhambakan. – 6 Februari, 2016.
*Nik Aziz Afiq Bin Abdul merupakan AJK pusat pemuda sosialis PSM.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments