rencana
Antara nasib pelarian dalam negara dan pekerja asing yang didamba – Nurainie Haziqah Shafii
Pengumuman timbalan perdana menteri sejak 2015 tentang kemasukan pekerja asing dari Bangladesh seramai 1.5 juta sememangnya mengundang banyak persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Isu ini dikupas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan di Twitter semalam yang menyatakan kerajaan sendiri, jika mempunyai pilihan tidak mahu membawa masuk pekerja-pekerja asing ini.
Namun, disebabkan rakyat Malaysia enggan bekerja dalam bidang 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) menyebabkan kerajaan terpaksa membawa masuk sejumlah pekerja asing bagi membantu sector swasta yang memerlukan.
Yang lebih menjengkelkan saya ialah cubaan Rahman sendiri cuba memomokkan rakyat dengan situasi, sekiranya rakyat Malaysia sendiri yang bekerja di sektor ini, gaji harus dibayar lebih tinggi dan kemungkinan besar, harga barang akan naik. Sanggupkah kita?
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam laman Twitter-nya juga menyokong perkara sama jika rakyat Malaysia diupah untuk bekerja di sektor yang menjalankan kerja-kerja 3D.
Dua perkara yang suka saya ingatkan kepada kedua-dua menteri ini. Pertama, sejak bila sebenarnya kita punya menteri yang tiba-tiba terlalu cakna tentang kenaikan harga barang?
Kisah derita kenaikan harga barang sudah lama ada, tetapi demi menjustifikasikan kemasukan 1.5 juta pekerja asing ini sahaja secara tiba-tiba menteri menggunakan alasan kononnya tidak mahu membebankan rakyat dengan harga barang yang akan naik jika rakyat Malaysia bekerja dalam sektor 3D ini. Walhal, ada udang di sebalik batu bukan?
Menteri kemudiannya membangkitkan alasan tidak ramai rakyat Malaysia yang mahu bekerja di sektor 3D.
Maka, persoalan ke-2 saya ialah tentang pelarian sedia ada yang sudah berdaftar di bawah United Nations High Commissioners for Refugees (UNHCR) di Malaysia.
Setakat ini, lebih dari 120,000 pelarian yang kebanyakannya datang dari Myanmar masih tidak terbela kerana Malaysia bukan sebahagian daripada Refugees Convention 1951.
Bagaimana pula yang sudah berada di Malaysia tetapi masih belum didaftarkan di bawah UNHCR? Jika kita sudah mempunyai pelarian yang sememangnya sudah berada di Malaysia, mengapa kita masih perlu membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh walaupun kemasukan ini dipohon sektor swasta.
Selama ini, tiada langkah yang diambil kerajaan bagi membantu pelarian yang sememangnya sudah berada di Malaysia. Tiada undang-undang mahupun polisi bagi mentadbir pelarian-pelarian di sini.
Kebanyakan mereka bekerja secara haram (illegally working), tidak boleh mendapat pendidikan formal mahupun hak mendapat rawatan kesihatan. Sebaliknya mereka ini terpaksa untuk sentiasa berjaga-jaga dengan kemungkinan ditangkap pihak berkuasa dan sebagainya.
Jelas, niat kerajaan Malaysia untuk membawa masuk pekerja asing yang baru masih gagal diyakinkan. Masalah dan nasib pekerja asing di Malaysia kini juga masih tidak dapat diselesaikan apatah lagi dengan kemasukan baru ini.
Apa yang rakyat mahukan ialah penjustifikasian jelas tentang kemasukan pekerja asing dan pihak mana yang akan mengaut keuntungan daripada kemasukan ini. – 16 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments