rencana
Antara sakitnya birokrasi dan tumpahan ilmu di kaki lima – Maryam Hamidah Zulkifli
Akhir-akhir ini, mahasiswa sering kali dihidangkan dengan pelbagai program santai dan aktiviti intelektualisme yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Ada yang tempatnya di bilik berhawa dingin, di kafe atau hanya sekadar bertenggek di tangga bangunan kuliah, atau mungkin di bawah teduhan pokok dan tidak kurang juga di laluan kaki lima. Ada yang berkala mingguan dan bulanan. Baik bersifat serius atau minum kopi. Dan ada juga bermusim mengikut isu semasa.
Persoalannya, adakah mahasiswa ini terlalu malas untuk menyediakan kertas kerja, lantas mendapatkan kebenaran pihak berwajib yang mungkin memakan masa selama berbulannya? Jika diizinkan, maka kata saya tidak sama sekali!
Sebaliknya mahasiswa sebegini mungkin penat menunggu proses cerewet birokrasi yang belum tentu cepat dan diberi kebenaran. Adakah ini mahasiswa memberontak? Atau sengaja melawan? Saya yakin kita masih belum melupakan bagaimana seorang Bawani bangkit dalam dewan besar untuk menyatakan suara sendiri. Dan saya juga percaya kita masih ingat segar bagaimana fenomena ini mencetuskan kesedaran dan mengundang pelbagai persepsi, baik negatif mahupun positif.
Ia bergantung kepada penerimaan masing-masing, namun saya masih ingin berpegang kepada prinsip kesedaran sebeginilah wajar kita pupuk. A little spark that will lead to the big fire.
Sementelah saya sedang menjalani program pertukaran pelajar sekarang, saya ditanya seorang pelajar universiti lain:"Mengapa pelajar UIA ini sanggup digantung semester? Sepatutnya hanya perlu belajar dan fokus. Usah menimbulkan onar dan mengundang kesusahan orang lain."
Ya, saya menghormati pandangan saudari. Namun saya amat percaya kita masih ada jalur hubungan bersama masyarakat di luar, yang dinamai kontrak sosial, tidak kira anda daripada institusi mana sekalipun.
Yang akan membumikan sesuatu pengetahuan dan mendidik masyarakat tentangnya, tidak lain tidak bukan adalah mahasiswa. Jika ditanya pada saya yang berbapakan seorang guru dan beribukan seorang bekas pensyarah tentang cukai GST, ya saya masih tidak mampu memahaminya dengan baik.
Atau tanyakan saya tentang kesan jangka panjang TPPA, atau mungkin tentang apa-apa isu yang memberi kesan kepada masyarakat kita. Ya, saya masih tidak mampu memahaminya dan menjelaskannya dengan baik.
Dan, ya. Di sinilah peranan kita selaku mahasiswa untuk mendalami isu begini secara spesifik atas tiket autoriti yang kita ada. Bertindak sebagai ejen penerangan dan menerangkannya kepada golongan yang tidak arif seperti saya, atau berdiskusi untuk memberi pencerahan, agar bisa dibawa ke rumah masing-masing; waima hanya di atas tangga bangunan kuliah!
Dan inilah the spark yang dikatakan sebagai membawa kesedaran. Tidak kiralah tentang isu apa sekalipun. Di mana pun penjuru kita, kita seorang penggali disiplin itu, jadi suarakan apa yang kita lihat, berikan apa yang kita tahu. Universiti ini medan kita. Baik anda seorang ekonomis, agamawan, pemikir, ahli bahasa dan sebagainya, ayuh kita bertindak. Jika bukan sebagai seorang penyuara, maka sebagai seorang pendiskusi tegar yang bisa menjernihkan sesuatu isu kepada masyarakat marhaen di sana.
Takut sungguh saya jika kita, mahasiswa menjadi seperti omongan Dr Maszlee, mahasiswa bonsai. Dan hanya mengikut arus. Lalu, selamat berdiskusi tanpa perlu menunggu kebenaran formal.
Selamat membenihkan diri dan mencambahkan idea, walau hanya di kaki lima. – 25 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments