rencana
Anwar pejuang gagah, berani dan tabah – Muammar Qaddafi
Genap setahun yang lalu, iaitu pada 9 Februari 2015 mahkamah memutuskan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun kerana didakwa meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Rakyat tahu bahkan dunia tahu Anwar tidak bersalah, namun kerana rosaknya sistem kehakiman di Malaysia, beliau terpenjara, namun jika dijangka beliau akan tunduk, sama sekali salah, ucapan terakhir beliau begitu menikam hakim sehingga menyebabkan mereka panas punggung dan tidak mampu berhadapan dengan yang mereka hukumi.
Antara bait akhir Anwar dalam ucapan tersebut yang menjadi penyuntik semangat anak muda di luar untuk meneruskan perjuangan adalah: "Allah menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah!".
Kecekalan Anwar melalui liku-liku perjuangan sungguh dahsyat, bukan semua mampu hadapi sebagaimana beliau, maka tidak hairanlah di usia akhir 60-an beliau masih dianggap idola ramai anak muda dan kekal releven sebagai perdana menteri.
Bagi yang tidak sepenuhnya mengenali Anwar, suka untuk saya menulis menceritakan kepada anda serba sedikit tentang tokoh reformasi ini.
Anwar dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Kampung Ceruk To'Kun Bukit Mertajam. Ibu bapa Anwar kedua-duanya adalah pemimpin politik Umno dan bapanya pernah menjadi ahli Parlimen.
Anwar bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ceruk To'Kun dan kemudiannya di Sekolah Stowell.
Seterusnya Anwar meneruskan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1960-1966. Sifat kepimpinan beliau menyebabkan beliau diangkat menjadi ketua pelajar.
Anwar memasuki Universiti Malaya pada 1967 dan dalam tempoh itulah bakat kepimpinan Anwar mula menonjol.
Pada 1969, berlaku rusuhan kaum (13Mei) dan suasana kampus ketika itu sentiasa membicarakan dan berwacana isu ini.
Anwar mula kenal dan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menentang pentadbiran Tunku Abdul Rahman.
Namun pada 1974 ketika Anwar mengetuai tunjuk perasaan anti kemiskinan di Kedah, Dr Mahathir dan Anwar mula mengikut jalan masing-masing dalam perjuangan mereka.
Peristiwa paling besar dalam hidup Anwar adalah pada 1971, iaitu beliau bersama rakan-rakannya menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan ia merupakan gerakan Islam pertama di Malaysia yang tidak menerapkan unsur ketaksuban dan konservatif yang memisahkan dakwah daripada masyarakat.
Pemimpin Umno pertama yang mengiktiraf bakat Anwar adalah Tun Abdul Razak Hussein, apabila bapa Anwar berjumpa Razak pada majlis hari jadi perdana menteri ke-2 itu, beliau mencadangkan kepada bapa Anwar untuk menghantar Anwar ke luar negara dan menuntut dalam bidang perundangan, namun Anwar menolak tawaran tersebut.
Razak berulang kali memujuk Anwar untuk menyertai Umno namun ditegaskan Anwar yang beliau ingin bekerja sendiri tanpa terkongkong mana-mana parti.
Usia belia Anwar dihabiskan untuk aktiviti belia, Razak melantik Anwar menjadi wakil Malaysia ke seminar belia antarabangsa dan tahun berikutnya beliau menjadi ketua belia Malaysia dan seterusnya menjadi ahli penasihat kumpulan belia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Namun begitu Anwar bukanlah obses dalam mendapatkan jawatan mahupun berteori segala bagai dalam usaha perkukuhkan belia,sebaliknya beliau bertindak dengan tangan beliau sendiri untuk membantu belia mendapat pendidikan sewajarnya
Pada 1971, Anwar membantu mengasaskan Yayasan Anda Akademik bagi tujuan membantu pendidikan dalam kalangan pelajar Melayu yang keciciran.
Anwar ketika itu ditawarkan memegang jawatan di dalam PBB dengan gaji AS$2000 sebulan namun beliau menolak dan meneruskan kerja beliau Yayasan Anda dengan gaji AS$250 sebulan.
1982 adalah tahun yang membawa Anwar melangkah lebih jauh dalam bidang politik iaitu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Abim dan menyertai Umno.
Dikhabarkan syura Abim menentang tindakan Anwar bahkan merayu agar Anwar kekal namun apabila satu perjumpaan syura dilakukan selama sehari suntuk, ahli syura bersetuju melepaskan beliau ke dalam Umno.
Penyertaan Anwar ke dalam Umno sememangnya menguntungkan Umno dan tindakan Dr Mahathir membawa masuk Anwar sememangnya dipuji setiap parti komponen Barisan Nasional (BN).
Anwar kemudiannya bertanding dalam pilihan raya umum pada 1982 di kerusi Permatang Pauh dan berjaya merampas kerusi tersebut daripada PAS walaupun calon parti Islam itu yakin akan dapat mengekalkan kerusinya.
Anwar kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri di dalam jabatan perdana menteri dan beliau berfokuskan untuk memajukan ekonomi rakyat miskin yang beliau percaya itu juga adalah sebahagian dari perjuangan Islam.
Antara tugas penting Anwar ketika menjawat jawatan timbalan menteri adalah menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa.
Anwar dalam tempoh yang singkat di dalam Umno melangkah lebih jauh apabila membuat keputusan untuk menandingi jawatan Ketua Pemuda Umno dan beliau menang dengan undi tipis namun pada pemilihan berikutnya beliau menang dengan majoriti besar.
Perjalanan politik Anwar dalam Umno begitu lancar sehinggalah beliau akhirnya berjaya menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno dan sekali gus menjadi timbalan perdana menteri.
Namun begitu, kelancaran jalan politik Anwar tidak kekal lama, memang lumrah dalam politik musuh kita bukan sahaja dari luar parti sebaliknya turut ada dari dalam parti sendiri.
Kejayaan Anwar tentu sahaja menimbulkan rasa iri pemimpin Umno lain, tidak hairanlah sejak memasuki Umno Anwar sering diburuk-burukkan melalui surat layang dan sebagainya untuk merenggangkan hubungan beliau dengan Dr Mahathir bahkan Anwar pernah dituduh sebagai ejen PAS yang dihantar untuk merosakkan Umno dari dalam.
Dr Mahathir awalnya tidak mempedulikan tuduhan kepada Anwar namun sedikit demi sedikit beliau termakan jua, apatah lagi kedua-duanya memiliki idealogi berbeza, pernah sekali dalam satu perhimpunan Agung Umno yang menjadi tanda Dr Mahathir mula mencurigai Anwar adalah apabila beliau membicarakan soal pengkhianatan Brutus kepada Ceasar.
Pun begitu, walaupun dilihat ada tanda Anwar bakal menentang Dr Mahathir, namun hakikatnya Anwar menegaskan kesetiaan beliau kepada Dr Mahathir namun tukang adu domba tetap meneruskan bisik-bisik mereka sehinggalah Dr Mahathir akhirnya termakan segalanya.
Walaupun pertembungan Anwar-Dr Mahathir berjaya ditutup, kerana Dr Mahathir pun tidak mampu berbuat apa-apa kerana Anwar tidaklah terbuka menentang beliau, namun krisis ekonomi negara yang berlaku akhirnya sekali gus membawa keluar segala yang tersembunyi.
Krisis ekonomi mendorong Dr Mahathir menggunakan jalan pintas untuk menyelamatkan syarikat besar iaitu dengan menggunakan wang rakyat untuk menyuntik dana dalam syarikat yang sedang nazak namun Anwar, selaku menteri kewangan tidak bersetuju!
Pada Jun 1998, perhimpunan agung Umno berlangsung di PWTC dan ketika itu tersebar satu buku sampah yang menjadi pembuka jalan penyingkiran Anwar, buku yang selayaknya ditulis sang Iblis bertajuk "50 dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM".
Selain itu pada perhimpunan agung Umno 1998 yang turut menjadi faktor penghangat perang Dr Mahathir-Anwar adalah apabila panglima perang Anwar, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan isu nepotisme dan kronisme dalam Umno yang selari dengan ucapan Anwar sebelumnya.
Akhirnya segalanya tamat untuk Anwar di dalam Umno, dengan segala drama usung tilam dan kondo tidak siap, serta ugutan dan penyeksaan kepada rakan Anwar untuk menentang Anwar, beliau akhirnya dipenjarakan 6 tahun kerana salah guna kuasa dan 9 tahun kerana kesalahan meliwat.
Pada 2004, tarikh bersejarah buat rakyat Malaysia, apabila Anwar dibebaskan dari penjara Sungai Buloh, pembebasan beliau disambut baik rakyat dan pemimpin pembangkang dari PAS dan DAP.
Pada 2006, Anwar mengumumkan beliau akan bertanding pada pilihan raya umum ke-12 namun tindakan Tun Abdullah Ahmad Badawi mempercepatkan tarikh pilihan raya menghalang Anwar untuk bertanding.
Mahupun begitu Anwar masih boleh terus memimpin parti pembangkang dan menyusun strategi yang baik yang membawa kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) menafikan majoriti dua pertiga Umno dan Barisan Nasional.
Pasca PRU12 diwujudkan Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan PKR-DAP-PAS yang seterusnya membawa kemenangan yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pasca pembebasan Anwar beliau berjaya menyatukan parti pembangkang yang berpecah dan itulah yang menjadi faktor utama kemenangan besar parti pembangkang.
Aura kepimpinan Anwar tentu sahaja tidak disenangi musuh bahkan beberapa rakan beliau, ujian yang beliau terpaksa hadapi bukan sedikit, jika senjata hujah tidak dapat menundukkan Anwar, maka senjata fitnah digunakan dan ternyata fitnah tidak mengecewakan tuannya apabila Anwar sekali lagi dipenjarakan pada 2015.
Dengan terpenjaranya Anwar buat kali ke-3,Pakatan Rakyat kembali berpecah, Umno yang lemah boleh tetap duduk selesa, namun begitu perjuangan masih diteruskan melalui Pakatan Harapan, yang sabar menanti kepulangan pemimpin kami.
Buat Anwar, bersabarlah dan semoga tuhan kurniakan kebaikan kepada beliau dan diberi kekuatan untuk kembali memimpin kami tidak lama lagi. Insya Allah anak muda Pakatan Harapan menanti anda. – 8 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments