rencana

Apa salahnya Haron Din dilantik pengerusi kluster? – Ibrahim Ali

Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din dilantik menjadi Pengerusi Kluster Dakwah di bawah Majlis Perunding Islam (MPI) di bawah tajaan kerajaan secara tidak langsung kelolaan Yayasan Dakwah.

Ia akan menjadi modal tambahan kempen Umno kepada rakyat dengan mendakwa "tengok betapa prihatin dan hebatnya Umno untuk menaikkan syiar Islam".

Manakala bagi Datuk Husam Musa, bekas naib Presiden PAS yang kalah teruk pula menyatakan dengan begitu kuat pelantikan Haron Din adalah "satu penghinaan yang dahsyat kepada PAS kerana ia secara tidak langsung di bawah kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini dikritik hebat berbagai pihak mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.

Ini pandangan Husam yang sememangnya masih lagi marah pada PAS kerana ditolak sebagai naib presiden parti Islam itu dengan undi yang rendah pula serta kehilangan cita-cita untuk menjawat jawatan timbalan menteri besar atau menteri besar.

Kekecewaannya dapat kita kongsi bersama. Pendek kata tiada apa yang betul lagi mengenai perjuangan PAS termasuk masanya menjadi exco Kerajaan Kelantan dan naib presiden PAS.

Dulu saya diserang apabila menegur kerajaan Kelantan mengenai isu balak, dan tanah.

Apakah ada kena mengena pelantikan Haron Din dengan kepimpinan Najib? Pada saya tidak ada kena mengena langsung. Masalah Najib dan kerajaan kepimpinannya yang dikritik hebat rakyat adalah satu perkara yang berlainan.

Sebagai ulama dan seorang Da'i ialah utk berdakwah dan memberi sumbangan fikiran dan peranan untuk kebaikan Islam. Inilah amalan yang dikatakan Islam dan Politik tidak boleh dipisahkan.

Apakah DAP atau Datuk Seri Anwar Ibrahim bersih 100% yang menyebabkan Husam menyokong dan bersekongkol serta berceramah atas satu pentas?

Saya belum tengok lagi Haron Din berceramah membela Najib mengenai isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Anwar sudah dihukum bersalah oleh Mahkamah tapi Husam membela Anwar dengan lantang. Alasannya Anwar dizalimi. Itu kata Husam. Cuma saya percaya Haron Din mempunyai sifat dan keperibadian yang tidak “double standard” atau hipokrit.

Seorang ulama sememangnya tenang dan istiqamah.

Pada saya pelantikan Haron Din walaupun kecil dan bukan bertaraf menteri adalah satu kemenangan moral yang besar pada PAS dan bukan setakat satu penghormatan pada PAS seperti kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kini Umno tidak boleh lagi memperlekehkan PAS. Sekarang ini pun kedengaran ada yang mahu UMNO berganding dengan PAS atas berbagai alasan. Yang mudah dijual ialah perpaduan ummah demi kekuatan Melayu dan Islam.

Apa pun yang jelas Umno yang sedang sakit amat memerlukan PAS. Ini hakikatnya. PAS pula jika tunjuk mahal atau bersikap jumud tentu tidak dilihat parti yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam.

PAS sedar apabila berpisah dengan DAP. PAS akhirnya tidak menjual prinsip perjuangan Islamnya seperti mempertahankan Hukum Hudud yang diperjuangkan PAS berpuluh tahun lama nya. Berjaya atau tidak soal lain. Tapi tetap tegas dgn prinsipnya.

Saya pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 bertanding atas simbol PAS. PAS bermurah hati memberi laluan pada saya. Saya amat berterima kasih.

Tapi saya berpisah kerana PAS selepas itu dilihat menjadi kuda pada DAP dan Anwar. Saya kritik dan akhir berpisah. Pendirian saya akhirnya betul. Sekarang PAS berpisah dengan DAP dan saya gembira.

PAS mestilah menunjukkan sikap proaktif dgn sesama Islam. Soal ada pihak salah, tidak betul atau tidak serius dengan Islam, itu soal lain.

Orang beriman jika berada di mana sahaja atau di gelanggang maksiat atau minum atau makan semeja dengan puak rasuah, jika orang beriman berkenaan tidak ikut lakukan perkara buruk yang sama, malah menegur dan menasihatkan orang yang bersifat buruk meninggalkan perbuatan buruk, maka inilah tindakan dan peranan yang betul. Jangan berkawan dengan pencuri dan akhirnya turut sama menjadi pencuri.

Rumusan saya, dengan berpisahnya PAS dan DAP, mengambil kira keresahan kaum Melayu Islam terkini dengan berbagai isu, jika PAS berhemah dalam perjuangan politiknya, saya yakin PAS akan menjadi parti alternatif yang akan mendapat sokongan majoriti kaum Melayu Islam dalam PRU14 nanti. Atau ada lain2 alternatif sama-sama kita tunggu dan lihat. – 13 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments