rencana

Apa salahnya Masjid Negara beri teduh kepada gelandangan? – Aziff Azuddin

Beberapa bulan lalu, Masjid Negara menjadi perbincangan ramai apabila pekerja amal Syed Azmi Alhabshi mencadangkan perkarangan masjid dibuka untuk gelandangan pada waktu malam.

Harapan ramai adalah Masjid Negara akan berbesar hati memberi tempat berteduh kepada golongan yang kurang bernasib ini.

Malah, selepas sekian lama kami menunggu, pihak Masjid Negara menolak permintaan untuk membuka perkarangan mereka kepada gelandangan.

Pihak Masjid Negara berkata mereka hendak mengelakkan situasi di mana golongan gelandangan “tidak menjaga adab” di rumah Allah.

Malah ditambah lagi di akhir mesej tersebut, ia supaya pihak Masjid Negara tidak diburukkan di mata masyarakat melalui sosial media.

Bagi saya, kesimpulannya senang. Yang memburukkan imej Masjid Negara adalah pihak mereka sendiri.

Apakah hak mereka sebagai hamba Allah menghakimi siapa mereka rasa layak memasuki rumah Allah? Bukankah agama Islam mengutamakan kita membantu orang yang dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan?

Dalam karya Sheikh Omar Bakri Muhammad, "The Role of the Mosque", peranan masjid tidak hanya terhad kepada beribadat.

Malah, wacana berkenaan isu ini menekankan masjid juga menjadi tempat membangunkan ummah dari segi komuniti dan ekonomi. Sudah pasti pihak Masjid Negara pernah ke tanah suci Madinah dan Makkah.

Tidakkah mereka nampak kepelbagaian manusia yang menggunakan ruang Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Haram untuk berteduh? Lagi-lagi mereka yang tidak ada rezeki untuk bermalam di hotel di sekitar kawasan tersebut.

Saya tidak nafikan yang pihak Masjid Negara bimbang ia menjadi kes di mana “diberi betis hendak peha”. Takut nanti kebaikan mereka diambil kesempatan, dan tempat yang sepatutnya suci-bersih menjadi kotor dan sebagainya.

Tetapi sebagai wakil agama dan penjaga kunci kepada rumah Allah, tidakkah kebajikan komuniti juga menjadi tanggungjawab mereka?

Saya yakin ramai tidak ada masalah jika Masjid Negara memulakan inisiatif “halfway home” di mana mereka menjadi platform menolong golongan gelandangan untuk kembali bersama masyarakat.

Naratif gelandangan tidak simplistik seperti anda bayangkan. Walaupun puncanya berbeza, secara kesimpulannya kebanyakan mereka memerlukan sokongan komuniti yang menolak mereka atas sebab “malas” tanpa mengetahui punca sebenar mereka menjadi gelandangan pada mulanya.

Janji tak berceramah dan menunjukkan diri mereka lebih alim, sudah.

Pihak Masjid Negara ada peluang menunjukkan Islam adalah agama yang menunjukkan belas kasihan. Malah setiap orang Islam ada tanggungjawab menolong sesama manusia, tidak kira bangsa, rupa dan latar belakang.

Jangan kerana kita rasa kita pegang kunci kepada rumah Allah dan warak, kita terselamat pada Akhirat kelak. Kerana itu hanya Allah yang tahu. – 1 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments