rencana
Apa yang istimewa, itu kan protokol – Lim Lip Eng
Saya merujuk laporan bertajuk “VIP treatment from Saudis proves Najib’s donation claim, BN politicians say” oleh The Malaysian Insider yang memetik Tweet Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Apalah dangkal betul akal dan minda Rahman ini; barangkali beliau tidak pernah dilayan sebagai tetamu kehormat di sidang antarabangsa sepanjang kerjaya politiknya.
Layanan VIP terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tak perlu dihairankan, semua kenamaan dan ketua negara yang bertandang ke Arab Saudi menerima layanan serupa. Tidak ada apa-apa yang istimewa tentang layanan yang diberikan kepada Najib. Benda begini boleh Google saja.
Sudah pastilah ketua negara delegasi diberi layanan VIP sesuai dengan pangkat dan statusnya sebagai pemimpin, bukankah ini namanya protokol? Tak ada istimewanya Najib.
Mungkin pihak Saudi sendiri punya adab untuk tidak memalukan Najib atas tuduhan menerima sumbangan tunai ke akaun peribadi dengan mendedahkan kebenaran mengenai hal tersebut.
Apalah teruk sangat pemuka Umno BN ini sampai melihat ketua mereka dilayan dengan jambangan bunga dan dapat bergambar dengan monarki Saudi pun sudah begitu teruja. Barangkali “Universiti Umno” boleh mengadakan kursus protokol dan budi bahasa supaya mereka tidak cepat melompat.
Barangkali mereka perlu diingatkan laporan The Wall Street Journal Selasa lalu mendedahkan aliran tunai ke akaun peribadi Najib tidak ada kena mengena dengan monarki Saudi, bahkan menurut siasatan pihak berkuasa antarabangsa, ia melibatkan dana 1MDB sendiri yang dialih-alih melalui proksi luar negara.
Lebih baik lagi, apa kata pemimpin BN sendiri bertanya kepada monarki Saudi kenapa pihaknya enggan mengaku mereka memberi derma kepada Najib dan sekali gus membersihkan nama perdana menteri. – 4 Mac, 2016.
* Penulis ialah ahli Parlimen Segambut.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments