rencana

Atasi beban sejarah demi memartabat umat Islam – Mohamed Imran Taib

“Kita ini ramai, tetapi mempunyai beban sejarah.” Merujuk kepada angka 1.7 bilion umat Islam merata dunia, Profesor Ahmad Syafi’i Maarif atau akrabnya, Buya Maarif meluahkan rasa kesal akan kondisi umat Islam masa kini.

Sudah tiba masanya kita membongkar sejarah dan berfikir dari luar kotak-kotak pemikiran seperti Sunnisme, Syi’isme dan Khawarijisme yang hanya merupakan “buatan sejarah akibat sengketa politik kekuasaan elit Arab pada era klasik.”

Yang harus ditekankan ialah pembangunan kualiti umat Islam, bukan lagi kuantiti. Begitu menurut Buya Maarif yang pernah menjadi ketua pimpinan pusat Muhammadiyah Indonesia (1998-2005), antara organisasi Islam terbesar di dunia hari ini.

Pada usia 81 tahun, beliau masih bersemangat menasihati umat Islam supaya kembali kepada al-Quran dan menghayati sebenar-benarnya ajaran Islam yang memihak kepada keadilan dan kesaksamaan.

Masalahnya, menurut Buya, umat Islam jarang melakukan introspektif diri dan hanya suka menyalahkan pihak lain seperti Barat, Yahudi dan sebagainya.

Walaupun beliau tidak menafikan beban kolonialisme serta fenomena neo-imperialisme yang masih berlaku sekarang ini, umat Islam harus merubah paradigma menganalisis masalah dan melihat kepada kelemahan umat supaya dapat diperbaiki.

Salah satunya ialah kelemahan intelektual dan kurang penghayatan terhadap sejarah.

“Para intelektual Islam harus berani berijtihad; berani menggunakan pendekatan sejarah yang jujur dan objektif,” kata Buya.

Sekiranya umat Islam tidak dapat melakukan hal ini, maka yang akan berleluasa ialah “teologi maut”, yang beliau definisikan sebagai “berani mati kerana tidak berani hidup” dan segelintir umat Islam berpegang kepada teologi corak begini kerana “mereka tidak punya apa-apa untuk disumbangkan kepada umat manusia.”

Perkara ini sangat menyedihkan kerana sebetulnya, manusia itu diciptakan untuk mengelola dunia sebaik-baiknya; bukan untuk melepaskan dunia.

Di dalam ceramahnya yang berjudul “Tradisi Keagamaan dan Intelektual Islam Indonesia: Tantangan masa kini” anjuran Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura pada 13 Februari 2016 di Perpustakaan Negara Singapura, Buya Maarif menyatakan ketidaksetujuan beliau terhadap sistem feudalisme yang masih mencengkam sebahagian masyarakat Muslim di Asia Tenggara mahupun Timur Tengah.

Yang membezakan seseorang itu di mata Tuhan bukanlah darah, keturunan atau pangkatnya, tetapi ketakwaannya. Menurut beliau lagi, kerosakan umat sering kali terjadi akibat pertarungan kuasa di kalangan elit yang kemudiannya mempergunakan nama Tuhan untuk berpihak kepada kelompok masing-masing.

Ini termasuklah korupsi yang terjadi di dalam institusi ulama apabila negara mempergunakan golongan ulama untuk melegitimasikan kedudukan dan kepentingan pihak berkuasa. Buya memberikan contoh kerosakan yang terjadi di institusi Islam terkemuka, Universiti Al Azhar di Mesir, yang sudah tidak lagi bebas kerana bersatu dengan kepentingan politik pihak penguasa.

Para ulama yang ikut serta dalam permainan politik seperti inilah yang pernah digelar sebagai ulama su (ulama yang jahat) oleh Imam Al Ghazali pada abad ke-11. Maka penting, menurut Buya, untuk mempertahankan hati yang suci dan akal yang sihat demi menghidupkan seruan sebenar al-Quran dan ajaran moral Islam yang luas.

“Kalau ulama tidak punya akal merdeka, mereka mudah dijadikan alat politik,” tegas Buya yang mendapat gelar doktornya dari Universiti Chicago di Amerika di bawah bimbingan sejarawan Islam terkemuka, Profesor Fazlur Rahman.

Buya Maarif merupakan suara moral yang sangat diperlukan hari ini. Malah, usia lanjutnya tidak menjadi penghalang untuk beliau terus menyuarakan keresahannya terhadap kondisi umat Islam yang berada di sisi marjinal dalam skala pencapaian peradaban masa kini.

Beliau sendiri mengakui agak lewat mendapat pencerahan. Di dalam autobiografinya, Titik-Titik Kisar di Perjalananku, beliau menceritakan bagaimana pada usianya menjelang 40 tahun sewaktu ke Universiti Chicago, beliau masih mendukung kuat gagasan Negara Islam dan ideologi golongan fundamentalis seperti Maududi masih menjadi rujukannya.

Maka sewaktu mula-mula bertemu Profesor Fazlur Rahman pada tahun 1979, beliau berkata: “Professor Rahman, please just give me one fourth of your knowledge of Islam, I’ll convert Indonesia into an Islamic State!”.

Jawab Profesor Rahman, “You can take all of my knowledge.” Setelah selesai pengajiannya bersama Profesor Rahman, Buya Maarif tidak lagi melihat Negara Islam sebagai perjuangan wajib umat Islam. Itu hanyalah beban sejarah kerana tidak ada konsep seperti itu di awal Islam.

Makanya, Indonesia haruslah mengembangkan demokrasi Pancasila sebagai bentuk negara paling sesuai mengikut perkembangan masa kini. Peran Profesor Fazlur Rahman sungguh besar di dalam perjalanan intelektual beliau.

Profesor Rahmanlah yang menyuruhnya mempertimbangkan seluruh kekayaan khazanah Islam klasik dan moden dengan semangat Al-Quran yang sejati.

Inilah yang memberi daya kreatif kepada beliau untuk menganalisis permasalahan masyarakat Islam di dunia moden tanpa perlu terikat dengan beban-beban sejarah dan kotak-kotak sektarianisme yang merupakan rumusan manusia yang hidup di konteks lampau yang berbeza.

Apakah umat Islam hari ini boleh merubah keadaan dan kembali bangkit sebagai umat yang memberi sumbangan kepada peradaban manusia? Buya Maarif masih optimis.

Tetapi, umat Islam harus bersedia menerima segala macam perbezaan dengan berlapang dada dan menanamkan sikap toleran.  

Perbezaan itu lumrah tetapi yang harus dijaga ialah sikap kita terhadap golongan yang berbeza. Mengutip beberapa ayat al-Quran, Buya menekankan “Al-Quran itu lebih toleran dari umat Islam itu sendiri.”

Maka diperlukan sikap tawaduk untuk belajar dari mana jua sumber – sekalipun dari Barat, Yahudi atau negara Cina yang sedang membangun pesat. Semangat yakin diri inilah yang diperlukan sekarang.

Dan tugas mereformasikan umat tidak memerlukan angka yang ramai. Mengutip sejarawan Inggeris, Arnold Toynbee, Buya Maarif menekankan yang diperlukan di dalam merubah perjalanan sejarah ialah golongan  minoriti yang kreatif (creative minority).

Beliau yakin umat Islam di Singapura boleh memainkan peranan ini di dunia Melayu sekiranya ada keberanian berfikir dan semangat moral yang berlandaskan anjuran Al-Quran untuk menegakkan keadilan serta kesaksamaan.

Di dalam situasi pergolakan politik dan kekuasaan yang menghambat kemajuan berfikir umat Islam masa kini, suara Buya merupakan nafas segar. Para pemimpin umat Islam hari ini harus meniru semangat intelektual serta ketegasan moralnya jika mahu mengedepankan kemajuan umat.

Inilah yang langka di dalam situasi di mana agama sering ditundukkan oleh perebutan kuasa dan permainan politik kalangan berkepentingan.

Untuk itu, penting untuk negara dan agama dipisahkan demi menjaga martabat agama yang akan menjadi suara moral kepada negara yang harus bertanggungjawab dan adil kepada seluruh pimpinannya, dan bukan hanya kepada umat Islam sahaja. – 13 Februari, 2016.

* Penulis ialah antara pendiri kelompok diskusi anak muda, The Reading Group Singapore, yang membincangkan isu-isu keintelektualan Dunia Melayu dan Islam.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments