rencana
Banglapreneur, MoU pekerja Bangladesh-Malaysia – Mujahid Hasanuddin
Kerisauan anak muda terhadap peluang pekerjaan hari ini semakin membimbangkan, apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang memaksa banyak syarikat mula memberhentikan pekerja dan mengecilkan saiz operasi mereka.
Ramai anak muda mula merancang memulakan perniagaan mereka sendiri dengan modal dan masa yang terhad sebagai persiapan menghadapi ketidaktentuan masa depan.
Bagaikan jatuh ditimpa tangga, tidak sempat hilang kerisauan anak muda mendepani cabaran ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) menghadiahkan 1.5 juta orang pekerja dari Bangladesh lagi bagi merompak peluang pekerjaan dan berniaga daripada anak muda Malaysia.
Ya, saya merujuk kepada draf memorandum persefahaman (MoU) yang baru sahaja diluluskan kerajaan Bangladesh bagi menghantar 1.5 juta rakyat mereka untuk bekerja di Malaysia.
Banyak respons menyatakan betapa mereka tidak bersetuju dengan keputusan ini daripada kesatuan pekerja, kesatuan majikan, parti-parti politik, NGO dan aktivis anak muda.
Mereka berkongsi kerisauan terhadap peluang pekerjaan yang semakin berkurangan, kesan terhadap perkembangan gaji minimum dan tidak kurang juga terhadap masalah jenayah dan sosial yang semakin meningkat di negara kita.
Di penulisan ringkas ini, saya membawakan sudut pandang usahawan baharu dan kesan jangka panjang terhadap usahawan muda di Malaysia.
Walaupun pada dasarnya pekerja asing yang mendapat visa bekerja dilarang berniaga, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.
Kita harus menerima hakikat yang bilangan warga asing dalam sektor perniagaan semakin hari semakin dominan.
Daripada bidang perkhidmatan, pembinaan, IT, pertanian sehinggalah bidang peruncitan. Jika dahulu mereka sebagai pekerja, hari ini mereka mula menjadi pengusaha.
Budaya korupsi yang dipelajari daripada pengalaman berurusan di Malaysia membolehkan mereka membeli dan menyewa lesen perniagaan warga tempatan untuk berniaga secara “sah” melalui saluran “derma” kepada pemilik lesen atau pelaburan kepada warga tempatan tadi.
Mereka berjaya mengembangkan perusahaan mereka dengan jayanya sehingga menguasai pelbagai sektor perniagaan.
Lambakan ini menyebabkan anak muda Malaysia bukan sahaja perlu bersaing sesama mereka, bahkan perlu bersaing dengan warga asing yang ternyata mampu memberikan harga jauh lebih rendah disebabkan pelbagai faktor.
Antaranya tanggungan minima, menumpang kemudahan majikan sedia ada, serta kos pekerja yang lebih rendah kerana sistem koperasi yang mereka wujudkan.
Kita harus puji dan belajar kesungguhan yang ditonjolkan dalam menjalankan perniagaan dan bagaimana mereka memanfaatkan bilangan yang ramai dengan menghidupkan koperasi sendiri walaupun tidak berdaftar.
Namun kita harus mengutamakan rakyat kita dengan cara galakan dan pendidikan serta mengurangkan halangan-halangan yang mengganggu proses pembinaan generasi baharu usahawan Malaysia.
Kerajaan BN haruslah bertanggungjawab menangani masalah ini dengan usaha terancang supaya kemasukan warga asing ke Malaysia dapat dikawal.
Kita tidak dapat menafikan terdapat kemungkinan niat atau muslihat yang disembunyikan di sebalik usaha membawa masuk pekerja asing ini.
Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya anak muda untuk bersama memberikan tekanan kepada BN untuk membatalkan projek ini demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera. Jangan lupa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimeterai akan menambahkan lagi kesengitan persaingan survival kita.
Jangan disusahkan lagi warga Malaysia dengan lambakan ini sehingga menggadai masa depan anak muda Malaysia. – 13 Februari, 2016.
* Penulis adalah ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda PKR.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments