rencana
Belia dan ganja – Abd Rahman Tamuri
Api kebakaran yang besar itu bermula kecilnya api. Tiada yang besar kecuali bermula dengan yang kecil. Begitulah ibarat yang akan berlaku jika saranan menjadi ganja sebagai barangan bukan terlarang di Malaysia seperti di negara TPPA lain.
Bermula dengan merokok di sekolah secara sembunyi-sembunyi, sudah bekerja ada duit lebih menagih ganja pula dan seterusnya menagih dadah. Umum ketahui dadah musuh negara nombor 1. Ia merosakkan masyarakat terutama golongan belia yang menjadi tonggak harapan negara pada masa depan.
Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia, Negeri Johor ingin menarik perhatian supaya membantah cadangan dan syor untuk "meringankan" hukuman bagi penghisap ganja serta tidak menganggap ganja sebagai barangan terlarang.
Ganja atau marijuana adalah barangan terlarang dan amat memudaratkan penggunanya jika diambil tanpa panduan doktor. Ganja atau marijuana (kanabis) adalah barangan terlarang di Malaysia sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Pindaan 1998.
Jika seseorang disabitkan kesalahan di bawah akta ini hukuman "paling ringan" adalah denda RM 5000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya. Namun hukuman mati mandatori jika disabitkan jika bersalah mengedar bahan terlarang ini seperti dalam Seksyen 39(B) akta yang sama.
Di samping ganja membawa ke arah masalah ketagihan, ganja juga memberi kesan buruk daripada aspek ekonomi dan sosial. Jika seorang belia terjebak dengan ganja disebabkan mudahnya untuk diperoleh, mereka terpaksa memperuntukkan jumlah duit yang banyak untuk mengatasi ketagihan mereka.
Jika mereka dibuang kerja akibat majikan tahu mereka menagih ganja, mereka tiada pendapatan. Mereka ada anak dan isteri yang perlu ditanggung dan keperluan lain untuk dibayar di samping perlu membeli ganja.
Daripada aspek pekerjaan pula, penagihan ganja akan menyebabkan kemerosotan kualiti kerja seseorang belia. Mereka akan selalu berhutang sana sini, lewat datang serta culas ketika bekerja, sukar mengawal emosi dan pertuturan dan sangat-sangat suka menipu dan memberikan alasan.
Menurut MyAADK , jumlah penagih dadah yang berada di agensi tersebut bagi 2014 ialah 21,777 orang dengan penagih ganja penyumbang ketiga besar iaitu seramai 1,919 orang. Umur mereka semuda 13 tahun sehingga 40 tahun. Golongan belia amat mudah terdedah penyalahgunaan ganja dan dadah seharusnya cadangan untuk tidak mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan ganja di kalangan belia sesuatu yang tidak wajar.
Sekali lagi saya ingin menyuarakan agar akta berkenaan dadah dan ganja ini diperhalusi untuk dan ditambah berat lagi hukumannya. Selain itu, seharusnya kita perkukuhkan institusi kekeluargaan agar golongan belia kita tidak terdedah terhadap bahaya ganja dan dadah.
Pendidikan agama serta penerapan jati diri terhadap golongan belia juga perlu diperkuat dan ditajamkan selaras dengan perkembangan zaman sejak mereka di rumah lagi. Pihak ibu bapa, guru, pensyarah serta masyarakat perlu mengambil sikap proaktif dan peka terhadap bahaya ganja dan dadah serta menjadi mata dan kepala pihak yang berwajib untuk membendung perkara ini. – 20 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments