rencana

Benarkah kita berlebihan doktor pelatih – Mohd Amirul Hamudin

Baru-baru ini timbul isu hospital kerajaan tidak dapat menampung pengambilan doktor pelatih dalam sebuah akhbar perdana. Cadangan yang diberi untuk mengatasi masalah ini ialah dengan membina lebih banyak hospital supaya dapat ditempatkan doktor pelatih di hospital baharu.

Cadangan ini ada benarnya. Tetapi izinkan saya mengajak pembaca untuk meneliti perkara lain seputar isu ini dengan lebih mendalam lagi.

Dalam tulisan tersebut ada dinyatakan negara kita menghasilkan graduan perubatan kira-kira 5,000 setahun (dalam dan luar negara). Tetapi, adakah ini jumlah yang begitu besar?

Bilangan graduan perubatan (yang merupakan bakal doktor pelatih) bertambah, tetapi kita perlu tahu jumlah pesakit kita turut bertambah setiap tahun secara eksponential. WHO menjangkakan pada 2030, bilangan pesakit diabetes Malaysia akan meningkat sebanyak 164% (rujuk CPG diabetes Malaysia).

Ini baru penyakit diabetes. Daripada diabetes ini dia akan menambahkan bebanan epidemiologi jabatan lain juga seperti ortopedik (diabetic foot ulcer), oftalmologi (diabetic retinopathy), perubatan (diabetic nephropathy), dan lain-lain. Malah tugas doktor pelatih sehinggalah ke peringkat atasan semakin bertambah dalam mendokumentasikan sejarah pesakit akibat pertambahan kes medikolegal.

Jika diteliti, ratio bilangan doktor kepada penduduk pada 2015 ialah 1:633. Sedangkan sasaran kita ialah 1 orang doktor kepada 400 penduduk. Malah, Sabah dan Sarawak lebih teruk lagi di mana ratio masing-masing ialah 1:1500 dan 1:1104. Jadi, adakah penghasilan graduan perubatan di negara kita benar-benar berlebihan?

Tidak.

Bayangkan entah bila kita mampu mencapai ratio yang dihajatkan jika pengambilan doktor pelatih dikurangkan atau tempoh menunggu semakin lama. Sekadar perbandingan, Cuba yang mempunyai ratio terbagus mempunyai seorang doktor untuk setiap 170 penduduknya. Mongolia yang mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia malah mempunyai 1 doktor untuk setiap 380 penduduknya.

Ada juga yang mengatakan bilangan doktor pelatih banyak di sesetengah hospital. Benar. Tetapi tidak semua hospital. Lebih teruk lagi, bilangan doktor pelatih terkadang tidak seimbang antara jabatan dan tidak berkadar dengan beban tugas jabatan masing-masing.

Masalah utama kita ialah kekurangan bajet dan dana untuk pembangunan kesihatan negara. Tahun ini, menyaksikan pengurangan peruntukan bajet untuk kebanyakan kementerian dan tidak terkecuali Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah melalui laman rasmi Facebooknya mengeluarkan kenyataan pada 26 Januari, diberi keadaan dan situasi yang ada sekarang, sistem kesihatan kita tidak dapat ditampung untuk memenuhi keperluan masa akan datang. Melainkan ada usaha yang serius untuk mengubahnya pada setiap peringkat.

Kita kekurangan hospital yang boleh melatih. Sebab itu terjadinya lambakan graduan perubatan yang tidak mampu diserap masuk. Itu pun syukur sahajalah pengambilan tidak dibekukan seperti kakitangan awam lain kerana masalah dana yang ada.

Bukan itu saja, sebenarnya kita juga kekurangan bajet untuk menggaji pakar, MO dan HO, apatah lagi untuk membeli peralatan lama yang sudah rosak di hospital sedia ada. Inikan pula hendak bina hospital yang boleh melatih doktor pasca siswazah. Mimpi sajalah dalam keadaan ekonomi sedia ada.

Tapi hendak buat macam mana, ekonomi juga sedang teruk dan kau doktor pelatih (ya, kau houseman) lagi mahu malas bekerja. Biarlah saya akhiri dengan kata-kata keramat untuk setiap doktor pelatih hadapi.

"Apa tidak cukup doktor? When I was a houseman, I took care of the whole hospital during on call, all by myself you know."

Saya lebih gemar dipandang sebagai seorang penulis atau bekas cikgu di 5 sekolah berbeza, meski mempunyai ijazah dalam bidang perubatan. – 16 Februari, 2016. 

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments