rencana

Berbaloikah perdebatan Zamihan-Asri? – Mujahid Yusof Rawa

Saya meneliti perkembangan balas membalas ustaz kontroversi Zamihan Mat Zian dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sehingga membawa kepada satu tarikh perdebatan secara bersemuka yang hingga kini belum mencapai persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

Pada mulanya saya tidak berminat untuk memberi pandangan kerana menganggap ini suasana keterbukaan ilmu yang saya perjuangkan selama ini, namun selepas melihat beberapa situasi dalam polemik ini saya berasa terpanggil untuk memberi posisi saya kepada perkembangan debat Zamihan lawan Asri.

Kedua-duanya perlu bertanya dengan jujur apakah hasil perdebatan ini membawa sesuatu yang produktif kepada suasana menyeluruh umat Islam hari ini dari sudut sosial, ekonomi dan politik khususnya di Malaysia?

Bukankah lebih utama didebatkan kebejatan kepimpinan negara daripada kalangan umat Islam yang terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilion ringgit serta tadbir urus kewangan yang culas dan curang lantas mengkhianati amanah umat.

Adakah mana-mana pihak beranggapan mereka ada jawapan kepada perdebatan ilmu teologi yang sejak zaman berzaman ulama silam tidak menemukan penyelesaian? Ia bukan masalah mencari jawapan hitam-putih kepada cabangnya masalah yang timbul tetapi melihat ia adalah perbezaan pandangan dalam lingkungan disiplin ilmu yang tidak boleh kita labelkan sebagai sesat atau menyeleweng.

Jadi apa gunanya berdebat pada isu cabang yang sememangnya secara lumrahnya pasti akan terdedah kepada pelbagai perspektif dan penilaian sedangkan sejak dari mula lagi ia diizinkan syariat kita.

Saya khuatir akan niat sesetengah pihak yang akan menghantar mesej yang silap apabila berusaha untuk memaksa hanya satu pandangan sahaja ke atas umat sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam sehingga membawa kepada kejumudan dan pembekuan perkembangan intelektual.

Adakah mana-mana pihak mahu ambil kesempatan untuk tujuan tersebut? Jika ada, kesannya kepada umat Islam Malaysia khususnya akan mengalami zaman kejumudan yang sama dan itu adalah perkara terakhir yang kita mahu lihat berlaku kepada umat Islam Malaysia.

Akhirnya tujuan debat untuk menang dalam perkara yang pada asalnya bukan keluar daripada persoalan garis aqidah tidak akan membawa ke mana-mana.

Menggunakan istilah Ahli Sunnah Wal Jemaah (ASWJ) untuk berlindung atas kebenaran adalah sesuatu yang dikesali kerana istilah ASWJ pada asalnya adalah pengkategorian utama kepada perincian permasalahan bagi membezakan antara pegangan Syiah dan lain-lain dengan fahaman asal ajaran Nabi Muhammad iaitu Sunnah, khususnya dalam bab Imamah dan kemudiannya berkembang kepada permasalahan aqidah dan fiqah.

Ia bukan pengkategorian yang digunakan antara pandangan berbeza sesama ASWJ. Saya suka kepada keterbukaan dan perbezaan pandangan namun saya juga perlu mengambil kira perdebatan ini berbanding dengan maslahat besar lain yang sepatutnya menjadi keutamaan para ulama kita hari ini termasuk Zamihan dan Asri. – 9 Februari, 2016.

* Datuk Mujahid Yusof Rawa ialah ahli Parlimen dan naib presiden Parti Amanah Negara.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments