rencana
Berhati-hati dengan projek bernafsu tinggi – Mahdzir Ibrahim
Projek hartanah Forest City yang baharu dirasmikan semalam dikatakan bakal mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035.
Jika dihitung bermula tahun 2016 ini, iaitu 19 tahun ke hadapan, purata bagi setahun peluang pekerjaan yang bakal wujud itu sebanyak 11,579 peluang.
Peluang ini dikatakan muncul dalam sektor industri dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan. Projek ini berkonsep atau bercirikan mesra alam.
Ini satu angka yang agak besar dan fakta yang menarik, yang seharusnya akan menggembirakan rakyat Johor.
Namun, pertama sekali kita wajar berhati-hati dengan ramalan angka ini kerana realitinya, belum tentu mengikut perkiraan yang dijangkakan.
Keadaan mata wang ringgit dan harga pasaran minyak mentah sedunia hari ini sudah menceritakan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.
Kedua, kita perlu melihat anatomi bagaimana projek-projek ini direncanakan dalam aspek proses dan perlaksanaannya termasuk dalam aspek pemantauannya.
Ramalan peluang kerja
Ramalan ini amat mudah dibuat kerana kebiasaan bagi setiap projek pembangunan yang dibuat, pastinya ia berdasarkan input dan output.
Contoh langsung yang sangat jelas iaitu, setiap premis bangunan atau premis fizikal (jalan atau taman), pastinya memerlukan penyelenggaraan. Maka peluang pekerjaan pertama itu muncul di sini.
Kita ambil contoh projek yang selesai dibangunkan. Pusat Janakuasa Tanjung Bin di Tanjung Piai. Antara banyak peluang pekerjaan yang wujud di situ, yang ditawarkan kepada buruh tempatan adalah pekerjaan dalam aspek pembersihan, yakni pekerjaan dalam kategori buruh kurang atau tidak mahir.
Begitu juga dengan kontraktor tempatan, peluang kerja atau tender yang wujud kebanyakannya dalam aspek keselamatan, pemantauan dan juga kebersihan. Yang mana, kerja-kerja ini bukan berasaskan kemahiran dan pengetahuan (teknologi).
Soalnya, daripada pengalaman ini, adakah prospek seperti ini yang dimaksudkan (akan wujud) peluang pekerjaan untuk warga tempatan dalam jumlah 220,000 peluang pekerjaan, dari 3 bidang utama itu?
Ini belum kita tinjau projek di Pengerang yang sedang berjalan. Setakat yang kita tahu, projek di Pengerang, banyak menggunakan tenaga kerja mahir (pakar) dari luar (yang mana ia tidak dapat dibekalkan tenaga tempatan), baik kontraktornya mahupun juruteranya.
Projek Forest City yang sedang berjalan ini juga menggunakan sumber tenaga daripada luar khususnya China termasuk sub kontraktor dan buruhnya.
Proses pelaksanaan projek pembangunan
Jika kita tinjau aspek perlaksanaan projek mega di Johor ini, ada beberapa perkara fundamental yang mendatangkan persoalan yang sehingga kini, masih tidak jelas kedudukannya.
Sebagai contoh, bagaimana Country Garden dipilih sebagai pemaju dalam projek Forest City ini? Adakah memang tidak perlu tender terbuka untuk projek seperti ini? Yang boleh disertai oleh pemaju-pemaju tempatan yang berkebolehan.
Begitu juga dengan proses penambakan laut yang luas itu. Bagaimana projek yang tidak wujud dalam perancangan (blue print) Wilayah Iskandar sebelumnya, tetapi hari ini ada. Bagaimana ia boleh berlaku sedemikian rupa?
Contoh-contoh ini mendorong satu persoalan, adakah kerajaan mengkaji sehalus-halus prospek dan kesan pelbagai aspek daripada projek ini?
Proses ini amat penting dalam apa jua jenis pembangunan yang melibatkan kos yang besar dan kesan jangka masa yang panjang khususnya yang melibatkan sosioekonomi rakyat tempatan.
Merobohkan sesuatu tidak sesukar membinanya, membina sesuatu tidak sesukar mengekalkannya. Maka kemapanan projek mega di Johor ini harus diberi perhatian yang lebih oleh semua pihak.
Berkaitan dengan projek di Wilayah Iskandar. Keghairahan projek perumahan di Wilayah Iskandar ini telah diberi amaran agar berhati-hati oleh sekumpulan penganalisis dari Maybank kemungkinan terdapat lebihan bekalan rumah yang akan memburukkan keadaan dan boleh berlaku perang harga hartanah dan perumahan di kawasan selatan Johor.
Ini tidak baik untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang di negeri Johor khususnya. Malah, semua projek ini dimonopoli oleh syarikat dari China. Keadaan di Selatan Johor menjadi sangat sukar dan terhad dalam persaingan ekonomi.
Landasan kereta api berkembar
Projek bernafsu tinggi ini juga menimbulkan banyak persoalan. Kontrak membuat landasan berkembar ini juga telah diberikan kepada syarikat China yang tidak pernah ada pengalaman atau reputasi membuat apa-apa projek pembinaan di Malaysia.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku tanpa ada tender terbuka? Apakah justifikasinya?
Kita juga tidak dibekalkan dengan maklumat adakah syarikat ini akan mengimport ribuan pekerja asing untuk bekerja di sini sepertimana Country Garden lakukan di Johor Baru, atau dengan menggunakan tenaga tempatan.
Jika projek berskala besar seperti ini dilaksanakan sepertimana Forest City dan Wilayah Iskandar, ianya amat tidak baik kepada kita semua. – 7 Mac, 2016.
* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments