rencana
Berhenti memusuhi perbezaan – Asrin Utong
Set pemikiran yang gemar berbalah, mengapikan sentimen dengan tuduhan, cacian, label melabel hingga berakhir kepada sebuah perpecahan sudah semakin galak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini.
negara multikultural dan pluraliti agama ini sering dihujani pelbagai isu yang kebanyakannya tidak ditangani dengan nurani yang terbuka serta kematangan, malah dijadikan bahan utama untuk meraih keuntungan samaada dalam hal politik mahupun agama.
Umat Islam khususnya di tanah air ini, segelintirnya sorot dalam menangani perbezaan yang jama'.
Jutaan persepsi dan tafsir yang variasi dijadikan bahan polemik.
Bahkan mematikan resam ta'addudi fikr (kepelbagaian pemikiran) yang sememangnya diraih Islam itu sendiri.
Kepelbagaian yang muncul tidak didepani bahkan dihalang untuk berbeza hingga melahirkan kelompok yang cuba untuk mendominasi akal untuk dihimpukan dalam satu idea. Ini masalah.
Bagaimana manusia yang memiliki deria tafsir yang aneka, cuba untuk dicantumkan dalam satu idea dan pemikiran?
Tuhan berfirman: Wahai umat manusia. Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. (Al Hujurat, 13)
Mengapa memusuhi perbezaan?
Resam dalam berpendapat, maka akan lahir pandangan yang ragam.
Sepatutnya, idea dan pandangan yang rencam ini menjadi rahmat penyatuan dalam usaha mengakses satu tamadun manusia yang sukses dan kritis.
Segelintir memusuhi perbezaan adalah kerana tidak menganggap perbezaan ataupun kepelbagaian ini sebagai satu ruh membangun umat.
Bahkan sarjana semisal Friedrich Hegel, seorang filasuf Jerman menggagaskan falsafah dialektika yang di antaranya berpandangan konflik akibat perbezaan yang berlaku, mampu menghasilkan idea yang lebih segar bugar.
Kurangnya medium wacana terbuka juga merupakan punca perbezaan menjadi musuh yang bersuluh.
Kekangan yang tidak terpecahkan mematikan interaksi yang sepatutnya dijalin atas nama ilmu dan kesepakatan.
Wacana, dialog, debat yang adapun, tidak memberi ruang kepada figura yang dianggap kontra dalam isu yang dibincangkan.
Wacana yang kritis sepatutnya memberi ruang dengan adil tanpa diskriminasi untuk dua pihak yang pro-kontra menyuarakan pandangan.
Tidak kiralah bermuara "kesesatan", kalau kalian benar, kenapa takut untuk dicabar?
Sebahagian aktivis, kerap mengambil jalan "selamat" untuk memusuhi pemikiran yang ragam, sedangkan mereka tidak mendasari dengan minda yang terbuka.
Berkata hukama manusia akan takut apa yang mereka tidak ketahui.
Budaya kritis dalam mengerumuni kepelbagaian dan tidak “critical-thinking” dalam menapis cakapan manusia, melahirkan banyak pembunuh perbezaan yang akhirnya bukan menjadi agen penyelamat dan pendamai bahkan menjadi ulat yang merosak.
Budaya mengadili ilmu dan menilai semakin rundum.
Walhal Tuhan berfirman: (Iaitu) mereka yang mendengar perkataan-perkataan, kemudian mereka mengikuti yang baik di antaranya (Az Zumar, 18).
Dalam ayat yang lain, Tuhan cuba membawa gambaran kepada mereka yang tidak mahu mendengar dan berfikir sejak di dunia,
Tuhan berfirman: Berkata (ahli neraka) itu, "kalaulah di dunia dahulu kami mendengar dan kami berfikir, nescaya kami tidak berada dalam neraka yang menyala-nyala" (Al Mulk, 10)
Khatimah
Sewajarnya, strata manusia, khsususnya rakyat Malaysia dan umat Islam, tidak mengambil sikap mutasyaddidun (sempit) dalam mendepani perbezaan.
Perbezaan seharusnya diurus dan dikendalikan dengan adil dan telus.
Bukannya dimatikan hingga menimbulkan sentimen yang tidak berkesudahan.
Kalangan agamawan, politikus tidak seharusnya memainkan isu untuk ditarikan dalam gelanggang yang menguntungkan puak masing-masing.
Kalau maksiat, korupsi, kezaliman, penindasan itu adalah signal kepada kejahilan dan kedangkalan sikap, maka perpecahan umat disebabkan gagalnya menguruskan perbezaan. – 19 Februari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments