rencana

Berhijab bukan untuk umat Islam saja – Asma Hamizah

H.I.J.A.B sering ditujukan kepada golongan Islam secara khususnya. Lima abjad ini pernah menjadi isu hangat di bibir masyarakat di mana umat Islam minoriti di situ sehingga bangkit seorang wanita bernama Nazma Khan meluruskan pemikiran orang ramai terhadap persepsi wanita yang berhijab yang akhirnya membawa kepada Hari Hijab Sedunia pada 1 Februari.

Makna Hijab dari sudut bahasanya penutup manakala secara istilahnya memetik daripada kata Abu Baqa’ Al-Hanafi, katanya setiap yang menutup perkara yang dituntut untuk ditutup atau menghalang perkara yang terlarang untuk digapai itu ialah Hijab.

Ironinya dalam konteks pemahaman Islam, Hijab lebih hampir maknanya kepada tatacara berpakaian yang sopan dan menepati garis panduan agama dan ianya bukan hanya merujuk kepada kerudung atau tudung yang sering dipakai oleh wanita Islam seperti yang didefinisikan sesetengah masyarakat Barat amnya.

Makanya, pemakaian Hijab bagi wanita Islam adalah satu kewajipan dan tuntutan agama yang dituntut untut diturut.

Kerana apa? Ibaratnya seperti pemakaian topi keledar bagi penunggang motosikal bukanlah satu peraturan yang menyekat kebebasan tetapi sebagai perlindungan dan penjagaan kepada penunggangnya.

Itulah perumpamaannya pemakaian hijab kepada wanita Islam, ia bukan sahaja simbol perisai kepada kita malah simbol ketinggian kualiti penjagaan seseorang wanita.

Justeru berhijab bukanlah sebagai lambang kejumudan atau perbezaan dan penindasan terhadap sesuatu kaum tetapi sebagai perisai perlindungan dan melambangkan kesopanan kepada si pemakai.

Hari Hijab Sedunia diangkat pada 1 Februari setiap tahun bukanlah hanya satu syiar untuk menjadikan manusia tertutup tetapi membuka mata dan meluruskan pandangan sesetengah masyarakat terhadap pemakaian berhijab serta sekali gus menyatupadukan kefahaman seluruh kaum wanita mengenai berhijab.

Sepertimana respons sebilangan wanita bukan Islam yang menyambut baik pemakaian berhijab menerusi YouTube: “See How You Look In Hijab”.

Berhijablah tidak kira siapa kita, beragama apa dan berasal mana kerana dengan berhijab lebih menyerlahkan keayuan seseorang wanita, menyerikan kecantikan yang ada dan sedia ada.

Jadilah kita wanita yang menutup pemakaian bukan tertutup pemikiran, bebas menuntut kebaikan bukan terbabas membuat tindakan. – 2 Februari, 2016.

* Asma Hamizah Mohamad Ghazali ialah mahasiswa Program Pengajian Akidah dan Agama serta penggerak dakwah dalam masyarakat majmuk Ikram Siswa Usim, Nilai.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments