rencana
Beza berpendidikan dan berpengajian tinggi – Radin Imaduddin Abdul Halim
Ada beberapa salah faham tentang makna pendidikan dan makna pengajian tinggi. Pendidikan bererti apabila suatu “makna” sampai ke jiwa.
Contoh mudah, apabila ditambah 2 epal kepada sebiji epal dalam sebuah bakul, bermakna terdapat 3 epal dalam bakul itu.
Contoh lain yang lebih filosofikal, apabila sesuatu jiwa memahami dan mengerti apabila suatu kezaliman berlaku, memberi makna terdapat keperluan tindakan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.
Pendidikan perlu dicari dan diusahakan dengan berguru. Ada guru berupa figura insan hebat, ada juga guru berupa pengalaman, ada juga guru berupa alam sekeliling. Namun, terdapat beza besar makna orang berpendidikan dan orang berpengajian tinggi. Orang berpengajian tinggi belum tentu lagi berpendidikan; begitu juga, orang berpendidikan, belum tentu lagi pernah ke pengajian tinggi.
Pokok pangkalnya terletak kepada kemenjadian insan itu. Namun, tidak dapat tidak, untuk menjadi pemimpin umat, perlu kepada orang berpendidikan. Ukuran pendidikan ialah mereka yang subscribe dengan tema “amar ma'ruf, dan nahi mungkar” dan “memberi manfaat kepada manusia lain”, serta tema lain yang dibawa para nabi dan rasul; yang maknanya boleh dicapai dalam kitab Al-Quran; dan kita semua tahu dalam Al-Quran, segala kisah berkisar tentang perlawanan antara kebenaran dan kebatilan, serta kita tahu para nabi di pihak mana.
Dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia, benar sekali kejayaan pada peringkat UPSR, LCE/SRP/PMR/PT3, SPM/HCE, STPM, STAM tidak semestinya membawa erti seseorang itu berpendidikan, kerana seperti dihujahkan di atas, ia hanya petunjuk bagi pihak otoriti untuk membawa seseorang itu ke peringkat pengajian lebih tinggi.
Kenapa ini menjadi indikatornya? Daripada aspek pensijilan, pencapaian ini boleh diukur secara empirikalnya atas faktor memerlukan disiplin ilmu bidang dan keilmuan yang tinggi.
Selain itu, pensijilan ini merupakan kunci kepada bidang teknikal dan profesional lebih tinggi dalam sistem pendidikan peringkat tertiari. Namun, perlu ditegaskan, sijil ini bukan kunci kepada sektor pekerjaan, mahupun keusahawanan, atau jaminan kekayaan.
Isunya, amat bahaya dalam komuniti, jika diberi gambaran menjadi pemimpin suatu umat boleh berlaku meskipun tidak ada credential atau kelayakan dalam pengajian tinggi; atau gambaran orang yang tidak punya disiplin ilmu boleh menjadi pemimpin kepada mereka yang punya disiplin ilmu.
Ini sekali gus merendahkan martabat keilmuan itu sendiri, serta mereka yang terlibat dalam bidang berkaitan epistimologi ilmu. Dengan kata lain, bidang Matematik, Sains Tulen, Sains Sosial, dan lain-lain bidang keilmuan yang berhierarki tidaklah sepenting mereka yang tidak punya kompetensi dalam mana-mana bidang sekalipun. Jangan sampai ada mind setting penguasaan politik itu lebih penting daripada nilai ilmu pengetahuan.
Maka, pendidik di sekolah dan di institut pendidikan tinggi perlu tekankan belajar bidang apa pun di sekolah bukan kerana mahu banyak A, mahu kaya, mahu jawatan dan pangkat dalam masyarakat, tetapi kerana ilmu itu sendiri.
Jika kejayaan diukur kepada menjadi pemimpin umat, biarlah mereka yang berilmu dan berpendidikan menjadi pemimpin umat. Walaupun tiada jaminan mereka yang berpengajian tinggi itu lebih berpendidikan, sekurang-kurangnya, kita tahu mereka ada disiplin tertentu dalam ilmu yang mereka jaga dan berjaya lalui, berbanding mereka yang terkandas pada peringkat rendah.
Dalam konteks Kedah yang baru menerima seorang menteri besar berlatar pendidikan sekadar SPM, kita akan jelas bukan isunya beliau tidak ke pengajian tinggi; tidak timbul soalan menghina kelayakan beliau.
Ini hanya persoalan mentaliti umat. Jika ke sekolah, tanyakan kepada murid, kenapa kamu bersekolah? Tanyakan ibu bapa mereka apa harapan hantar anak ke sekolah? Jangan sesekali ada mind setting:"Cukuplah belajar sampai SPM, dah boleh jadi MB." – 22 Februari, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments