rencana
Biarlah rakyat undi kita secara rela, bukan terpaksa – Ahmad Syukri Che Ab Razab
Saya terpanggil untuk memberi respon mengenai situasi semasa yang sedang melanda politik Malaysia khususnya mengenai pertelingkahan kecil yang berlaku antara PKR dan DAP.
Saya kira konflik ini lebih penting untuk disantuni dan diselesaikan Majlis Presiden Pakatan Harapan dengan segera agar ianya tidak membarah dan merebak sehingga membayangi lain-lain agenda rakyat yang masih terlalu banyak untuk diperjuangkan.
Saya tidak mahu menyentuh secara terperinci mengenai isu di Pulau Pinang yang mencetuskan polemik antara PKR dan DAP. Tetapi cukup untuk kita fahami rakyat hari ini sudah matang dalam menilai politik.
Rakyat bukan lagi memahami politik secara selapis seperti 10 atau 15 tahun dahulu, iaitu era segala khabar angin diterima bulat-bulat tanpa diteliti dan dikaji. Apakah kita masih meragui kebijaksanaan 52% rakyat yang menyebabkan Umno-Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan minoriti hari ini.
52% inilah rakyat yang saban hari cuba ditipu, disogok dengan politik wang dan dikaburkan dengan politik fitnah media arus perdana BN. 52% ini jugalah rakyat yang diugut, diancam, ditangkap, didakwa dan dizalimi BN. Apakah ini tidak cukup untuk membuktikan rakyat sudah jauh lebih matang dan bijak dalam memahami tanggungjawab terhadap negara?
Perbualan dengan beberapa orang pemandu teksi baru-baru ini memperkuatkan lagi keyakinan saya rakyat sudah bersedia untuk membuat perubahan menjelang Pilihan Raya Umun Ke-14 (PRU14) akan datang.
Tak perlu diceritakan lagi kepada mereka betapa pemerintahan BN khianat kepada rakyat. Tidak sempat untuk kita membuka mulut memulakan cerita, pemandu teksi itu terlebih dahulu meluahkan segala ketidakpuasan hati tanpa peduli penumpang mereka ini pro atau anti-BN.
Hutang 1MDB, skandal Tabung Haji, skandal Yapeim, GST, biasiswa Mara, kejatuhan nilai ringgit, pembuangan pekerja dan macam-macam lagi cerita yang diulas pemandu teksi dengan nada penuh kecewa dan gelisah. Malah secara jelas para pemandu teksi ini menyampaikan mesej agar rakyat sewajarnya berani membuat perubahan.
Apakah kesedaran rakyat ini bonus untuk pembangkang? Saya kira tidak. Kerana bonus merupakan hadiah atas kerja kuat dan konsisten, sedangkan jika disoroti kisah 4 tahun ke belakang, pembangkang diselangi dengan pelbagai polemik inter-pakatan sehingga menatijahkan terkuburnya Pakatan Rakyat.
Amat menyedihkan jika rakyat pada PRU 14 mengundi pembangkang kerana terpaksa, akibat tersepit dan tidak tahan lagi dengan kebobrokan pemerintahan Umno-BN, bukannya kerana mereka senang dan yakin dengan Pakatan Harapan.
Rakyat mahukan sebuah alternatif yang kukuh dan diyakini mampu mentadbir negara lebih baik daripada Umno-BN. Rakyat bukannya terlalu naïf untuk menganggap Pakatan Harapan tidak boleh berselisih pendapat, tetapi rakyat mahu melihat bagaimana Pakatan Harapan mengurus perbezaan pandangan.
Harapan saya agar Majlis Presiden Pakatan Harapan sentiasa aktif untuk segera menangani polemik picisan yang semestinya akan sentiasa berlaku.
Saya menaruh sepenuh kepercayaan Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah sandaran paling utama untuk pakatan pembangkang memperkukuh kembali kepercayaan dan sokongan rakyat. Mudah-mudahan, menjelang PRU 14 nanti, rakyat akan mengundi kita secara rela dan senang hati, bukannya kerana terpaksa kerana tiada pilihan lain. – 24 Februari, 2016.
* Penulis merupakan setiausaha pengelola Angkatan Muda Keadilan Malaysia.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments