rencana
Cabar anak muda, Zahid ada masalah 3D – Sheikh Omar Ali
Cabaran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada anak muda Malaysia agar bekerja dalam sektor yang disifatkan sebagai “Dirty-Difficult-Dangerous (3D)” atau kotor, sukar dan berbahaya hakikatnya mencerminkan sikap beliau yang “Dayus-Defensif-Dangkal”.
Zahid dayus apabila beliau lari daripada permasalahan sebenar seperti menyediakan peluang pekerjaan dengan penetapan gaji minima yang setimpal.
Beliau juga bersikap defensif semasa ucapannya di hadapan belia pada Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 di Shah Alam tempoh hari dengan terus mencabar anak muda.
Kononnya beliau boleh mengacah-acah anak muda untuk membenarkan tindakannya yang ingin membawa masuk 1.5 pekerja Bangladesh.
Zahid yang juga merupakan menteri dalam negeri saya anggap dangkal apabila dengan mudahnya memperlekehkan anak muda Malaysia sebagai seolah-olah golongan yang malas bekerja, tidak ada jati diri dan tidak berani untuk berusaha keras bagi mencari sesuap nasi untuk “survival” mereka.
Ibarat menuding jari ke arah orang lain, Zahid tidak perasan 4 jari menghala ke arah dirinya sendiri.
Pada saya, persoalan utama bukanlah tentang kesediaan anak muda untuk menceburi bidang pekerjaan di sektor 3D.
Sehingga kini pun jumlah anak muda yang melakukan kerja dalam sektor 3D mencecah puluhan ribu.
Namun persoalannya, apakah usaha yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah?
Adakah mereka boleh digajikan pada kadar setimpal dan sesuai untuk meneruskan “survival” hidup seharian?
Sebagai contoh, berapakah syarikat yang didakwa dan didenda Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kerana tidak menyediakan tempat pekerjaan yang menepati syarat keselamatan? Isu di sini ialah aspek keselamatan pekerja dalam sektor 3D.
Kita ambil pula contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sejak 2012, MPSP menjalankan dasar pengambilan pekerja separa mahir dan tidak mahir untuk kerja-kerja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan.
Gaji yang ditamatkan adalah pada kadar minimum RM1500. Ia tidaklah satu angka yang lumayan, tetapi cukup untuk menarik minat lebih kurang 2,000 pekerja tempatan. Pokoknya, kadar gaji yang berpatutan memainkan peranan besar.
Sekiranya, kerajaan menjalankan dasar yang sama, lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk orang tempatan khususnya anak muda dapat dijana.
Malaysia adalah negara untuk semua warganya tanpa mengira sama ada mereka berkelulusan Ijazah atau yang mahir berniaga sahaja.
Selagi rakyat kita mahu bekerja dan memiliki kemahiran tertentu, merekalah kelompok yang akan menerima kesan besar atas dasar pengambilan tenaga kerja asing ini.
Namun, persoalan ini hanya dapat dijawab sekiranya kerajaan amanah dan menguruskan kewangan negara dengan adil, tidak boros dan tidak tiris.
Walaupun begitu, saya berasa tidak pelik sama sekali dalam keadaan pelbagai skandal melibatkan pimpinan negara hari ini, kerajaan dengan mudah mengambil jalan pintas dengan membawa masuk tenaga pekerja asing. Ini bukan jalan penyelesaian yang tuntas. – 15 Februari, 2016.
* Sheikh Omar Ali ialah penolong setiausaha publisiti DAP Johor.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments