rencana

Cadangan agar PAS tukar presiden tepat – Mohd Sayuti Omar

Cadangan Datuk Husam Musa agar PAS menukar presiden parti itu daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah cadangan yang tepat, rasional dan memenuhi kehendak semasa.

Cadangan itu juga dianggap ikhlas untuk mengembalikan PAS menjadi sebuah parti yang dihormati dan disegani di mata umum seperti lebih sedekad lalu.

Tentunya cadangan itu bukan untuk merendah-rendahkan kepimpinan dan kebolehan Hadi sebagai pemimpin, tetapi dibuat demi mengekalkan keperkasaan PAS sebagai parti alternatif kepada Umno. Bukan bermakna Hadi tidak layak, tetapi masa yang diperuntukkan kepadanya untuk memimpin lebih satu dekad sudah mencukupi.

Husam membuat anologi PAS kini bukan lagi seekor singa gagah digeruni seperti dulu, tetapi merupakan seekor kucing yang tidak tahu ke mana hala tuju dan arah politiknya.

Anologi itu sesuatu yang sangat buruk kepada PAS sebenarnya, tetapi perlu diterima dengan tasamuh. Jadi, cadangan Husam itu perlu dikaji dan jangan melihat ia bersifat politikal.

Senario dan tribulasi politik yang semakin canggih sekarang ini tidak mampu dihadapi Hadi. Beliau banyak gagal atau pun tidak berdaya membaca peta dan perjalanan politik negara yang sangat rumit dan berbelit saat ini. Politik hari ini memerlukan pentafsiran dan penyelesaian yang bijak dan konkrit.

Gara-gara sikap atau modul politik yang diamalkan Hadi itu, menyebabkan PAS terkebelakang daripada segi orentasi politik berbanding dengan parti pembangkang lain yang semakin jauh dan galak ke depan.

Misalnya, penolakan Hadi kepada Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak jelas menunjukkan kedangkalan politik Hadi sebagai presiden.

Gerakan itu tidak diambil kesempatan Hadi bagi meletakkan Pas sebagai wadah kepercayaan rakyat. Sikap demikian adalah songsang dan tidak bijak politik.

Apa yang dikesalkan dalam masa sama masih mahu mempertahankan Najib. Mempertahankan Najib tidak menjadi masalah demi Melayu, tetapi yang menjadi persoalannya Najib masih lagi bertarik tali dengan projek ta'awun Pas. Kelicikan Najib ini seakan tidak terbaca oleh Hadi dan beliau tersihir dengan sesuatu kebaikan yang diharapkan tetapi ianya nihil (kosong).

Sudah banyak jaminan dan layanan istimewa Hadi berikan kepada Najib untuk kestabilan politik perdana menteri itu atas nama Melayu dan Islam. Namun tidak satu pun lagi Najib membalas budi baik yang dihulurkan itu.

Hadi ikhlas tetapi tidak di sebelah Najib. Tampak di sini yang menjadi hidung tak mancung dan pipi tersorong-sorong ialah PAS. Apakah Hadi kira cukup setakat melantik Datuk Haron Din sebagai kluster Majlis Perundangan Islam (MPI)? Rendah sangatkah nilai dan harga diri PAS?

Beberapa tindakan politik yang dilakukan Hadi tidak membawa kekuatan kepada PAS sebaliknya menjuruskannya ke lembah yang hina. Ini merugikan masa depan parti itu dan mengsia-siakan harapan yang diberikan rakyat.

Mensia-siakan peluang yang ada adalah satu "kebundakan" dan dosa sebenarnya. Tuhan pun melarang makhluknya berbuat sia-sia dan tidak mengambil peluang atas apa yang disediakan.

Misalnya sikap tidak konsisten Hadi yang bertentangan dengan prinsip dan tidak menepati bingkai politik yang disediakan almarhum Fadzil Mohd Noor dan Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang mengadakan hubungan baik dengan pembangkang tidak diterus dan direalisasikan Hadi.

Bahkan dalam keadaan tertentu beliau seakan membelakangkan persefahaman itu dan mahu membawa PAS ke zaman jahiliah siasah. Bukankah cara Hadi itu sebagai tidak bertanggungjawab?

Selain kelemahan dan fenomena itu banyak kelemahan lain yang membelit Hadi yang menyebabkan PAS seperti mana kata Husam, ia bukan seekor singa yang gagah lagi tetapi menjelma menjadi kucing mainan kepada Umno.

Maka, apabila ada cadangan agar PAS menyalin kepimpinan adalah satu idea yang baik yang perlu dipertimbangkang bukan sahaja pemimpin dan ahli, bahkan Hadi sendiri juga.

Beliau kena ikhlas dan menyedari akan kebolehan dan kelemahannya. Kita bercakap soal keikhlasan, soal akhlak, soal wala' tetapi kita sendiri "berjeluah" dengan selut dosa dan noda. Apakah kita hanya menolak munafik kepada orang lain tetapi munafik diri sendiri dikelek?

Berhubung dengan kegagalan dan ketidakupayaan Hadi meneruskan legasi politik ditinggalkan Fadzil dan Nik Aziz, ia menimbulkan pelbagai persoalan. Apakah ianya disengajakan atau pun memang Hadi tidak menyedari yang beliau sudah melarikan PAS jauh mengikut rentak dan nafsu pemain baharu?

Pertukaran pemegang jawatan dalam beberapa badan tertinggi PAS, yang beroperasi di Pejabat Agung seperti Pusat Kajian Strategi dan setiausaha agung dilihat merosakkan minda politik Hadi.

Kerana itu ada tuduhan mengatakan PAS kini sedang diresapi satu elemen yang mahu merosakkan parti itu dan sekaligus reputasi Hadi sebagai presiden. Elemen ini yang dikuasai entiti yang dibentuk dari luar khabarnya membuat perancangan rapi untuk menguasai unit-unit istimewa dalam PAS bagi membolehkan mereka mengembangkan idea dan mempengaruhi presiden mengikut kehendak minda serta menerima modul politik tajaan mereka.

Mereka membuat perancangan rapi dengan berkolaborasi dengan anak-anak muda dalam PAS yang berlatar belakang pendidikan agama untuk mengabui mata ahli bagi melindungi maksud dan motif sebenar mereka.

Dengan berlindung di sebalik anak-anak muda yang dianggap "Ansorollah" ini, maka golongan itu berjaya menyelitkan diri mereka dalam unit-unit khas yang bertindak menjadi penasihat dan mengawal politik presiden.

Anak-anak muda ini pula yang cetek dengan sepak terajang politik mudah terpengaruh dengan puji-pujian menerima idea dan kerangka elemen dan mempertahankan sehingga sanggup memfitnah dan memburukkan pihak lain.

Mereka pula tidak sedar kewujudan mereka yang sengaja dibentuk agar ianya dilihat kontras. Dalam kata lain elemen itu berjaya mempengaruhi dan mengubah keadaan dalam PAS.

Apakah ini benar dan apakah presiden menyedarinya? Kebenarannya ada, kalau dilihat kepada perubahan sikap dan pembawaan politik diamalkan Hadi yang kini ketara berbeza. Perubahan sikap radikalnya kepada Umno selama ini kepada liberal dalam menerima idealisme Umno-Melayu menjelaskan yang beliau sudah pun dapat dinuteraliskan golongan ini.

Sebab itulah mungkin Husam mencadangkan agar PAS diperkasakan dengan menukar presiden yang sudah berjaya dikaramkan golongan berkenaan. Dan orang yang dicadangkan untuk mengganti Hadi, Tuan Ibrahim Tuan Man adalah sepantasnya. Pertukaran atau cadangan Husam itu tentu sekali untuk menyelamatkan PAS.

Mengapa Tuan Ibrahim? Walaupun Tuan Ibrahim tampak lembut tetapi beliau memiliki waja dan teras politik tersendiri dalam jiwanya. Ini dapat dilihat kepada beberapa kenyataannya yang seakan lari atau tidak sejalur dengan presiden yang tampak lebih manja dengan Umno.

Misalnya sikap berlunak presiden dengan Umno kurang disenangi Tuan Ibrahim dengan menegaskan PAS tetap bersama pembangkang termasuk DAP. Beliau memperakui yang PAS masih mereka. Ruang dan pandangan politiknya lebih konsepsual berbanding dengan Hadi.

Begitu juga dalam membuat penilaian kepada pencapaian atau perubahan dalam PAS kini. Cadangan agar PAS menubuhkan kerajaan teknokrat bagi menzahirkan sebuah kerajaan yang profesional menunjukkan Tuan Ibrahim masih percaya kejayaan dan kelangsungan politik PAS harus bergabung dengan profesional.

Baginya politik atau negara tidak boleh ditadbirkan dengan ilmu agama sahaja yang cetek dengan aspek profesional lain. Ayat-ayat Al-Quran dan terjemahan hadis serta kelancaran dan kelunakan membaca salawat ke atas Nabi dan sahabat dan doa iftitah sebagai muqaddimah untuk memulakan syarahan bukan merupakan kunci utama untuk mentadbir dan mengurus negara.

Tuan Ibrahim tidak perlu berfikir panjang demi kebaikan dan keutuhan PAS sebagai parti alternatif di masa depan jika keadaan berkehendakkan demikian.

Masa masih ada untuk PAS mengolahkan dirinya sesuai dengan kehendak rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang. Tunggulah bas tiba, jangan menanti selepas bas berlalu. – msomelayu.blogspot.com, 9 Mac, 2016. 

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments