rencana

Catatan 14 Februari – Emmiza Hasmi

"Chor, jom pagi esok kita menyelam di loken." Itu pesanan yang saya terima menerusi kiriman whatsapp daripada seorang kawan pada petang Sabtu lalu.

Untuk pengetahuan saudara saudari, "menyelam" itu bukanlah membawa maksud melakukan aktiviti di dasar laut atau lombong tapi mencari pakaian atau kasut terpakai yang lebih dikenali dengan istilah "bundle" di kalangan para penggemarnya.

Saya meberikan persetujuan, janji dimeterai. Pagi Ahad, seawal jam 7 pagi, kami bergerak keluar ke Ipoh untuk "menyelam" di pasar karat atau lebih dikenali dengan panggilan pasar "Loken" yang juga salah satu tarikan di bandaraya Ipoh.

Seusai "menyelam" dalam jam 10.15 pagi saya dan rakan menyusuri jalan di depan tapak Loken, kelihatan hampir ratusan warga asing mula berkumpul di sebuah premis tukaran mata wang, ada juga kedai menjual barang keperluan yang dibawa masuk dari negara asal warga asing tersebut.

Dari sana kami berjalan kaki menuju ke sebuah kompleks perniagaan depan pasar besar Ipoh, walaupun baru 10.30 pagi, puluhan lagi warga asing sudah menanti kedai menjual telefon bimbit di kompleks itu dibuka.

Kami terus berjalan hingga ke sebuah lagi kompleks di sebelah tapak Loken, pemandangannya sama seperti di 2 tempat tadi. Ada yang berjalan sambil membawa sejambak bunga ros, ya kebetulan hari itu adalah Hari Kekasih.

Perjalanan kami diteruskan ke sebuah medan selera yang terkenal dengan popia dan ais kacang sedap, jumlah warga asing berpelesiran di sana tidak kurang ramainya.

Di lorong belakang sebuah rumah tumpangan kelihatan kumpulan kecil warga asing bersilih ganti turun dan naik premis itu untuk mencari "kenikmatan dunia".

Kami berhenti untuk menunaikan solat zohor di sebuah masjid tidak jauh pasar besar Ipoh, sebaik usai solat berjemaah, bila kami bersalam di kiri kanan kami juga warga asing.

Sebelum pulang , kami singgah makan tengah hari di sebuah kedai dan seperti biasa, tukang ambil order juga warga negara asing, lantas timbul persoalan teman saya: "Kalau tambah dengan 1.5 juta yang nak datang berperingkat selepas ini berapa ramai sebenarnya dema di negara ini?". – 16 Februari, 2016. 

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments