rencana

Deklarasi Rakyat atau agenda Dr Mahathir? – Anuar Mohd Nor

Sebaik sahaja Deklarasi Rakyat ditandatangani – reaksi berbeza timbul di kalangan rakyat dan perbalahan pendapat antara mereka yang mempunyai aliran politik yang berbeza.

Persoalan mula timbul, kenapa perlu menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu agenda yang  diperjuangkan Dr Mahathir sendiri. Sedangkan matlamat asal pembangkang jauh lebih besar, untuk mencantas Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada terus memerintah negara.

Apa besarnya agenda Selamatkan Malaysia dengan hanya menentang Najib berbanding dengan menjatuhkan Umno dan BN – yang selama ini dilihat bermasalah dengan kepimpinan yang hanya mementingkan politik sendiri serta terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah, kegagalan pentadbiran dan menindas rakyat.

Dalam masa yang sama, persoalan kononnya perlu mengubah sistem dalam negara ini juga dipersoalkan. Sistem perlu dirombak dan rombakan itu perlu dan langkah awal untuknya adalah memastikan Najib tumbang.

Kepimpinan pembangkang terjebak dalam pemikiran jatuhkan Najib dan meletakkan ia sebagai prioriti sedangkan perubahan sistem sebenarnya tertakluk kepada pengemudi sistem yang ada sekarang ini, iaitu kerajaan BN dan Umno.

Menjatuhkan Najib bagi pembangkang dan menaikkan BN dan Umno bukan 1 agenda yang konklusif, kata mereka lagi.

Melihatkan reaksi beberapa kenyataan dalam media sosial – ahli Umno sendiri melihat gabungan Dr Mahathir dan pembangkang sebagai gabungan untuk memukul Najib dan sekali gus menjadi langkah memukul Umno.

Dalam beberapa kenyataan yang ditulis setakat ini, selama 6 perdana menteri, Umno diajar menolak DAP sebagai parti “cauvinis” Cina.  Tetapi, ketika ini beberapa bekas kepimpinan tertinggi Umno  termasuklah mantan perdana menteri Malaysia dan beberapa ahli Umno mengambil langkah bekerjasama dengan DAP untuk menghentak Najib.  

Mereka menyatakan kekesalan atas tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan DAP – seolah-olah satu usaha terdesak.

Kata mereka, kalau Dr Mahathir menyerang Najib sekali pun kami boleh terima, tetapi bersatu dengan gerakan pembangkang khususnya DAP adalah sesuatu yang mengecewakan dan akan merapatkan kembali saf Umno khususnya bagi menentang gerakan yang tidak dikira gerakan rakyat dan deklarasi yang tidak dianggap deklarasi rakyat.

Deklarasi yang ditandatangani juga gagal disokong keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar – sebagai wakil berpengaruh dalam gerakan reformasi cetusan Anwar Ibrahim dan kepimpinan PKR – tidak hadir dalam Deklarasi Rakyat.

Nurul Izzah yang sebelum ini dijangka akan menghadiri deklarasi itu pada saat-saat terakhir menarik diri. Langkah ini jelas menggambarkan Anwar tidak memberi restu kepada keluarganya untuk terus bersekongkol dengan Mahathir lantas sokongan dalam PKR terhadap deklarasi itu hanya terpalit kepada penyokong Datuk Seri Azmin Ali.

Ini menunjukkan satu perpecahan sokongan kepada deklarasi tersebut yang mana menunjukkan ada kumpulan pembangkang terpengaruh dengan kebesaran sesuatu isu yang dibesarkan Dr Mahathir. Dalam masa yang sama, mengambil langkah yang tidak membaca perencanaan seterusnya dalam langkah dan arah tuju selepas deklarasi tersebut.

Deklarasi Rakyat yang dikatakan akan memberi kesan kepada Najib – tidak menampakkan kesan terus kepada Najib melainkan timbul pula gerakan Umno menyokong Najib dengan lebih kuat lagi.

Media sosial hari ini menunjukkan deklarasi bahagian dalam Umno yang menolak sebarang tindakan untuk bersepakat dengan DAP. Isu ini di jaja sebagai gerakan mencabar Melayu, walaupun kalua diteliti ianya tidak benar.

Adakah Deklarasi Rakyat Mahathir satu kejayaan?

Asasnya bagi Dr Mahathir, deklarasi itu adalah satu kejayaan besar untuk beliau. Apatah lagi melihat mereka yang hadir memberi sokongan, melupakan sengketa bersama sewaktu beliau memerintah dahulu.

Tuduhan mereka yang bernama besar dalam pembangkang dan NGO terhadap kezaliman Mahathir seakan dicairkan dengan perbuatan Najib dan menjatuhkan Najib adalah satu usaha menyelamatkan Malaysia.

Sekiranya Berjaya, yang akan naik adalah dari Umno juga, dikira pulih daripada kepimpinan Najib sebagaimana Umno dikira pulih selepas tindakan Dr Mahathir meletak jawatan.

Nama besar pembangkang dan NGO yang menganggap jatuhkan Najib adalah 1 usaha menyelamatkan Malaysia sebenarnya mengambil langkah ke belakang.

Agenda yang diberi keutamaan adalah mustahak buat Dr Mahathir dan kepimpinan Umno yang dipecat. Tetapi tidak besar untuk pembangkang dan NGO, yang sepatutnya meletakkan agenda menyelamatkan Malaysia dengan mengubah pemerintah yakni BN dan Umno yang dikatakan sudah sekian lama mencabuli hak rakyat.

Pembangkang yang meraih sokongan undi popular tidak sepatutnya tunduk kepada Dr Mahathir.

Amat sesuai melihat ke arah mana Deklarasi Rakyat ini dibawa. Adakah ini akan berjaya menjatuhkan Najib atau sebaliknya hanya akan mengukuhkan Umno dan BN apabila ia dikatakan sebagai gerakan DAP yang selama ini dianggap sebagai musuh besar Umno/Melayu.

Kita tidak mempersoalkan kehendak kumpulan ini mahu menjatuhkan Najib. Benar, baik pembangkang mahupun Umno ada yang merasakan Najib adalah punca Malaysia berada dalam keadaan kegawatan politik, ekonomi dan social. Tetapi langkah Deklarasi Rakyat hanya menunjukkan betapa ceteknya perencanaan dalam mencabar kuasa. 

Rumusan yang dibuat adalah, ada pendapat dari pembangkang yang menyatakan kesungguhan menutup mata atas kezaliman sewaktu pemerintahan Dr Mahathir tersasar. Kerana dengan kebesaran Dr Mahathir membawa isu itu lebih kecil berbanding dengan menjatuhkan Umno dan BN dan agenda Dr Mahathir pula yang diutamakan.

Ada pendapat dari Umno pula mengatakan tindakan Dr Mahathir itu memberi keuntungan pada Najib . Kerana kesatuan dengan DAP adalah tidak wajar dan tidak boleh dilakukan sama sekali. Ini akan digunakan mereka sebagai langkah menyatukan Umno.

Ada juga yang berpendapat tindakan Dr Mahathir sekiranya dapat menjatuhkan Najib akan hanya memberi ruang kepada Dr Mahathir semula  untuk menentukan arah politik dan pentadbiran negara.

Tidak kurang, ada juga yang mengatakan pembangkang tertipu kerana ini hanya akan mengukuhkan BN dan Umno.

Ada juga yang mengatakan, rakyat sudah memberikan 52% undi popular kepada pembangkang. Kenapa perlu lagi Dr Mahathir?

Akhirnya rakyat akan membuat keputusan dan tidak seperti segelintir pihak yang mengatakan hadir atas kapasiti sendiri tetapi bersandar kepada sokongan ahli parti, parti serta institusi yang disertai. – 6 Mac, 2016.

 * Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments