rencana
Deklarasi Rakyat Dr Mahathir dan kenangan bersama Almarhum Fadzil Noor – Syed Azman Syed Ahmad
Tidak payah bagi saya membuat keputusan untuk menerima jemputan dari bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi sama-sama hadir di majlis menandatangani “Deklarasi Rakyat” bagi menyelamatkan negara yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya beberapa hari yang lepas.
Sewaktu saya menjadi pensyarah Universiti Malaya hampir 20 tahun yang lalu, di dalam penulisan akademik, saya sering mengkritik polisi dan gaya kepimpinan Dr Mahathir.
Begitu juga sewaktu menjadi ahli Parlimen, saya secara terbuka mengkritik polisi serta tindakan kejam beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Imbauan sejarah pada 2 September 1998, sebaik saja Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir sendiri, saya menerima panggilan telefon dari Almarhum presiden PAS Datuk Fadzil Noor untuk menemani beliau berkunjung ke rumah Anwar di Bukit Damansara.
Saya tidak teragak-agak bagi menemani Almarhum yang datang dari Alor Star dengan menaiki pesawat dan hanya berbekalkan sehelai pakaian yang disimpan di dalam sebuah beg plastik murah yang dibawa dengan tangan.
Di kediaman Bukit Damansara itulah saya menjadi saksi melihat dengan sendiri Almarhum membuktikan kematangan politik beliau dengan mengambil keputusan untuk bersama di dalam sidang media Anwar dan di depan ratusan pemberita dari dalam dan luar negara, beliau secara terbuka menyatakan sokongan dan simpati kepada Anwar yang dipecat ketika itu.
Tidak sedikit yang menyanggah langkah yang diambil Almarhum pada waktu itu kerana Anwar dianggap ramai kalangan pimpinan dan pengikut PAS pada waktu itu sebagai ‘pengkhianat’ dan musuh utama PAS yang merosakkan gerakan Islam.
Ternyata keputusan politik Almarhum yang jelas tanpa hujah yang bersifat U-turn serta berbelit-belit, menghasilkan “kejayaan politik” kepada PAS.
Beliau sebagai presiden PAS berjaya meletakkan dirinya bersama-sama anak-anak muda arus “reformasi” sehingga mengugat pemerintahan Dr Mahathir.
Beliau juga bersama-sama kepimpinan NGO lain menubuhkan GERAK dan berjaya mengembelingkan kekuatan reformasi rakyat Malaysia bagi menolak kerajaan Umno/Barisan Nasional.
PAS menang besar dalam pilihan raya umum 1999 dengan mempertahankan negeri Kelantan dengan lebih bergaya serta berjaya merampas negeri Terengganu setelah hampir 40 tahun diperintah Umno.
Seperti kata pepatah Inggeris; “the rest is history" (yang berlaku selepasnya sudah diketahui umum).
Kehadiran saya bersama rakan-rakan dari masyarakat sivil, parti politik dan individu-individu termasuk Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Ambiga, Maria Chin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tun Ling Leong Sik, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan lain-lain adalah untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama bagi menyelamatkan negara yang sedang parah berdepan “krisis keyakinan” yang boleh menghancurkan negara.
Dekralasi Rakyat yang ditandatangai bersama ini pula merupakan suatu sejarah baru politik negara di mana pimpinan politik tanpa mengira fahaman, kaum dan agama serta pimpinan masyarakat sivil buat pertama kalinya bergabung untuk menuntut perletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri Malaysia.
Beliau ternyata gagal mengurus dan mentadbir negara dengan baik.
Deklarasi Rakyat ini membuka jalan kepada mereformasikan seluruh institusi yang hampir runtuh demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman bagi memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integriti institusi-institusi nasional.
Yang lebih penting tuntutan peletakan jawatan perdana menteri ini bukanlah peralihan kuasa seseorang individu semata-mata.
Ia meliputi tuntutan perubahan menyeluruh yang juga melibatkan reformasi institusi utama dalam negara yang kini pincang.
Ia bukan untuk mengheret negara ke arah anarki yang merosakkan kestabilan politik negara, ia juga bukan untuk menjahanamkan ekonomi negara dan jauh sekali bukan untuk menyusahkan rakyat!
Sudah sampai masanya sentimen poltik sempit politik “holier-than-thou” (yang merasakan diri mereka lebih bermoral dan beragama dari yang lain) mesti diketepikan semua pihak bagi menyelamatkan negara.
Pimpinan politik dari semua parti pula mesti lebih matang menentukan hala tuju negara dengan meletakkan diri mereka sebagai “negarawan” yang sanggup menjadi benteng bagi menyelamatkan negara dari kancah kehancuran yang berterusan ini. – 6 Mac, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments