rencana
Deklarasi Rakyat, takkan Melayu hilang kuasa politik – Jimmy Shibari
Sejak dulu lagi kelihatannya bangsa Melayu ini dirundung ketakutan akan kehilangan. Takut hilang identiti. Takut hilang jati diri. Takut hilang ekonomi. Takut hilang budaya. Takut hilang bahasa. Takut hilang agama. Takut hilang bangsa dan bermacam lagi ketakutan yang lain.
Tapi dewasa ini ketakutan lebih ketara sekali ialah takut hilang kuasa politik. Mungkin hanya ada satu bangsa saja dalam dunia ini yang punya ungkapan:"Takkan Melayu hilang di dunia".
Menurut sejarah dikatakan ungkapan legenda ini muncul daripada mulut laksamana Melayu yang terbilang iaitu, Hang Tuah. Tetapi bila, di mana dan dalam situasi apa ungkapan itu disebut tidaklah pula diketahui.
Ungkapan ini boleh ditafsirkan sebagai manifestasi ketakutan akan kehilangan. Kerana itu ia diungkapkan dengan sebegitu rupa. Ketakutan akan kehilangan kuasa politik ini secara umumnya timbul apabila terjadinya krisis, konflik dan perpecahan dalam masyarakat Melayu itu sendiri.
Dan sekali lagi manifestasi ketakutan kehilangan kuasa politik ini muncul kembali dengan lebih menonjol di psikik Melayu dalam krisis terbaru politik Malaysia apabila Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno dan melancarkan Deklarasi Rakyat 2016, pada 4 Mac yang lepas.
Ini boleh dilihat daripada respons yang diberikan khususnya penulis di blog pro Umno yang rata-ratanya bertemakan takut Melayu hilang kuasa politik.
Apa yang lebih menarik ialah ketakutan tentang Melayu hilang kuasa politik ini biasanya akan dikaitkan dengan bukan Melayu, khususnya Cina yang diperlihatkan sebagai suatu komuniti yang dominan dan agresif dalam penguasaan ekonomi negara.
Kalau Melayu hilang kuasa politiknya, Cina akan lebih mendominasi Malaysia dan kedudukan ekonomi orang Melayu akan menjadi lebih teruk lagi. Melayu akan merempat di bumi sendiri. Bangsa Melayu akan terpinggir, bertambah miskin dan hilang dari tanah airnya sendiri. Begitulah antara hujah yang dikemukakan.
Tapi hujah ini tidak berhenti setakat itu. Ia disambung dengan propaganda untuk memastikan Melayu tidak hilang maka seluruh sokongan dan dukungan orang Melayu wajib diberikan kepada Najib-Rosmah.
Kehadiran Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP lain bersama Dr Mahathir di Majlis Deklarasi Rakyat 2016 itu dieksploitasi sepenuhnya beberapa pemimpin Umno dan penyokong Najib-Rosmah.
Mereka menyatakan Deklarasi Rakyat 2016 itu usaha untuk melemahkan kuasa politik Melayu dan memecahbelahkan kesatuan orang Melayu kerana pemimpin DAP (baca: Cina) terlibat dengannya. Maka kekesalan, cemuhan dan kutukan pun bertalu-talu dilontarkan kepada Dr Mahathir kerana bersekongkol dengan Lim Kit Siang, pemimpin DAP yang dituduh sebagai cauvinis, anti Melayu dan tidak boleh dipercayai itu.
Dihujahkan lagi Melayu akan hilang kuasa politik jika orang Melayu menyokong usaha Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib-Rosmah. Persekongkolan antara Dr Mahathir dan Lim Kit Siang dipropagandakan sebagai suatu pengkhianatan kepada bangsa Melayu.
Di sebalik hujah ini ialah suatu bentuk eksploitasi yang licik ke atas psikik ketakutan akan kehilangan kuasa politik yang wujud dalam fikiran ramai orang Melayu.
Ketakutan akan kehilangan kuasa politik ini dibalut dan dibungkus dengan nama Melayu. Nama Melayu dipergunakan untuk melahirkan dan menambah ketakutan kolektif orang Melayu dengan memunculkan momok tentang Cina.
Walhal yang sebenarnya ditakuti bukanlah kehilangan kuasa politik orang Melayu, melainkan kehilangan kuasa politik Najib-Rosmah serta pemimpin Umno sekutu mereka.
Tanpa kuasa politik Najib-Rosmah tiadalah lagi sekutu mereka dalam Umno ini akan menerima habuan kedudukan kuasa, projek dan kontrak. Justeru itu, Najib-Rosmah perlu dipertahankan atas nama Melayu.
Begitulah nama Melayu secara terang-terang dilacurkan untuk mempertahankan kepentingan kuasa Najib-Rosmah dan sesetengah pemimpin Umno yang oportunis.
Sebenarnya kalau diteliti dengan kritis, ketakutan akan kehilangan kuasa politik Melayu ini adalah suatu ketakutan yang tidak munasabah sama sekali. Kalau Najib-Rosmah jatuh, bukan kuasa politik Melayu yang hilang tetapi kuasa politik Najib-Rosmah sendiri hilang.
Malahan takkan mungkin kuasa politik Melayu hilang kerana teras politik negara ini adalah Melayu baik dari sudut sejarahnya, budayanya, demografinya, mahu pun pegangan institusi kuasa dan penguatkuasaan yang kepimpinannya dipegang ramai orang Melayu.
Begitu juga dengan lembaga tertinggi yang memayungi negara kita iaitu Perlembagaan Persekutuan di mana perkara melibatkan kepentingan Melayu, Islam dan bumiputera lain tidak boleh dipinda melainkan dengan mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen dan juga persetujuan Majlis Raja-raja Melayu.
Justeru, adalah sangat tidak munasabah jika kejatuhan Najib-Rosmah disamakan dengan kehilangan kuasa politik dan kepentingan Melayu.
Lagi pula, politik Melayu tidak hanya monopoli Najib-Rosmah serta pemimpin Umno yang menyokong beliau semata-mata. Mereka ini tidak mewakili keseluruhan orang Melayu.
Politik Melayu turut diwakili oleh pemimpin Melayu dalam PKR dan PAS misalnya, serta pemimpin pertubuhan NGO Melayu dan Islam yang ada di seluruh Malaysia pada hari ini. Survival orang Melayu tidak terletak pada Najib-Rosmah dan sekutunya.
Malahan Najib-Rosmah dan sekutunya inilah yang sebenarnya merosakkan dan membodohkan orang Melayu. Najib-Rosmah dan pemimpin Umno yang menyokong mereka mengeksploitasi sentimen kemelayuan untuk menimbulkan rasa takut dan tidak percaya kepada bukan Melayu, khususnya kepada orang Cina.
Momok orang Cina akan merampas kuasa politik negara Malaysia sering disebarkan mereka untuk menakut-nakutkan orang Melayu.
Ketika momok Cina ini disebarkan, pada masa yang sama mereka turut menjahanamkan negara kita dengan tanggungan hutang berbilion ringgit melalui kegagalan 1MDB, rasuah dan korupsi yang segala macam, nilai ringgit yang semakin menjunam jatuh serta skandal wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib.
Dan sampai sekarang masih tiada akauntabiliti dan ketelusan tentang ke mana duit RM2.6 bilion itu disalurkan. Yang jelasnya duit itu tidak disalurkan kepada orang Melayu tetapi ke tembolok sesetengah pemimpin Umno untuk memastikan Najib terus berkuasa. Manakala kita rakyat disuruh membuat 2 kerja dan makan kangkung.
Menyokong Deklarasi Rakyat 2016 dan terlibat dengan gerakan untuk menjatuhkan Najib-Rosmah tak akan menyebabkan kuasa politik Melayu hilang. Yang hanya akan hilang hanyalah kuasa politik Najib-Rosmah.
Malah maruah dan harga diri Malaysia di peringkat antarabangsa dan kepentingan Malaysia yang di dalamnya terkandung kepentingan Melayu dan bumiputera serta kaum-kaum lain akan lebih selamat dan terjamin tanpa Najib-Rosmah dan sekutu-sekutunya. – 10 Mac, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments