rencana
Di mana suara aktivis mahasiswa dalam bidang yang diceburi? – Syuaib Supani
Tiga perkara utama yang perlu diambil kira dalam visi kemahasiswaan pada hemat saya ialah mahasiswa sebagai pemimpin dalam masyarakat madani, mahasiswa sebagai modal insan dalam pembangunan negara dan mahasiswa sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.
Justeru, elemen-elemen seperti keberkesanan sistem pendidikan dan sokongan kewangan pengajian, keberdayaan dan kebolehpasaran, pemposisian strategik untuk menyumbang kepada Negara dan elemen lainnya merupakan faktor penyumbang kepada pembentukan generasi mahasiswa yang berkualiti.
Ketiga-tiga visi kemahasiswaan tersebut menyaksikan pelaburan negara dalam pembinaan mahasiswa tidak boleh dikesampingkan. Malah, kesilapan pengabaian terhadap aspek ini membawa risiko kepada masa depan negara untuk dipacu dengan lebih baik.
Perkara ini kita dapat lihat menerusi kritikan dan penambahbaikan terhadap analisis bajet tahunan negara berkaitan manfaat kepada mahasiswa dan institusi pengajian tinggi pada setiap tahun, peranan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang diwujudkan kembali, rancangan-rancangan pendidikan negara dan pelbagai lagi inisiatif, instrumen dan institusi yang diwujudkan dan dilaksanakan.
Dalam pada itu, kita juga boleh membaca dan menghayati kisah perjuangan aktivis mahasiswa masa lalu dan hari ini yang banyak berjasa dalam memartabatkan serta menjuarai hak mahasiswa dan masyarakat.
Dalam rentetan ini, mahasiswa berjaya merealisasikan ketiga-tiga visi ini sesuai dengan keperluan perkembangan negara ketika itu, antara lain sebagai timbang tara (check and balance) kepada pentadbiran negara serta memperjuangkan suara mahasiswa dan rakyat sebagai alternatif tambahan kepada politikus pembangkang yang turut sama memainkan peranannya walaupun dalam jumlah kerusi yang sangat kecil.
Graduan-graduan mahasiswa tersebut turut akhirnya mengisi posisi penting dalam pentadbiran dan kepimpinan negara saat ini, selain merintis dan menggerakkan pembangunan negara di posisi masing-masing.
Saat ini, jika kita duduk dan koreksi semula, bagaimana perkembangan aktivisme mahasiswa dalam ketiga-tiga visi kemahasiswaan ini seharusnya diselarikan dengan perkembangan negara saat ini?
Hari ini
Satu perkembangan positif dalam arena politik negara hari ini ialah kekuatan parti pembangkang yang setanding dengan parti pemerintah sedia ada. Dengan itu, timbang tara menjadi jauh lebih baik, kuat dan didengari.
Parti pemerintah juga terpaksa menjadi lebih kompetitif bagi terus mengekalkan sokongan rakyat terhadapnya hinggakan demokrasi negara kian sihat.
Dalam sudut lain pula, jumlah mahasiswa dalam pelbagai bidang yang semakin melebar dan mendalam kian bertambah sehingga berlaku lambakan graduan yang menganggur.
Sedangkan bidang yang diceburi mahasiswa ini adalah kunci kepada memacu pembangunan negara, sekaligus menuntut penglibatan mahasiswa untuk terus mendalami dan mengembangkan bidang mereka.
Ataukah perkara seumpama ini hanya baru disedari aktivis mahasiswa menjelang latihan industri atau saat bergraduasi?
Kita tidak nafikan kemandirian mahasiswa dalam mewujudkan pekerjaan itu adalah kualiti yang sangat baik namun alangkah ruginya pekerjaan yang mampu mahasiswa wujudkan khususnya dalam mengembangkan bidang yang diceburi adalah terhad tanpa adanya campur tangan kerajaan dalam mewujudkan inisiatif dan institusi dalam kajian dan seumpamanya.
Sebagai contoh, kita mempunyai ramai graduan bidang sains dan teknologi namun mereka akhirnya terpaksa menyumbang atau terjun ke dalam bidang lain kerana kurangnya platform dalam menyambung bidang mereka serta desakan ekonomi.
Ilmu dan kemahiran sains mereka dibazirkan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan memperuntukkan biasiswa kepada mereka untuk menguasai bidang tersebut.
Betapa banyak bidang penting yang mahasiswa terpaksa keluhkan sebagai ‘Malaysia masih terkebelakang dalam kajian bidang ini, justeru kita kekurangan prospek dan fasiliti’.
Desakan ekonomi turut menyebabkan mahasiswa terpaksa berminda karier sara hidup berbanding karier pengembangan bidang diceburi.
Suara aktivis mahasiswa
Dalam bagusnya kerancakan aktivis mahasiswa membawa suara mahasiswa dan rakyat sehinggalah kepada berpartisipasi dalam arena politik nasional, kita menyaksikan banyak aspek seumpama ini yang berada seputar kemahasiswaan kurang dijuarai aktivis mahasiswa dalam konteks keperluan masa kini.
Sejauh mana aktivis mahasiswa hari ini menguasai bidang yang diceburi untuk menjuarai bidang tersebut dalam pembangunan negara, di samping turut turun padang menyuarakan isu negara?
Sejauh mana pula aktivis mahasiswa mengerahkan mahasiswa massa agar menguasai bidang yang diceburi? Ataukah mahasiswa selesa dengan penyelesaian tugasan saat akhir dan gred cukup makan, atas alasan menteri yang cemerlang akademik juga mengeluarkan kenyataan kurang bijak?
Sejauh mana mereka juga memperjuangkan hak mahasiswa dari segi infrastruktur dan sokongan negara terhadap perkembangan pelbagai bidang yang diceburi?
Jika infrastruktur dan sokongan itu sedia ada, di mana peranan aktivis mahasiswa dalam mengerahkan mahasiswa memanfaatkannya?
Ataukah mahasiswa melihat aktivisme mahasiswa itu hanya dalam bidang populis seperti politik dan sosial semata-mata?
Benarkah penguasaan bidang serta kemahiran insaniah mahasiswa ijazah dasar aktivis masa lalu hanya setaraf graduan sarjana hari ini berikutan perkembangan ilmu dan teknologi?
Sejauh mana semangat idea dan inovasi mahasiswa dicetuskan dan disumbangkan dalam bidang masing-masing sejak dalam usia mahasiswa hingga akhirnya dapat dimanfaatkan negara?
Justeru masih relevenkah sejarah romantis gerakan mahasiswa masa lalu diulang-ulang dan diguna pakai hari ini (tanpa menafikan sumbangan besar mereka dahulu)?
Sejauh mana aktivis mahasiswa berhubung rapat dengan pensyarah bidang masing-masing dan menimba ilmu dan pengalaman mereka, selain aktif menghadiri wacana politik dan isu negara?
Ataukah mahasiswa lebih mengagungkan tokoh dan wacana luar yang dirasakan lebih berwibawa dek menjuarai retorika hak rakyat?
Betapa banyak bidang yang mahasiswa ceburi namun tidak dapat dikembangkan untuk manfaat negara, sehingga negara masih terkebelakang dalam pengembangan ilmu dan teknologi?
Justeru masih relevankah kebobrokan budaya dan corak politik nasional parti pemerintah mahupun pembangkang terus dibiarkan mempengaruhi aktivisme mahasiswa dalam kampus?
Kita tidak menafikan bahawa salah satu visi kemahasiswaan yang disebutkan tadi adalah mahasiswa sebagai pemimpin masyarakat justeru berperanan menyedarkan masyarakat dan peka menyuarakan isu-isu nasional. Kita bersetuju bahawa untuk mahasiswa menjadi pemimpin negara masa hadapan, mereka perlu mendedahkan diri sedari awal dalam lapangan kepimpinan negara. Kita menyedari bahawa suara mahasiswa mampu menjadi kuasa ketiga yang berpengaruh dalam mencorakkan pembangunan negara.
Namun demikian, kita tidak mahukan akhirnya kegagalan pelaburan negara dalam pengajian tinggi bukan hanya disebabkan salah urus tadbir atau korupsi pemimpin negara, tetapi juga disebabkan mahasiswa sendiri yang korup dan pecah amanah dalam posisi dan amanah yang dipercayakan kepada mahasiswa untuk memikul tanggungjawab fardu kifayah umat dalam menguasai bidang yang diceburi.
Kita tidak mahukan akhirnya kelembapan pembangunan negara bukan hanya disebabkan salah urus tadbir atau korupsi pemimpin negara, tetapi juga disebabkan bidang strategik negara dan kajiannya tidak mampu berkembang dan mengukuhkan pembangunan negara kerana ketiadaan pakar bidang yang lahir dan dibentuk sejak mahasiswa, dek terus hanyut tersepit sama dalam rentak pergaduhan golongan politikus berkepentingan. – 2 Februari, 2016.
* Penulis ialah aktivis IKRAM Siswa.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments