rencana
Dilema ganja, kemudahan yang tidak diperlukan? – Ahmad Rostam Mohd Zin
Mutakhir ini heboh berkenaan idea untuk meregulasi/menghalalkan penggunaan ganja di negara ini. Antara alasan yang diberikan ialah ganja mampu memberikan ketenangan kepada rakyat negara ini yang sedang ditekan dengan masalah ekonomi membimbangkan.
Ini juga mengambil semangat beberapa negara yang menandatangani Perjanjian TPPA yang dikatakan menghalalkan penggunaan ganja di negara tersebut.
Ganja juga dikatakan sebagai sumber ubatan semulajadi yang terbaik yang mampu mengubati pelbagai masalah kesihatan di dunia ini. Tanpa mahu mengulas isu ini daripada segi saintifik mahupun teknikal, saya ingin menarik perhatian pembaca kepada beberapa perkara lebih penting bagi menghurai persoalan ini. Saya yakin rakyat Malaysia mampu menilai dengan cara baik dan bermanfaat.
First, do no harm
Dalam perubatan, terdapat satu konsep dalam merawat di mana potensi keburukan seperti komplikasi penyakit, komplikasi dalam merawat, kesan samping ubat jangka pendek mahupun jangka panjang wajib diminimumkan. Walaupun terdapat banyak intervensi yang mungkin kelihatan radikal dalam mengubat, ia dilakukan dengan niat untuk memastikan pesakit dapat dikeluarkan daripada keadaan bahaya yang mereka alami dan masa sama, rawatan itu tidaklah pula akan mengakibatkan kesan lebih buruk daripada apa saja sudut.
Jika ada kesan samping yang wujud, kebiasaannya kesan samping daripada penyakit itu sendiri ataupun kesan samping perawatan yang ditimbang sebagai sesuatu yang minima berbanding jika penyakit itu tidak melalui rawatan.
Ubatan dan kesan samping
Berdasarkan semangat di atas, ubat-ubatan moden diformulasikan untuk mendatangkan kebaikan. Ada ubat yang diformulasikan daripada sumber semula jadi dengan cara mengekstrak bahan kimia utama dalam tumbuhan yang mampu mendatangkan kebaikan ataupun haiwan dan sebagainya. Ya, setiap ubatan ada kesan samping. Begitu juga dengan segala apa yang kita ambil di dunia ini termasuklah nasi yang dimakan dan juga air.
Cumanya, budaya menyenaraikan kesan samping ubatan ini satu lambang kebertanggungjawaban warga perubatan dalam perawatan. Ada ubat daripada sumber semula jadi mahupun sintetik dihentikan penggunaannya atas pelbagai asas. Antara asas pemberhentian tersebut ialah jika didapati ia mempunyai kesan jangka panjang yang besar, penemuan ubatan baru yang lebih baik ataupun terdapat kesan samping luar jangka yang tidak ditemui sebelum ini.
Penggunaan benda haram dalam perawatan
Hukum halal dan haram terpakai dalam dunia perubatan. Menggunakan ubatan halal menjadi keutamaan kepada semua pengamal perubatan beragama Islam. Dengan berkembangnya dunia perubatan, alternatif ubatan halal sudah semakin banyak dan mudah diperoleh dan ini secara langsung mengetepikan ubatan daripada sumber haram.
Ubatan daripada sumber haram seperti khinzir, binatang berbisa, alkohol, dadah seperti ganja, opioid dan sebagainya sememangnya pernah dan masih digunakan namun dengan kewujudan alternatif lain membolehkan penggunaan hanya bilamana tiada alternatif lain ataupun alternatif yang ada tidak mendatangkan kesan diharapkan.
Ganja
Tidak dinafikan ganja juga ada kebaikannya. Ia sememangnya pernah digunakan untuk merawat penyakit sebelum ini dan masih ada penyakit menggunakan ganja sebagai salah satu ubatnya. Namun, ini tidak bermakna ia diperlukan dan ada keperluan mendesak untuk digunakan secara meluas. Asas hukum haram masih terpakai untuknya lebih-lebih lagi dalam keadaan ia berpotensi untuk disalahgunakan serta ada alternatif kepada ganja yang lebih selamat.
Oleh itu, tiada sebab untuk ia diperkenalkan sebagai ubatan secara meluas.
Ganja juga bahan terlarang yang memilikinya boleh mengakibatkan hukuman penjara, sebatan dan hukuman gantung sampai mati. Jelas kerajaan membuat kajian mengenai perkara ini sehinggakan pemilikannya bukanlah sesuatu yang boleh diterima daripada segi undang-undang.
Cabaran ekonomi dan tekanan hidup
Ini menjadi asas kepada hujah untuk menghalalkan penggunaan ganja secara leluasa di negara kita. Menjadikan ia asas kepada hujah bukanlah satu langkah yang tepat dan bolehlah dikira sebagai hujahan dangkal. Ganja atau mana-mana dadah sekalipun sememangnya disalah guna untuk tujuan memberi ketenangan.
Malangnya, ia tidak berhenti setakat itu saja. Malah implikasi pengambilannya jauh lebih hodoh dan membebankan bukan sahaja pengguna bahkan ahli keluarga dan masyarakat. Mencadangkan sesuatu yang bersifat 'counter-productive' di sebalik topeng kemaslahatan pembuka jalan kepada masalah tidak mampu dikawal negara inikan pula masyarakat.
Untuk tenang, najis sebegini bukanlah jawapannya kerana ada ribuan lagi alternatif lain yang boleh digunakan rakyat untuk mendapatkan kesihatan mental baik yang bukan saja berkesan malahan percuma. Untuk apa mencadangkan sesuatu yang boleh membebankan rakyat dalam pada rakyat sedang dihimpit oleh kekangan ekonomi? Ia jelas sesuatu idea tidak dihadamkan dengan baik yang jelas menunjukkan ia tidak dikaji secara ilmiah sebelum dibentangkan. – 22 Februari, 2016.
* Dr Ahmad Rostam Mohd Zin ialah pakar psikiatri Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments