rencana
Dr Mahathir keluar ‘parti Najib’ – Kadir Jasin
Pengumuman penarikan diri Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Umno semalam kerana parti itu bukan Umno sebenarnya tetapi yang bertujuan semata-mata untuk melindungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Turut meninggalkan Umno Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dr Mahathir mengambil langkah yang sama pada 2008 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri dan presiden Umno.
Apabila Najib menjadi perdana menteri dan presiden Umno pada 2009, Dr Mahathir masuk semula, bergiat cergas dan dikreditkan dengan kejayaan Barisan Nasional merampas semula Kedah daripada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
Ada orang berkata Dr Mahathir tidak sepatutnya mengundurkan diri. Mereka berkata lebih dramatik beliau menunggu sehingga dipecat.
Pengunduran diri Dr Mahathir adalah tendangan celah kangkang (a kick to the groin) kepada Umno.
Tetapi Najib dan penggilap epal serta pemakan dedak beliau mungkin berasa amat lega kerana duri yang menjadi selumbar di punggung mereka luruh dengan sendirinya.
Walaupun terlalu awal untuk meramalkan berapa ramai ahli Umno yang akan menurut jejak langkah beliau namun ia cukup untuk melemahkan lagi semangat ahli parti yang sudah pun merudum.
Elok juga beliau keluar Umno daripada kekal di dalamnya dan dihujani pelbagai cemuhan, maki-hamun dan perbuatan kurang ajar kerana mengkritik Najib dan konconya.
Ia akan memudahkan beliau menjadi obor bagi setiap warganegara yang mahu menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan kuasa Najib.
NOTA kaki: Saya sendiri menarik diri secara rasmi daripada Umno – parti ayah saya – berkuatkuasa 29 Jun tahun lalu kerana saya berasa tidak lagi boleh menyumbang kepadanya atau bersetuju dengan tindak-tanduk para pembesarnya. Pembatalan keahlian saya disahkan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf bin Yusoh, melalui surat bertarikh 4 Ogos, 2015.
Terima kasih kepada Umno dulu. Ayah saya menyertai Umno pada 1946. Setiap pilihan raya, sehingga PRU 2004, dia mewajibkan anak-anaknya balik mengundi.
Tapi pada PRU 2008 dia tidak mengeluarkan “petua” itu. Sebelum dia meninggal dunia pada 2009, dia berkata, “Umno bukan parti aku lagi” dan berhenti membaca Utusan Malaysia, akhbar sanjungannya. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Wallahuaklam. – kadirjasin.blogspot.my, 1 Mac, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments