rencana

Dr Mahathir keluar Umno, macam keluar group WhatsApp – Izmil Amri

Ada banyak pendapat susulan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Pendapat-pendapat ini lahir daripada sekolah pemikiran yang pelbagai dan semuanya hampir sahaja betul dan mungkin sahaja tidak tepat.

Dua jalur pendapat paling utama pastilah jalur yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir, manakala jalur satu lagi sampai mati pun tak akan memaafkan bekas perdana menteri itu.

Bagi golongan yang berpegang kepada pendapat jalur pertama, Dr Mahathir harus diberi peluang untuk merungkai sendiri Mahathirisme dengan tangannya.

Dialah punca segala permasalahan, maka dialah yang wajar menyelesaikannya. Apa yang akan terjadi selepas itu, kita fikirkan kemudian.

Jalur ke-2 juga bertitik tolak daripada premis yang sama;  Dr Mahathir orang yang menjadi punca semua masalah ini. Maka jangan lah kita termakan pujuk rayu orang tua itu, kerana pasti nanti kita dijahanamkannya pula. Ini antara banyak lagi hujah dikemukakan, supaya sekaliannya minggir daripada agenda Dr Mahathir.

Apa agenda Dr Mahathir? Beliau mahu melengser Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

Kenapa Dr Mahathir mahu Najib dilengser? Banyak sebab, dan sebab-sebab itu diragui ketelusannya. Namun apa yang jelas ialah Dr Mahathir mahu Najib nyah dari Putrajaya kerana Najib adalah liabiliti kepada Umno dan masa depan politik parti pemerintah itu.

Sebab-sebab tidak jelas termasuklah kerana Dr Mahathir itu didakwa seorang pendendam dan tindakan kartel Najib menggantikan anaknya di Kedah dengan seorang menteri besar kuat tidur sangat menghangatkan hatinya. Mana mungkin anak Dr Mahathir dilayan sedemikian rupa.

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita harus beringat ini bukan kali pertama Dr Mahathir meninggalkan Umno dan melantik dirinya sebagai ketua pembangkang de facto.

Ketika mahu melengser Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mantan perdana menteri itu gagal mengekalkan majoriti 2/3 Barisan Nasional pasca 8 Mac 2008, Dr Mahathir juga pernah keluar Umno.

Beliau kemudiannya kembali menganggotai parti Melayu itu pada April 2009, selepas Najib mengambil alih kepimpinan daripada tangan Pak Lah.

Bahkan lebih awal daripada itu, Dr Mahathir pernah dipecat keahliannya daripada Umno sekitar tahun suku ke-3 1969, dan kemudian kembali ke pangkuan parti pada 1972, pada zaman pentadbiran almarhum ayahanda Najib.

Kini Dr Mahathir sekali lagi keluar meninggalkan parti yang dicintainya, bersekali dengan isterinya Tun Dr Siti Hasmah.

Apa yang aneh, anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak pula meninggalkan parti bersama-sama ayahnya. Dan tidak ada pula gerombolan veteran-veteran Umno yang menuruti jejak langkah Dr Mahathir itu.

Barangkali kerana mereka menganggap Dr Mahathir keluar Umno ini, samalah seperti orang yang suka keluar group WhatsApp. Aksi protes sama dilakukan sebelum ini, dan ia tidak menghairankan sesiapa kecuali “orang di luar sana”.

Mereka yang lebih tidak hairan ialah kartel Najib sendiri. Gerombolan itu pastinya dapat meneka apakah langkah politik seterusnya bagi Dr Mahathir yang  tersudut dan tersepit selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatannya hanya beberapa bulan tidak diberi ruang berucap di perhimpunan agung.

Tidak ada lagi wira Dr Mahathir di dalam Majlis Tertinggi mahupun di peringkat ketua-ketua bahagian. Yang ada barangkali hanyalah di cawangan-cawangan. Itu pun barangkali belum mendapat ilham daripada PWTC untuk menukar arah sokongan. Bila ilham sudah masuk ke akaun bank, selesai.

Dr Mahathir kini harus menyendeng kepada parti-parti pembangkang, selepas cubaannya menghampiri organisasi masyarakat hujung Ogos tahun lalu tidak mendapat kasihan belas.

Bukan sekali malah 2 kali Dr Mahathir turun ke perhimpunan aman Bersih 4, dengan tujuan besar melengserkan Najib daripada kerusi kuasa.

Juga dengan nada yang sama, Dr Mahathir enggan peduli dengan senarai panjang tuntutan Bersih, dan memberitahu media  beliau hanya hadir untuk menyokong orang ramai yang mahu Najib meletakkan jawatan.

Kali ini, Dr Mahathir datang lagi dengan muka 10 sen, tewas dan tersudut, menghampiri pimpinan parti pembangkang supaya membantunya melengser Najib.

Tidak ada sebarang kenyataan daripada dr Mahathir tentang penambahbaikan institusi atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Hanya mahu lengser Najib.

Dua jalur pendapat tadi kini perlu dibincangkan secara rasional dengan menolak tepi emosi supaya keputusan politik diambil tidak menyimpang dan akhirnya memakan diri.

Bagaimana perlu ditanggapi ajakan dr Mahathir ini? Kalau tidak setuju, apa alternatifnya; dan kalau pun setuju, syarat-syaratnya bagaimana?

Adakah Dr Mahathir boleh dibiarkan mempergunakan dinamik politik pembangkang untuk memajukan agendanya, sambil akhirnya nanti agenda reformasi institusi dan impian rakyat Malaysia ke arah negara lebih baik tadbir urus, demokratik, adil dan makmur terus terkubur?

Dr Mahathir adalah ahli politik licik, dan harus ditangani dengan licik juga. Semua pihak harus bijak untuk tidak terjerat dalam permainan beliau malah jangan sampai terlupa untuk menjerat Dr Mahathir, takut terlepas daripada dosa-dosa silam.

Tangan Dr Mahathir perlu dituntun, di akhir-akhir usia politiknya ini, untuk merobohkan legasi yang  dibinanya, yang hari ini menyeringai di setiap papan tanda dengan bibir merah jambu menguntum senyum berlatarkan slogan 1Malaysia.

Maka makbul lah doa Almarhum Datuk Fadzil Noor, supaya panjang usia Dr Mahathir agar dapat melihat kehancuran hasil kerja buatnya, bahkan diruntuhkan dengan tangannya sendiri.

Mungkin tangannya itu akan mengisi borang DAP. Siapa tahu kan. – 1 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments