rencana
Dr Mahathir rakan kongsi berisiko sederhana – Muammar Qaddafi
Pada 29 Februari, 2016 lepas, bekas perdana menteri Malaysia selama 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan buat kali kedua dalam tempoh kurang 10 tahun beliau meninggalkan parti yang dipimpinnya sendiri selama lebih 20 tahun.
Beliau mendakwa Umno bukan lagi “Umno” sebagaimana dulu sebaliknya ia parti Najib yang perjuangannya hanyalah menyokong Najib dan melindungi Najib.
Tindakan Dr Mahathir mengkritik pentadbiran Najib bukanlah perkara baru bahkan beliau mula mengkritik Najib sejak 2015 lagi, namun kemuncak pertembungan adalah apabila beliau mengumumkan menarik diri daripada Umno dan membentuk gerakan menuntut Najib letak jawatan.
Apabila kritikan dan serangan Dr Mahathir kepada Najib semakin keras dan bertalu-talu, pemimpin Pakatan Harapan bertindak menyuarakan sokongan mereka terhadap bekas musuh utama mereka dulu.
Mangsa politik utama Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir namun menegaskan ubah bukan hanya pada menjatuhkan sosok Najib sebaliknya mengubah seluruh sistem korup di Malaysia ini, dalam erti kata lain, tukar kerajaan!
Tindakan pimpinan Pakatan mendapat respons perbagai daripada ramai pihak sama ada memuji dan mempertahankan tindakan itu atau dikritik kembali dan pertikaikan tindakan tersebut yang dianggap tertipu dengan politik licik Dr Mahathir yang sebenarnya hanya mahu menyingkirkan Najib agar kepentingannya dan keluarganya dalam Umno terus berterusan.
Menurut saya, kedua-dua hujah berbeza kumpulan menyokong dan berkecuali terhadap gerakan Dr Mahathir ada sisi kebenarannya sekali gus meletakkan Dr Mahathir seorang rakan kongsi yang berisiko tinggi.
Dr Mahathir walaupun hingga sekarang gagal menarik pemimpin Umno untuk bersamanya dalam menentang Umno dari luar, tetapi kita maklum sokongan rakyat kebanyakan kepada beliau masih ada dalam satu jumlah yang signifikan untuk membantu swing undi BN pada PRU13 kepada Pakatan Harapan pada PRU14.
Perjudian terbesar Pakatan Harapan adalah di sini, relevannya tokoh Pakatan masih menyuarakan sokongan terhadap Dr Mahathir adalah pada situasi mereka mahu mendapatkan undi para penyokong Dr Mahathir terutama di Kedah dan Pulau Pinang.
Dalil utama membuktikan pengaruh Dr Mahathir kejayaan BN merampas kembali Kedah pada PRU13 yang lalu daripada PAS dengan menjulang Datuk Seri Mukhriz sebagai bakal MB jika BN menang dan ternyata strategi itu berjaya.
Apa akan berlaku jika Dr Mahathir kembali mengkhianati Pakatan jika gerakan beliau menumbangkan Najib berjaya dan beliau kembali menyerang Pakatan sebagaimana beliau lakukan di zaman Pak Lah?
Kalau semua masih ingat Dr Mahathir pernah keluar Umno pada zaman pentadbiran Pak Lah kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Pak Lah lalu pembangkang termasuk PAS menjulang dan memberikan ruang bersuara buat beliau menentang Pak Lah.
Namun apabila Pak Lah berjaya diturunkan Dr Mahathir kembali kepada Umno dan tanpa simpati sedikit pun beliau menyerang kembali Pakatan yang pernah membantu beliau.
Apa yang akan berlaku Pakatan akan "rugi untung", iaitu Pakatan akan kehilangan undi penyokong Dr Mahathir namun undi asal Pakatan tidak akan berubah.
Rugi untung dalam perniagaan bermakna peniaga itu akan rugi pada untungnya, tetapi bukan pada modal, maksudnya jika sepatutnya untung RM10 tetapi hanya untung RM9.85.
Adakah jika Najib tumbang maka Umno kembali kuat? Maka kita rujuk sejarah, apabila Dr Mahathir turun dan Pak Lah ganti beliau, maka ya Umno kembali kuat untuk sepenggal dan menang bergaya pada PRU 2004.
Tetapi sebaliknya berlaku apabila Pak Lah turun dan Najib naik sebagai presiden Umno dan perdana menteri, BN tewas semakin besar pada pilihan raya pertama di bawah Najib.
Persoalan yang perlu dirungkai adalah, adakah Zahid versi "Pak Lah awal penggal" atau "Najib awal penggal", adalah beliau Mr Clean saat pada waktu sekarang yang boleh bawa Umno kembali kuat sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal.
Di pihak Dr Mahathir, adakah jika beliau kembali khianat sekalipun jika Najib berjaya ditumbangkan, adakah beliau untung sepenuhnya? Tidak, nama beliau akan dikenang sebagai orang yang mengkhianati pihak yang bersimpati kepadanya, dan itu tidaklah baik untuk beliau setelah lebih 20 tahun membina negara.
Kesimpulannya, tindakan pemimpin Pakatan ada sisi relevannya, bahkan mereka menegaskan mereka maklum dengan sikap Dr Mahathir namun menurut saya pemimpin Pakatan meletakkan keutamaan kepada negara untuk menumbangkan pemimpin yang berbuat kerosakan begitu teruk dalam negara berbanding memikirkan risiko sekali lagi dikhianati Dr Mahathir. – 4 Mac, 2016.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments